Hal ini kerana inovasi dan penciptaan dapat menambah baik dan memudahkan kehidupan seharian sekali gus dapat meningkatkan produktiviti pekerjaan.

Bukan itu sahaja, dengan inovasi juga dapat menggerakkan negara selangkah ke hadapan dan bersaing dengan negara maju lain.

Menyedari kepentingan inovasi terkini dalam kehidupan harian, Politeknik Nilai khususnya berusaha membudayakan inovasi dalam kalangan pelajar.

Pensyarah kanannya, Mohd. Fuaad Fesul berkata, pihaknya sentiasa komited melahirkan graduan yang aktif dalam penciptaan dan penghasilan inovasi.

Menurutnya, perkara tersebut adalah seiring dengan aspirasi Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mahu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi setaraf dengan sijil pendidikan tinggi lainnya.

“Visi dan misi politeknik adalah untuk memantapkan penghasilan graduan yang berkualiti dari segi peningkatan bakat antara graduan dan pensyarah.

“Dalam mencapai aspirasi TVET, kami juga menggalakkan pelajar untuk menghasilkan inovasi berasaskan perniagaan yang boleh membantu meningkatkan produktiviti usahawan,” ujarnya.

Tambahnya, inovasi-inovasi yang dihasilkan berperanan sebagai penyelesaian masalah kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) khususnya bagi meningkatkan pendapatan mereka.

“Kita menggalakkan mereka untuk menghasilkan produk-produk innovasi yang akan membantu meningkatkan aktiviti perniagaan terutama untuk perniagaan berskala kecil.

“Ini juga secara tidak langsung membantu mereka dari aspek keusahawanan sekiranya mereka mahu menjadi seorang pereka suatu hari nanti memandangkan negara masih kekurangan profesion itu,” katanya.

Sementara itu Timbalan Pengarahnya, Dr. Halimah Hassan berkata, politeknik juga menggalakkan kerjasama antara pelajar dengan pihak industri untuk memberi pendedahan.

“Ini terutama kepada pelajar tahun akhir yang dikehendaki menyiapkan projek inovasi untuk melengkapkan sukatan pelajaran mereka.

“Kerjasama antara pelajar dan industri sangat membantu untuk memberi pendedahan cara kerja sebenar dan membantu dari aspek perkembangan idea dan cara pembuatan,” ujarnya.

Jelasnya lagi, produk inovasi yang telah dihasilkan kemudiannya akan ditambah nilai dan dikomersialkan dengan bantuan dana daripada pihak politeknik.

Mesin tebar roti jala

Dalam usaha mencapai aspirasi TVET, Politeknik Nilai turut aktif menghasilkan produk inovasi untuk perniagaan IKS.

Terbaharu, empat orang pelajar tahun akhir jurusan Kejuruteraan Mekanikal telah berjaya menghasilkan mesin pembuat roti jala separa automatik untuk kegunaan peniaga kecil. Mohd. Fuaad yang juga penyelia projek berkenaan berkata, mesin tersebut dihasilkan daripada cetusan idea pelajar-pelajarnya.

“Ciptaan ini bermula daripada proses mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh peniaga atau penjaja roti jala.

“Kami dapati antara masalah yang sering dihadapi oleh mereka adalah proses membuat roti jala secara manual memakan masa yang lama dan kurang produktiviti,” katanya.

Oleh itu katanya, mesin berkenaan yang diperbuat daripada keluli tahan karat mempunyai fungsi motor yang mampu bergerak ke kiri dan kanan untuk menghasilkan sekeping roti jala yang cantik.

Mesin berkenaan boleh menghasilkan 300 keping roti jala dalam masa satu jam dengan bentuk dan saiz yang seragam.

“Jadi, ini dapat meningkatkan penghasilan roti jala kerana peniaga hanya perlu memantau sama ada roti jala telah masak atau tidak sementara proses ‘tebaran’ dilakukan oleh mesin.

“Untuk memudahkan lagi penjaja kecil, kami turut memasang roda di pada mesin bagi memudahkan ia dialihkan ke mana-mana sahaja,” katanya lagi.

Penghasilan mesin itu direalisasikan dengan kerjasama syarikat penciptaan tempatan, Zull Design Autotronic (ZDA) yang memberikan khidmat perundingan dan bimbingan kepada pelajar sepanjang proses pembuatan dijalankan.

Dalam pada itu, salah seorang pelajarnya, Muhammad Zulkarnain Mohd. Ainol Jamal menjelaskan, pengalaman yang diperoleh sepanjang melaksanakan projek inovasi berkenaan sangat memuaskan.

Katanya, bermula dari proses mengenal pasti masalah, pengumpulan idea sehingga proses pembuatan banyak mendedahkan dirinya dan rakan-rakan kepada dunia kerja sebenar.

“Walaupun kami agak kesuntukan masa kerana perlu melakukan tugasan lain, tetapi kami mampu juga menyiapkan prototaip inovasi ini dalam masa lapan bulan.

“Selain itu, kerjasama dengan ZDA sangat membantu kami dalam mengembangkan idea dan menghasilkan inovasi yang selamat serta berkualiti.