Kafe yang dibuka oleh syarikat IT E-Szoftverfejlesztő di ibu negara Hungary itu dikendalikan sepenuhnya oleh pasukan robot yang bertujuan membiasakan masyarakat dengan revolusi teknologi dalam automasi.

Pelayan robot itu mengikuti laluan yang ditetapkan untuk menghantar pesanan makanan dan minuman manakala pelanggan diminta untuk tidak mengganggu laluan tersebut.

Robot yang ‘menyajikan’ hiburan kepada pelanggan itu dikenali sebagai Pepper yang boleh berbual dan menari dengan pelanggan.

Menurut pemiliknya, Tibor Csizmadia, robot itu dibangunkan oleh syarikat Jepun, Softbank dan perlu dimodifikasi agar dapat mendengar suara pelanggan dalam persekitaran bising.

Hasil tinjauan secara dalam talian mendapati pelanggan tertarik dengan kecanggihan robot tersebut dan cuba menyesuaikan diri dengan pelayan robot itu.

Namun, terdapat kebimbangan yang mengatakan penggunaan teknologi automasi akan mengambil alih tenaga kerja manusia.

Perkara itu bagaimanapun disangkal oleh pemilik kafe tersebut.

“Kami sebenarnya menggunakan dua kali lebih ramai pekerja kerana mengendalikan 16 hingga 20 robot bermula pukul 9 pagi hingga 9 malam. Kami memerlukan pakar IT di kafe ini,” katanya. - REUTERS