Tiada perbincangan secara terperinci berhubung kelebihan dan kekurangan spesifikasi kamera ini kerana telah banyak diperkatakan sebelum ini.

Namun, kesempatan menguji EOS R baru-baru ini memberi pengalaman baru khususnya melalui beberapa teknologi yang merevolusi cara pengguna merakam gambar dan video.

Inovasi terbesar adalah pengenalan bar sesentuh pelbagai fungsi yang memberikan kawalan lebih mudah dengan geseran ibu jari ke kiri dan ke kanan tanpa perlu menekan butang.

Panel yang boleh diubah penyelarasan fungsi mengikut kehendak pengguna itu bukan sekadar mirip penggunaan telefon pintar, tetapi ia direka untuk menyediakan ‘jalan pintas’ kepada fungsi-fungsi kritikal.

Penyelidikan Canon pada bar multi fungsi yang pertama seumpamanya itu pada penulis menjadi bonus terbesar faktor ergonomik EOS R dan jika diberi peluang penambahbaikan pasti menjadi trend masa depan.

Revolusi kedua adalah fungsi kawalan gegelang (Control Ring) pada hujung lensa RF yang membolehkan kawalan dedahan dilakukan dengan mudah. Melaluinya, beberapa penetapan fungsi yang selama ini perlu dilakukan dengan menekan beberapa butang ‘dipintas’ dengan hanya putaran gegelang pada lensa.

Seperti juga kawalan fungsi pada panel bar multi fungsi, kawalan gegelang lensa ini boleh ditetapkan untuk kepelbagaian fungsi antaranya aperture, shutter speed, ISO dan exposure compensation (-/+EV).

Adaptasi fungsi pada gegelang lensa ini sebenarnya sudah lama berada pada lensa kamera seperti Fujifilm dan Leica (kawalan aperture sahaja), namun Canon tampil lebih bergaya dengan keupayaan boleh ‘kustom’.

Bagi pengguna yang bermigrasi daripada sistem lensa EF atau EF-S kepada RF (EOS R), fungsi yang sama boleh diperoleh menerusi penggunaan Adapter Control Ring yang dijual berasingan.

Dari segi keselesaan memegang, EOS R pada penulis mengalahkan semua kamera mirrorless lain menerusi sudut pautan lebih dalam yang memberi cengkaman cukup stabil. Faktor ergonomik diperhebatkan lagi dengan paparan viewfinder elektronik (EVF) yang jelas dan responsif bahkan tiada lagi isu lag seperti yang ada pada model-model mirrorless Canon terdahulu.

Revolusi seterusnya adalah ketajaman lensa sistem baharu RF yang menggantikan EF dan EF-S. Bukan sahaja kualiti optikal, kecekapan lensa baharu ini dikatakan terletak pada pengurangan jarak antara lensa dengan sensor kamera yang selama ini menempatkan ruang untuk cermin refleksi.

Perubahan jarak dan saiz bukaan mount (54 mm) pada EOS R yang kini menyamai saiz kamera bingkai penuh direka untuk meningkatkan kemasukan cahaya sekali gus menjadikan komunikasi antara kamera dengan lensa lebih pantas.

Dari dalam badan kamera pula, penghasilan imej diperincikan dengan 5,600 titik fokus yang menjadikan pengesanan subjek berkali ganda lebih cekap daripada teknologi terdahulu.

Selain faktor ergonomik dan ketrampilan lensa baharu, kepuasan paling dirasai penulis sepanjang menggunakan kamera ini adalah kecekapan auto fokus yang jauh dipertingkatkan.

Menurut Canon, teknologi dual piksel autofocus (AF) pada model ini dijana oleh 40 kali ganda kuasa memproses yang ada pada Canon 5D Mark IV.