Terdapat pelbagai persoalan, sama ada dedahan kepada sinaran sebegini berbahaya?

Peralatan komunikasi seperti telefon pintar, menjadi sebahagian dari kehidupan manusia.Justeru, penggunaan sinaran atau gelombang elektromagnetik yang dipanggil frekuensi radio (RF) adalah sangat penting untuk memastikan sistem komunikasi berfungsi dengan baik.

Menurut Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kesihatan Sinaran, Agensi Nuklear Malaysia, Mohd. Sidek Othman, sinaran adalah penggunaan istilah umum untuk menggambarkan pelepasan dan penghantaran tenaga melalui ruang dalam bentuk gelombang atau zarah.

Sinaran terbahagi kepada dua iaitu sinaran mengion dan sinaran tidak mengion (NIR). Jenis-jenis sinaran perlu difahami agar masyarakat faham kegunaannya dan tidak disalah tafsir sehingga menyebabkan berasa bimbang, tidak selamat, keliru yang membawa kepada persepsi yang tidak tepat tentang teknologi ini.

Kekeliruan orang awam terhadap sinaran RF dari struktur pemancar telekomunikasi boleh dihuraikan secara terperinci dengan memahami konsep asas sinaran. Sinaran RF dikategorikan NIR seperti sinaran elektromagnet frekuensi lampau rendah (ELF, EMF), laser, cahaya boleh nampak dan UV.

NIR mempunyai tenaga yang sangat rendah dan tidak berupaya untuk membebaskan elektron atau melaksanakan perubahan dalam struktur atom. Justeru, ia tidak boleh menyebabkan proses pengionan. Julat frekuensi penggunaan sinaran RF adalah di antara 3 kiloHertz (kHz) hingga 300 gigahertz (GHz).

“Sinaran mengion pula mempunyai tenaga yang mencukupi untuk melaksanakan perubahan dalam atom media yang dilaluinya, membebaskan elektron (mengion) dari atom asalnya dan menghasilkan sinaran alfa, beta, gama dan neutron.

“Sinar-X yang dihasilkan melalui radas penyinaran juga dikategorikan sebagai sinaran mengion dan banyak digunakan dalam industri dan juga hospital di negara ini. Oleh kerana sinaran mengion mempunyai tenaga yang lebih tinggi berbanding NIR, maka sering dikaitkan dengan risiko terhadap keselamatan dan alam sekitar jika disalahgunakan,” katanya ketika ditemui Mega Sains baru-baru ini.

Tambah beliau, penggunaan sinaran RF dalam memberikan liputan telekomunikasi pada dasarnya sangat penting kerana ia menghubungkan telefon pintar dengan menara pemancar telekomunikasi supaya mendapat liputan dan boleh berfungsi dengan baik.

Untuk mendapat liputan yang baik dan optimum, syarikat penyedia rangkaian telekomunikasi membina lebih banyak menara pemancar telekomunikasi seiring dengan perubahan teknologi semasa.

“Kita sangat bergantung kepada frekuensi radio kerana sistem komunikasi wayarles yang terdiri daripada sistem pemancar telekomunikasi dan telefon pintar tidak boleh berfungsi tanpanya. Kita juga tidak mendapat liputan telefon dan Internet.”

“Terdapat pelbagai jenis struktur telekomunikasi antaranya struktur kutub tunggal (monopole), menara di atas tanah, struktur pada tiang lampu, struktur di atas bumbung bangunan dan antena yang diletakkan di atas tangki air, papan iklan mahupun masjid yang berperanan untuk memberi liputan memancarkan isyarat gelombang radio bagi membolehkan telefon menerima isyarat,” jelasnya.

Tambah Mohd. Sidek, untuk mendirikan pemancar telekomunikasi, setiap penyedia rangkaian telekomunikasi perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT) dan mengikut standard yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Malah, pembinaan struktur telekomunikasi diperlukan bagi meluaskan liputan dan meningkatkan kualitinya supaya pengguna dapat menikmati perkhidmatan komunikasi yang optimum dan memuaskan.

“Selain itu, penambahan penduduk dalam sesebuah kawasan juga mendorong kepada perlunya penambahan struktur komunikasi yang lebih banyak bagi menampung keperluan mereka.

