Dikenali sebagai ‘pintu pintar’, produk pintu keselamatan itu bukan sahaja bersifat mesra pengguna yang memudahnya dibuka malah turut dilengkapi teknologi terkini bagi menaik taraf keselamatan sedia ada bagi menyukarkan penjenayah memecah masuk.

Muhammad Firdaus Mohd. Fitri, 16, yang mengetuai kumpulan lima pelajar itu berkata, mereka mengambil masa kira-kira dua minggu untuk menghasilkan pintu pintar dengan kos kira-kira RM120.

Katanya, bahan-bahan yang diperlukan bagi inovasi itu adalah papan lapis, kayu, paparan cecair kristal (LCD), sistem arduino, buzer piezo, servo, Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), wayar, komponen sambungan Bluetooth HC-05 dan suis tekan.

“Kajian yang kami lakukan mendapati ramai golongan OKU terutama yang kehilangan tangan mengalami kesukaran membuka kunci pintu rumah.

“Pintu pintar ini tidak bertombol yang boleh dibuka dengan dua kaedah sama ada melalui ketukan mahu pun menerusi kod. Kod berkenaan diakses di telefon pintar menerusi sambungan Bluetooth,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam Pesta Schoolwide Enrichment Model (SEM) di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) di sini hari ini.

Pasukan SMIYT Kuala Terengganu yang dianggotai Muhammad Alif Najmi Mohd, Fadli, Muhammad Syakir Najmi Shukri, Amir Arif Rosli dan Muhammad Ashraf Mohd. Roslan itu berjaya meraih hadiah inovasi terbaik dalam pertandingan berkenaan.

Turut mendapat pengiktirafan sama ialah Sekolah Menengah Agama (SMA) Khariah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, SMK Bukit Sawa, SMIYT Dungun dan SMK Padang Midin.

Hadiah disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim.

Yang hadir sama, Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Matsor Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa SEM 2018, Mazlan Che Wil.

Pesta SEM kali ini disertai 25 sekolah dengan Anugerah Sekolah SEM Terbaik dimenangi Sekolah Menengah Agama (SMA) Atas Sultan Zainal Abidin manakala Tokoh Guru SEM pula dinobatkan kepada Rohani Osman. -UTUSAN ONLINE