Justeru, jumlah pengeluaran pertanian perlu ditambah bagi memenuhi keperluan penduduk.

Bagi menambah hasil pertanian, petani atau pengusaha perlu meluaskan kawasan tanaman, meningkatkan pengeluaran dan pada masa yang sama, lebih banyak tenaga kerja akan diperlukan.

Hakikatnya dengan jumlah tenaga kerja dalam bidang pertanian yang menurun, petani memerlukan tenaga kerja alternatif bagi menggantikan manusia untuk kerja-kerja rutin di ladang seperti merumput, mencantas, membaja, meracun, memeriksa tanaman, memetik hasil pertanian dan lain-lain lagi.

Justeru, teknologi diperlukan bagi membantu kerja-kerja pengurusan ladang berskala besar dan penghasilan yang tinggi. Oleh itu penggunaan jentera, mesin automasi, dron dan kini robotik sudah mula dimanfaatkan oleh pengusaha pertanian terutama di luar negara.

Sistem robotik amat berguna kerana mampu melakukan kerja-kerja ladang dengan cepat, menjimatkan kos dan tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai dan kini sangat membantu manusia dalam usaha memodenkan sektor pertanian. Sistem robotik telah digunakan secara meluas dalam sektor pertanian di luar negara.

Sebagai contoh, sebuah robot dipanggil Wall-Ye telah dihasilkan di Perancis bagi memeriksa tanaman di ladang anggur. Di Jepun pula, penyelidikan dalam sistem robotik pertanian telah dijalankan secara meluas dan pelbagai aplikasi telah dilaksanakan seperti pemetik buah, kerja penuaian dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, di Malaysia, sistem robotik pertanian amat jarang diaplikasikan. Adalah penting bagi menghasilkan sistem navigasi robotik yang sesuai dengan keadaan tanah dan persekitaran di negara ini.

Umumnya, bagi menghasilkan sistem navigasi untuk robotik, objektif laluan hanyalah menjurus kepada panjang laluan sahaja.

Kadangkala, laluan yang pendek tidak semestinya yang terbaik. Berkemungkinan terdapat juga laluan lain yang lebih optimum bagi robot tersebut.

Menyedari akan kepentingan teknologi automasi dan robotik dalam mentransformasikan sektor pertanian, seorang penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkenal teknologi tersebut dalam pengurusan ladang.

Robot berfungsi membuat perancangan dahulu sebelum bergerak untuk menyelesaikan tugas-tugas pertanian yamg diperlukan.

Menurut penyelidiknya yang juga pensyarah Kumpulan Penyelidikan Kawalan Termaju (ACRG), Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr. Mohamad Shukri Zainal Abidin, perancangan dibuat berdasarkan data daripada peta yang diambil menggunakan kamera atau peranti lain.

“Kemudian, operator akan memasukkan koordinat-koordinat yang perlu dituju oleh robot tersebut dan selepas itu, algoritma perancangan laluan akan mengira dan menghasilkan laluan yang boleh dilalui oleh robot tersebut,” ujarnya.

Justeru, penyelidikan tersebut bertujuan untuk menghasilkan sistem navigasi robot yang efisien bagi menjalankan tugas-tugas pertanian.