Langkah yang dibuat oleh SIRIM Berhad dalam membudayakan inovasi dan kreativiti dalam kalangan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggan (IPT) awam dan swasta amat signifikan. Justeru, bagi menyempurnakan matlamat tersebut sepasukan penyelidik Seksyen Sistem Pintar bawah Pusat Reka Bentuk Sistem SIRIM tidak mensia-siakan kepakaran yang dimiliki dengan memperkenal kit robotik, RoboKit yang boleh dimanfaatkan sebagai alat pembelajaran dan pengajaran hands on dalam bilik darjah. RoboKit hasil penyelidikan pada Ogos 2010 dan siap mengikut jenis model.

Idea tersebut bermula setelah kumpulan berkenaan mengadakan program latihan dan peningkatan kemahiran dalam subjek Sistem Reka Bentuk Elektronik (Training and Reskilling Program on Electronics System Design), kepada siswazah lepasan ijazah dan siswazah mengganggur pada tahun 2009 dan berjaya membangunkan Kit Latihan Sistem Terbina Dalam (Embedded System Training Kit).

Kit ini merupakan satu inisiatif dan kesungguhan penyelidik berkenaan dalam usaha mencapai objektif kerajaan dalammeningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran subjek sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Menurut Ketua Seksyen Sistem Pintar dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID), pusat berkenaan, Hasmafatiha Harun, penghasilan kit berkenaan adalah sejajar dengan usaha memperkasa pembangunan pembelajaran STEM agar generasi muda dapat bergerak seiring dengan perubahan teknologi semasa iaitu Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0).

Usaha menarik minat pelajar ke arah STEM ini adalah penting bagi menyokong perancangan serta langkah-langkah kerajaan dalam menghadapi cabaran abad ke-21 seperti globalisasi, era digital, krisis ekonomi, dan teknologi pengganggu yang dibawa oleh IR 4.0.

Selain beliau, kumpulan penyelidik tersebut termasuk Al Malek Faisal Mohd. Amin sebagai ketua projek, Nur Izzatul Huda Musaddin, Hasnul Hisham Ahmad Zambri dan Bolhi Brodi.

PENGAJIAN SAINS

Hasmafatiha berkata, usaha ini juga adalah selari dengan sasaran untuk mencapai nisbah pengajian sains dengan sastera kepada 60:40 menjelang 2020 dan pihaknya berharap agar lebih ramai pelajar memilih bidang sains semasa peringkat tinggi pengajian mereka kelak.

Mekanismenya adalah dengan cara menjalankan sesi Roboclinic bersama-sama dengan agensi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pendidikan yang bertemakan Ke arah Pembudayaan Inovasi Melalui Aplikasi Robotik.

Kumpulan tersebut menamakan projek berkenaan sebagai SIRIM RoboKit atau An Innovative Platform for Educational Learning and Teaching in Robotic Application.

Ia berguna bagi membolehkan pelajar dari seawal peringkat sekolah rendah mempelajari tentang sistem embedded (terbina dalam) dan juga pengaturcaraan perisian (software programming) dan boleh digunakan sebagai alat bantuan mengajar dalam bidang kawalan dan robotik.

Menurut Hasmafatiha lagi, produk berkenaan telah memenangi pingat emas pada Ekspo Teknologi Malaysia 2012 (MTE 2012).

Pada tahun 2016, Bengkel KejuruteraanRobotik dan Aeroangkasa didakan bawah program Program Inovasi Sosial MOSTI (MSI) di tiga buah lokasi di Sabah iaitu Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan.

Program tersebut melibatkan sebanyak 30 buah sekolah menengah iaitu seramai 150 orang peserta.

Program terbaru 2017 yang akan turut dilaksanakan oleh SIRIM Berhad adalah Bengkel Kejuruteraan Robotik dan Aeroangkasa di Santubong, Sarawakpada 30 Oktober hingga 3 November tahun lalu.

Program tersebut melibatkan 33 orang murid dari 11 buah sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Santubong, SMK Bandar Semariang, SMK Agama Tun Ahmad Zaidi, SMK Demak Baru, SMK Semerah Padi, SMK Tun Abang Haji Openg and SMK Bako.

Bengkel tersebut dianjurkan oleh MOSTI dengan kerjasama World Association of Industrial and Technology Research Organisation (WAITRO) and Islamic Educational, Scientific and Cultural Organization (ISESCO), Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.

Pada masa yang sama, bengkel tersebut digabungkan dengan program WAITRO-ISESCO-SIRIM Research Fellowship Programme (WRFP) bagi sistem AI.

PESERTA SAINTIS

Program tersebut yang diketuai Al Malek turut memperkenal RoboKit kepada peserta.

Peserta merupakan saintis dari Institut Penyelidikan Teknologi dan Inovasi Botswana (BITRI), Organisasi Penyelidikan Iran Sains dan Teknologi Iran (IROST), sertta Majlis Sains dan Penyelidikan Perindustrian (CSIR) Afrika Selatan.

Peserta juga dari Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Kebangsaan dan Pembangunan (NERDC) Sri Lanka, Pertubuhan Industri Penyelidikan dan Pembangunan Tanzania (TIRDO), Caribbean Industrial Research Institute (Cariri) Trinidad dan Tobago, dan Institut Saintifik dan Penyelidikan Berkaitan Teknologi Thailand (TISTR).

Secara tidak langsung, program ini membantu meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran STEM dan juga program dwibahasa bawah dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Terbukti pada Ekspo Inovasi Nasional dan Kreatif Ekonomi (NICE) 2017 iaitu ekspo sains, teknologi dan inovasi (STI) terbesar negara di Technology Park Malaysia, mereka berjaya menjadikan sains begitu menyeronokkan dengan aplikasi robot.