Sejak akhir tahun 1990-an, isu sinaran RF telah dibangkitkan oleh pengguna. Justeru, SKMM dan Nuklear Malaysia bekerjasama rapat dalam menangani aduan, rungutan dan kebimbangan yang dibangkitkan. Kumpulan Sinaran Tidak Mengion, Bahagian Keselamatan Dan Kesihatan Sinaran, Agensi Nuklear Malaysia ditubuhkan pada 1996 menjalankan beberapa aktiviti termasuk penilaian aras sinaran, program kesedaran awam, penyelidikan dan latihan serta kursus berkaitan dengan NIR.

Berkali-kali kita dimomokkan dengan kesan bahaya sinaran frekuensi radio (RF) daripada struktur pemancar telekomunikasi yang kononnya penyebab penyakit kanser. Ini menyebabkan orang ramai yang mula takut apabila syarikat telekomunikasi memasang pemancar telekomunikasi di kawasan perumahan, malah lebih teruk mencetuskan bantahan pembangunan pencawang tersebut oleh pihak yang tidak berpuas hati.

Walaupun terdapatnya beberapa kajian mengenai perkara tersebut, namun data yang diperoleh boleh dipertikai memandangkan tiada sumber yang jelas boleh dikaitkan dengan kesihatan.

Terdapat 500 pencawang telekomunikasi di seluruh negara dengan data kurang satu peratus daripada yang ditetapkan oleh SKMM dan agensi antarabangsa seperti International Commission on Non-ionising Radiation Protection ICNIRP dan IEEE. Ini bermakna sebarang sinaran frekuensi radio yang terhasil daripada stesen pemancar telekomunikasi adalah selamat berdasarkan had pendedahan.

Menurut Pegawai Penyelidik Bahagian Keselamatan Dan Kesihatan Sinaran, Agensi Nuklear Malaysia, P. Shamesh Raj, kajian yang dijalankan sebelum ini menjadi punca masyarakat gelisah dan takut dengan pembinaan pencawang telekomunikasi.

“Jika diamati, rekaan pencawang itu sendiri sudah selamat dan mengikut piawai yang ditetapkan dan sekiranya dibina di kawasan perumahan atau kepadatan penduduk pastinya pembekal telekomunikasi membina pencawang pada jarak fizikal yang selamat bagi mengelakkan kemalangan,” jelasnya.

Beliau juga menambah, sinaran frekuensi daripada menara telekomunikasi, struktur komunikasi, televisyen, radio, telefon mudah alih, gelombang mikro dan satelit hanya sekitar 3 kHz hingga 300 GHz, dan masih lagi pada tahap selamat.

“Tahap had yang tidak selamat adalah di antara 3,000 THz hingga 30 EHz iaitu daripada sumber radio aktif, malah struktur pemancar telekomunikasi dipasang pada struktur tinggi seperti tangki air, menara atau bangunan tinggi mahupun di kawasan lapang.

“Antena diletakkan di kedudukan paling tinggi untuk memastikan kawasan liputan sejauh mungkin. Ketinggian menara pemancar secara purata antara 50 hingga 100 kaki. Gelombang frekuensi radio (RF) adalah sangat lemah dan tidak mempunyai kuasa mencukupi untuk mengganggu kesihatan manusia,” katanya.

Justeru tiada apa yang perlu ditakutkan, malah memberi kelebihan kepada penduduk setempat sekiranya struktur pemancar telekomunikasi atau pencawang telekomunikasi dibina berdekatan kawasan anda.

Agensi Nuklear Malaysia merupakan agensi teknikal yang menjalankan penilaian keselamatan sinaran RF menara pemancar telekomunikasi bagi mengetahui aras sinaran dari menara telekomunikasi.

Dalam pada itu, menurut Mohd Sidek Othman, penilaian bertujuan memastikan aras sinaran atau radiasi RF yang dihasilkan dari menara telekomunikasi tersebut mematuhi had dedahan untuk orang awam seperti yang dinyatakan dalam Standard Mandatory SKMM dan ICNIRP.

“Antara proses yang akan dilakukan adalah mengenal pasti sumber frekuensi radio dan mengenal pasti titik pengukuran. Lokasi pengukuran dipilih berdasarkan kepada kebarangkalian orang ramai mendapat dedahan radiasi RF seperti kawasan perumahan dan taman permainan kanak-kanak.

“ Dalam kata lain, pengukuran hanya dilakukan sekiranya wujud permintaan, aduan atau bantahan daripada orang ramai bagi memastikannya selamat,” jelasnya lagi.