Lawatan tersebut dianjurkan khusus untuk meneroka dan mendapatkan informasi mengenai teknologi yang digunakan dalam pembinaan Sistem Transit Aliran Massa (MRT) yang juga merupakan salah satu daripada pembangunan berorientasikan transit (TOD).

Seramai lapan orang pelajar dari Sekolah Kebangsaan Sungai Melut (A) Sepang telah dibawa bersama dalam lawatan tersebut yang turut disertai pengurusan tertinggi MOSTI dan disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rapid Rail, Datuk Ir. Zohari Sulaiman. Yang turut hadir Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Seri Dr. Mohd. Azhar Yahaya dan Ketua Pengarah, Agensi Angkasa Negara (Angkasa), Dr. Noordin Ahmad.

Madius berkata, langkah membawa pelajar Orang Asli itu bagi memberi peluang dan ruang kepada mereka untuk meneroka teknologi terkini yang digunakan dalam sistem pengangkutan awam di negara ini.

“Saya mengharapkan dengan usaha kecil ini, ada dalam kalangan mereka yang satu hari nanti akan menceburi bidang STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik).

“Saya percaya dan penuh yakin bahawa pembangunan bakat adalah penting sebagai persediaan dalam dunia pekerjaan pada masa hadapan dan bidang sains dan teknologi adalah bidang peneraju yang bakal memberi peluang yang lebih luas dan cerah kepada mereka,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pelaksanaan projek MRT melambangkan permintaan tenaga kerja mahir pada masa hadapan. Satu perkara yang membanggakan adalah 10 kontraktor pakej utama yang terbabit dalam pembinaan jajaran MRT Sungai Buluh Kajang (SBK) terdiri daripada anak tempatan walaupun teknologi yang digunakan datang dari Jerman.

Daripada projek berprofil tinggi itu, pemindahan teknologi memberi peluang kepada anak-anak tempatan menimba pengalaman berharga dalam menyepadukan kepakaran mereka dengan syarikat antarabangsa. Selain itu, projek berkenaan juga membuka peluang syarikat tempatan untuk mengeksport kemahiran dan keupayaan mereka ke luar negara pada masa akan datang.

“Tujuan utama kita membawa pegawai kanan MOSTI pada hari ini adalah untuk melihat inovasi yang diperkenal dalam hal berkaitan kejuruteraan pengendalian dan keselamataan dan papan tanda, komunikasi dan juga teknologi bersih yang dalam dalam sistem kereta api ini.

“Dengan itu kita boleh memberitahu masyarakat bahawa Malaysia sudah mempunyai kemudahan pengangkutan yang canggih dan mereka dapat menghargainya,” ujar beliau.

Apa yang menarik kata beliau lagi, adalah syarikat berkenaan membuktikan kejayaan dalam pengurusan bakat pekerja yang berkemahiran memandangkan sistem tersebut berteknologi tinggi, sekali gus membuktikan bahawa sudah sampai masanya Malaysia memberi penekanan kepada ekonomi berasaskan pengetahuan.

Antara perkara yang menarik perhatian dalam teknologi pembinaan MRT adalah kerja-kerja bawah tanah yang meliputi pembinaan terowong berkembar dan struktur yang berkaitan bagi jajaran bawah tanah sepanjang 13.5 km serta 11 stesen bawah tanah termasuk Stesen MRT Tun Razak Exchange (TRX).

TRX merupakan stesen paling dalam dan kedalamannya menyamai bangunan rumah pangsa 15 tingkat.

Selain itu, operasi MRT juga melibatkan sistem elektrikal dan mekanikal yang menuntut satu tahap piawaian yang tinggi untuk memastikan kelancaran perjalanan para penumpang mengikut jadual yang ditetapkan.

Sementara itu menurut Zohari, sistem MRT menggunakan teknologi tinggi untuk beroperasi secara lebih baik dan untuk tujuan itu pihaknya amat memerlukan pekerja berkemahiran.

“Bagi tujuan menggunakan tenaga kerja berkemahiran, kami bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan sebuah politeknik bagi membolehkan pelajar yang tamat pengajian diberi pendedahan dalam pengangkutan kereta api sebelum diterima bekerja sebagai kakitangan tetap.

“Kaedah ini bertujuan mengurangkan masa melatih mereka,’’ ujar beliau sambil menambah bahawa tiga ramuan utama kejayaan rangkaian kereta api adalah rangkaian hubungan, kekerapan dan ketepatan.

Selain meninjau kemudahan berteknologi tinggi , MOSTI juga menggunakan pendekatan menganjurkan pelbagai program dan acara dalam usaha membudaya dan menyemarakkan STI.