Perkara itu tidak mustahil memandangkan majoriti rakyat terutama di bandar kini lebih gemar memilih membeli barangan atau membayar perkhidmatan menggunakan kad debit atau secara atas talian kerana lebih mudah dan selamat.

Ini sekali gus memberi petanda baik untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju dengan penggunaan kaedah bebas tunai dalam kalangan rakyat yang celik teknologi.

Ketika kaedah pembayaran ini diperkenalkan beberapa tahun lepas oleh antaranya sebuah syarikat elektronik terkemuka dunia, ramai yang teruja dengan perkembangan terbaharu itu dan sebahagian lagi agak skeptis kerana bimbang tentang ciri-ciri keselamatannya. Namun hari ini, banyak syarikat tampil dengan kaedah tersebut sejajar dengan gaya hidup pengguna yang masa kini yang teruja dengan teknologi mudah dan cepat.

Antara syarikat yang memperkenalkan kaedah tersebut adalah Grab.

Sebagai peneraju dalam talian ke luar talian (O2O) di Malaysia dan Asia Tenggara, syarikat berkenaan baru-baru ini memperkenalkan GrabPay Mobile Wallet yang berfungsi sebagai e-dompet yang boleh diakses menerusi aplikasi Grab.

Jutaan pengguna Grab kini boleh mengakses fungsi e-dompet dengan selamat, mudah dan fleksibel bagi membayar perkhidmatan yang ditawarkan dalam aplikasi Grab serta di restoran dan kedai-kedai yang menjalin kerjasama dengan syarikat tersebut.

Pengarah Urusan GrabPay Malaysia, Singapura dan Filipina, Ooi Huey Tyng berkata, Grab kini turut bekerjasama dengan syarikat besar tempatan bagi memastikan GrabPay bukan sahaja diterima di lapan bandar raya di seluruh negara iaitu Kuala lumpur dan sekitar Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor Bahru, Ipoh, Melaka, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuantan tetapi digunakan dalam pelbagai jenis perkhidmatan.

Perkhidmatan GrabPay sebelum ini hanya menerima kad debit atau kredit, kini dipertingkatkan dengan fungsi e-dompet.

Huey Tyng berkata, pengguna boleh menambah nilai dan membelanjakan wang atau kredit GrabPay melalui aplikasi Grab.

“Pengguna bukan sahaja boleh menggunakan aplikasi Grab untuk membayar perkhidmatan Grab seperti GrabFood serta pengangkutan, malah boleh juga digunakan di premis-premis rakan perniagaan yang mempunyai kod Quick Response (QR) GrabPay.

“Lebih daripada itu, pengguna juga boleh membuat pemindahan wang secara terus antara satu sama lain dengan mudah melalui aplikasi tersebut dengan hanya beberapa klik sahaja,” katanya.

Tambahnya, statistik Bank Negara menunjukkan lebih daripada 80 peratus transaksi di negara ini masih menggunakan wang tunai yang menyebabkan industri perbankan terpaksa menanggung kos berjumlah lebih RM1 bilion setahun untuk perkhidmatan dan pengendalian wang tunai.

“Ramai rakyat Malaysia enggan mengamalkan gaya hidup bebas tunai kerana dianggap tidak selamat dan leceh tetapi melalui GrabPay, pengguna kini boleh menyertai komuniti gaya hidup bebas tunai, ekonomi digital tanpa perlu memuat turun aplikasi tambahan.

“Hanya menambah wang ke dalam aplikasi Grab yang biasa digunakan, anda boleh menyemak perbelanjaan dengan mudah dan membuat pembayaran bebas tunai dengan mudah dan selamat,” jelasnya.

GrabPay kini boleh diterima di lebih daripada 500 perniagaan makanan dan minuman terkenal.

“Sasaran kami adalah untuk bekerjasama dengan perniagaan kecil dan sederhana yang sebelum ini hanya menerima aliran tunai.

“Menerusi cara ini juga kami dapat menyampaikan kebaikan bebas tunai kepada peniaga,” ujarnya.

Pengguna hanya perlu mengaktifkan aplikasi Grab dan mengimbas kod QR yang unik di premis perniagaan. Setiap transaksi boleh dilakukan dalam kredit GrabPay akan memberi nilai tambah bagi setiap ringgit yang dibelanjakan, membolehkan mereka memperoleh mata GrabRewards yang boleh ditukar dengan barangan lain di dalam katalog GrabRewards.

Dalam pada itu, berdasarkan tinjauan Carousell Survey, berlaku peningkatan sehingga 50 peratus dalam penggunaan e-dompet di negara ini.

Tinjauan secara bebas menggunakan aplikasi khas baru-baru ini mendapati terdapat kumpulan responden yang menyimpan lebih daripada RM250 dalam e-dompet mereka membuktikan ada amalan kekerapan penggunaan kaedah tersebut dalam kalangan pengguna.

Ketua Negara Carousell Malaysia Tang Siew Wai berkata, analisis menunjukkan terdapat persepsi yang menakjubkan dan amalan penggunaan e-dompet daripada banyak pengguna yang memanfaatkannya.