Apatah lagi PSN yang baharu sahaja mengalami kerja-kerja pengubahsuaian dan penambahbaikan dengan konsep baharu yang lebih segar dan menarik, mereka yang berhasrat datang sekali lagi pasti mengalami suasana berbeza kali ini.

Kunjungan kali ini pastinya lain daripada yang lain dan jangan terkejut dengan keadaan di situ apabila kedatangan ke PSN ‘disambut’ sekumpulan robot yang tidak pun memperduli kehadiran pengunjung,

Robot yang ditempatkan di situ rupa-rupaya sedang bertempur sesama sendiri dengan kuasa dan kelebihan serta kekuatan yang dimiliki.

Walau bagaimanapun pertempuran tersebut tidak akan merosakkan kemudahan atau mencederakan sesiapa kerana ia merupakan satu gimik atau pertunjukan sempena Ekspo Inovasi dan Ekonomi Kreatif Kebangsaan (NICE) 2017 yang berlangsung bermula esok hingga 16 Oktober ini.

Pertempuran robot tersebut merupakan sebahagian daripada acara sempena penganjuran NICE 2017 oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan agensinya termasuklah pusat sains tersebut yang mempersembah Festival Sains 2017 PSN (PSN SciFest17) secara eksklusif selama penganjuran ekspo berkenaan.

Pengarah PSN, Mismah Jimbun berkata, tumpuan pastinya adalah pertandingan Robot Tempur Malaysia 2017 yang menampilkan 40 pasukan dari institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, politeknik, institu kemahiran belia negara (IKBN), institut latihan perindustrian (ILP).

Robot ciptaan pasukan bertanding berentap sesama sendiri bagi merebut hadiah keseluruhan bernilai RM10,000.

“Selain itu, PSN SciFest 17 turut menampilkan pembukaan dua galeri pameran baru iaitu Survive The Bunker dan I-Rays,” ujarnya.

Pameran Survive The Bunker menceritakan tentang sebuah bunker terbiar yang misteri.

Apa yang menariknya adalah pengunjung diuji mengharungi bunker tersebut untuk keluar dengan selamat.

Pengunjung akan berhadapan dengan ketakutan dan fobia serta dicabar untuk mengatasinya.

Berkonsepkan full-body kinesthetic experience, pengunjung akan mengalami pembelajaran melalui penglibatan dan pengalaman merentasi cabaran yang disimulasikan.

Galeri Pameran I-Rays pula bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai sinaran serta impak positif sinaran kepada manusia dan kehidupan.

Pengunjung ke PSN disambut dengan pemandangan kehidupan air tawar apabila melalui Terowong Akuarium yang mengandungi lebih daripada 80 spesies ikan air tawar sebelum disajikan dengan galeri yang ditambah baik iaitu Eureka (matematik) dan Wonderspark (cahaya, udara, air).

Untuk lebih interaktif dan menarik minat pengunjung dalam kalangan remaja, PSN SciFest17 membawakan khas sempena penganjuran kali ini permainan laser tag.

Permainan yang memerlukan semangat kerjasama dan strategi utuh untuk mengalahkan pasukan lawan dengan teknologi laser mampu memberi keseronokan, di samping mendapat ilmu pengetahuan mengenai laser dan aplikasinya.

Pengunjung juga boleh menyertai program pendidikan yang dianjurkan di tiga makmal terbaru PSN iaitu Spark Station, Wonders Hub dan Creative Spot.

Di Spark Station dan Wonders Hub, pengunjung didedahkan dengan trend sains terkini.

Pengunjung juga dapat mempelajari konsep fizik dan kimia dalam kehidupan seharian. Creative Spot.

Creative Spot juga bakal mencabar kreativiti pengunjung dengan aktiviti reka cipta.

Pentas Science Show akan menghangatkan pengunjung dengan pelbagai persembahan sains yang menarik.

Mereka boleh mencuba sendiri beberapa eksperimen menerusi modul yang disediakan.

Selain pameran dalaman, bahagian luar turut disajikan pelbagai acara menarik khusus untuk pengunjung yang lama menantikan pembukaan semula PSN.

Ini termasuklah antaranya pengunjung boleh melawat Ggleri pameran Subterranean Journey yang membawa pengunjung meneroka gunung berapi, struktur bawah tanah sehingga ke dasar laut dengan menaiki Chair Ride.

Bagi mereka yang datang dengan keluarga, boleh bersantai di dataran Water Plaza dan jika hendak menikmati sukan ekstrem, bolehlah mencuba aktiviti abseiling yang akan menguji tahap keberanian.

Terdapat banyak lagi tarikan dan kemudahan disediakan buat pengunjung di PSN.

Datanglah beramai-ramai untuk merasai pengalaman dan menimba ilmu pengetahuan sambil bermain dan berseronok

Maklumat lanjut layari http://www.psn.gov.my/.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Madius Tangau berkata, NICE 2017 yang dianjurkan kementeriannya diharap menjadi pemacu dalam pembangunan sains teknologi dan inovasi (STI) negara bagi meningkatkan kesedaran betapa pentingnya bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

“Pada hari ini, kami mengharapkan NICE akan menjadi program dan ‘jenama’ tahunan kerajaan yang mengentengahkan pelbagai hasil usaha kerajaan dalam usaha menggalakkan pembangunan dan kemajuan STI negara,” ujarnya.

Dengan kerjasama 81 rakan strategik terdiri daripada pelbagai sektor iaitu kerajaan (25), swasta (37), institusi pengajian tnggi awam (14) antarabangsa (dua) adalah diharapkan NICE 2017 dapat mengarusperdanakan STI dalam pembangunan sosioekonomi di Malaysia.

Peningkatan minat terhadap STI serta pembudayaan kreativiti dan inovasi adalah dua elemen penting NICE yang berupaya merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi baharu menjelang 2050.

Planetarium Negara juga menjadi lokasi satelit NICE 2017 dan dijangka menjadi tumpuan strategik dari peringkat kanak-kanak hingga orang dewasa menimba ilmu dan pengalaman dalam pendidikan astronomi dan sains angkasa telah.

Lokasi satelit NICE 2017 di Planetarium atau [email protected] memasukkan elemen pembelajaran berteraskan aplikasi dan amalan pemerhatian berkaitan teknologi sains angkasa dan astronomi.

Program yang dianjurkan juga adalah sempena Minggu Angkasa Sedunia bertemakan Meneroka Dunia Baharu di Angkasa.

Menurut Pengarah Planetarium Negara, Anita Bahari pada kebiasannya Minggu Angkasa Sedunia disambut pada 4 hingga 10 Oktober setiap tahun namun pada tahun ini, kami menyambutnya bersama [email protected]

“Kesemua program yang dijalankan adalah untuk menggalakkan orang awam mengetahui manfaat yang mereka terima daripada pendidikan astronomi dan ruang angkasa untuk pembangunan ekonomi yang mampan.

Di samping itu, program ini akan menarik minat generasi muda dan kanak-kanak mengenai sains, teknologi kejuruteraan angkasa dan matematik,’’ ujarnya.