Pengurus Kanan Teknikal dan Jualan Ara Techbis Sdn. Bhd., Azrul Muhammad berkata, pernah terjadi beberapa kes sebelum ini, seorang ibu tertukar bayinya semasa di hospital akibat kelalaian kakitangan.

Kejadian tersebut mendorong kepada permintaan daripada pelanggan yang mahukan teknologi terkini dalam membantu menambah baik pengurusan serta pengendalian keselamatan di hospital khususnya pada bayi yang baru dilahirkan.

Kes-kes seperti salah padan bayi serta penculikan yang dilaporkan di akhbar membuka ruang bagi ARA Techbis Sdn. Bhd. memperkenal produk B-Tag and Track bagi tujuan mengurangkan risiko penculikan serta kesalahan padanan identiti bayi dengan ibu.

Produk yang dibangunkan sejak 2009 itu turut menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio ((RFID) dengan memasang peranti pada pergelangan tangan ibu, buku lali bayi dan katil bayi yang dilengkapi teknologi yang membolehkan padanan ibu dan bayi ditentukan melalui audio serta visual.

“Sekiranya padanan ibu dan bayi tepat, maka akan menghasilkan lullaby dan lampu hijau dan jika padanan adalah salah, peranti tadi akan menghasilkan audio amaran dan lampu merah.

“Menerusi amaran tersebut, jururawat yang bertindak perlu mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Azrul memberitahu, jika dilihat, teknologi FRID kini kerap diguna pakai dalam memudahkan urusan seharian.

Ini termasuklah yang terbaharu iaitu syarikatnya sedang meniliti dan merancang untuk memperluas teknologi tersebut dalam sektor dobi terutama di hospital bagi mengurangkan kehilangan baju.

“Kami difahamkan, hospital akan menghantar baju yang dipakai pesakit di wad ke pengendali dobi terpilih dan sering berlaku kehilangan atau tertukar.

“Justeru sekiranya teknologi RFID ini ditampal pada baju, risiko kehilangan semakin berkurangan,” jelasnya.

Tambahnya, sistem FRID pengurusan dobi membawa nilai tambah dalam pengurusan linen sehingga ke peringkat item dalam rantaian pengedaran dari sektor pembuatan ke dobi, bilik stor sehingga pelanggan.

“Sebagai contoh, aplikasi ini sesuai dilaksanakan di hospital atau hotel bagi menguruskan linen yang merupakan aset penting bagi kedua-dua industri ini.

“Malah penggunaan sistem ini dapat menambah baik prestasi dan kecekapan dengan memberikan gambaran keadaan sebenar.

Menggelakkan kesilapan

Mekanismenya adalah dengan mendapatkan laporan statistik, mendapatkan maklumat dengan lebih tepat dan cepat, membantu menguruskan penggunaan linen dengan lebih cekap, membolehkan pengiraan linen dijalankan secara automatik dan mengelakkan kesilapan atau hanya anggaran serta membantu mengelakkan kehilangan serta kerugian akibat kehilangan,” ujarnya lagi.

Teknologi tersebut telah diaplikasi di beberapa hispital swasta, manakala Hospital Banting di Selangor merupakan agensi kerajaan pertama menggunakannya yang dilancarkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Madius Tangau baru-baru ini.

Mengenai perancangan syarikat, Azrul memberitahu dalam masa terdekat, syarikat berharap sistem RFID keselamatan pesakit dapat diguna pakai di seluruh hospital kerajaan selain menambah jumlah pelanggan swasta sedia ada terutama di kawasan luar Lembah Klang serta Sabah dan Sarawak.

“Kami juga berharap sistem berasaskan teknologi RFID dapat dikembangkan kepada aplikasi lain yang dapat memberi banyak manfaat serta pengurusan yang lebih efisien seperti pengurusan aset, bahan api dan ternakan.

Selain itu, syarikat berkenaan juga sedang membuat penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menyediakan sistem automasi dalam bidang yang sedang giat diperkembang oleh kerajaan iaitu bidang pegangkutan rel.

Bagaimana berfungsi

1. Tag akan dipasang di setiap linen yang terlibat sama ada dijahit atau dilekatkan menggunakan pelekat termo.

2. Linen yang dipasang dengan tag RFID boleh dikesan untuk mendapatkan jumlah kuantiti, jenis, warna, usia serta pengenalan lain Kaedah tersebut menggunakan pengesan RFID seperti Pengesan RFID linen (pukal) yang mampu membuat bacaan sehingga 250 kilogram (kg) berat dan saiz muatan sehingga 1.2meter (m) x 1.0 m x 2.m termasuk troli. Pengesan ini juga boleh memberikan bacaan berat linen.

Dalam masa sama, pengesan RFID linen (mudah alih) digunakan untuk membuat bacaan di mana-mana stesen atau lokasi bagi mendapatkan bacaan berkaitan penerimaan, penghantaran atau inventori.

3. Pengesan tag meja (desktop reader) pula digunakan bagi pendaftaran tag dengan linen serta juga dapat memberi bacaan kuantiti, jenis serta pengenalan lain bagi jumlah yang terhad.

4. Segala maklumat yang diperoleh dihantar kepada sistem yang akan menyediakan laporan terperinci berkenaan linen yang terlibat. Antara contoh laporan yang boleh didapati seperti

i. Penggunaan linen

ii. Kekerapan basuhan

iii. Usia linen – bagi menentukan kualiti

iv. Stok inventori

v. Prestasi dobi