Ini termasuk penggunaan bekalan elektrik, kenderaan mahupun pembangunan menyebabkan negara semakin kekurangan sumber semula jadi.

Tanpa disedari, tindakan menebang pokok dan penerokaan tanah tanpa perancangan pembangunan membawa kesan buruk bukan sahaja kepada alam sekitar malah penduduk.

Walaupun berulang kali rakyat didedahkan dengan kepentingan memelihara dan memulihara alam semula jadi, namun agak sukar untuk mengubah gaya hidup masyarakat yang sudah terbiasa dengan budaya lama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia), Dr. Mohd. Azman Zainul Abidin berkata, tahap kesedaran dan pengetahuan rakyat Malaysia mengenai kepentingan teknologi hijau masa kini dilihat masih pada tahap rendah.

Jelasnya, agak sukar untuk mengubah pandangan rakyat di negara ini untuk memulakan langkah ke arah memulihara alam. Justeru itu, pihaknya perlu mengambil pendekatan yang kolektif dan efektif agar usaha ke arah Go Green berjaya diadaptasi di negara ini.

“Menerusi kerajaan baharu ini, kita melihat usaha ke arah melestarikan sumber semula jadi menjadi antara fokus utama apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik.

“Tahun ini, kami akan memberi fokus terhadap perubahan iklim, alam sekitar dan kehidupan yang lestari dalam menjayakan agenda teknologi hijau.

“Untuk ke arah itu, kami perlu memberi penekanan kepada perubahan iklim menerusi fokus dalam ekonomi hijau, teknologi hijau dan budaya hijau,” katanya yang ditemui Mega Sains di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

Teknologi hijau merujuk kepada pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memelihara alam sekitar dan alam semula jadi dan meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia termasuk mengurangkan degradasi kualiti persekitaran, mempunyai pembebasan gas rumah hijau (GHG) yang rendah atau sifar serta selamat untuk digunakan, dan menyediakan persekitaran sihat untuk semua hidupan, menjimatkan tenaga dan sumber asli dan menggalakkan sumber-sumber yang boleh diperbaharui.

Tambah Mohd. Azman, GreenTech Malaysia bawah Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar ditubuhkan untuk menerajui pembangunan dan promosi teknologi hijau sebagai enjin strategik bagi pertumbuhan sosioekonomi sejajar dengan Pelan Induk Teknologi Hijau 2017-2030.

“GreenTech Malaysia mempunyai misi sebagai peneraju dalam ekonomi hijau melalui teknologi hijau dan budaya hijau selain sebagai agensi yang memperkasa teknologi hijau untuk pertumbuhan hijau dan kemampanan hijau.

“Menerusi teknologi hijau ini, pastinya dapat mengurangkan karbon monoksida daripada kenderaan dan peningkatan suhu dan gas rumah hijau iaitu gas karbon dioksida (CO2),” jelasnya,

Justeru, Greetech Malaysia berusaha menggalakkan rakyat Malaysia untuk mula menanam pokok supaya gas CO2 yang dibebaskan adalah lebih baik.

Oleh itu, GreenTech Malaysia mahu dikenali dan dilihat sebagai pusat rujukan berkaitan teknologi hijau.

“Segala data berkaitan teknologi hijau boleh dirujuk di sini. Begitu juga pemain industri atau kerajaan mahupun syarikat swasta yang memerlukan data boleh dapatkannya di GreenTech Malaysia,” katanya lagi.

Selain itu, demi membudayakan teknologi hijau di negara ini, GreenTech Malaysia menyediakan stesen cas kenderaan di 150 buah stesen minyak Petronas di seluruh negara secara percuma.

Dalam pada itu, menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan beliau yakin rakyat Malaysia akan berubah sikap ke arah Go Green dalam tempoh 20 tahun lagi. Demi merealisasikannya, GreenTech Malaysia mencadangkan agar memberi pendidikan dan pendedahan kepada pelajar sejak di bangku sekolah rendah lagi.

“Ini kerana kanak-kanak mudah dibentuk. Apabila menjadi amalan di sekolah, di rumah, sudah pastinya proses membudayakan Go Green dapat dijayakan.

“Walaupun mengambil masa yang lama, saya yakin generasi akan datang pasti akan menitikberatkan kepentingan alam sekitar,” katanya lagi.

Mahu Budayakan teknologi hijau

MELENTUR biarlah waktu rebung. Itulah yang akan dilaksanakan oleh GreenTech Malaysia dalam memperkasa kepentingan teknologi hijau dalam kalangan rakyat negara ini.

Walaupun dilihat agak liat untuk membentuk masyarakat prihatin terhadap konsep Go Green, namun cabaran itu akan terus disahut agar generasi akan datang tidak menghadapi isu berkaitan tenaga dan alam sekitar.

Dr. Mohd. Azman Zainul Abidin menambah, statistik menunjukkan antara 80 hingga 85 peratus rakyat Malaysia berhijrah ke bandar, sekali gus menandakan peningkatan penggunaan ke bandar air, tenaga dan bahan mentah.

“Ini sekali gus menyebabkan pembebasan karbon dioksidan (CO2) di kawasan perindustrian seperti kilang serta pengangkutan turut meningkat.

“Sebab itu kita sedaya upaya mempromosikan kepada orang ramai mengenai kepentingan membeli kenderaan elektrik, menaiki kenderaan awam atau berkongsi kereta.

“Dalam masa sama, kami juga ingin melihat bangunan di negara ini turut menekankan elemen hijau seperti penggunaan solar panel bagi menggantikan penggunaan elektrik bagi lampu, atau pendingin dingin.

“Walaupun agak sukar untuk mengubah cara pemikiran orang Malaysia, tetapi saya yakin, pada satu hari nanti rakyat mampu berubah agar kemusnahan alam sekitar dan sumber asli dapat dibendung.

“Pada masa sama, dapat meningkatkan tahap kesihatan serta memelihara ekosistem,” ujarnya.

Dalam usaha ke arah itu, kerajaan telah mewujudkan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) bagi menggalakkan kontrak-kontrak kerajaan tertakluk kepada elemen hijau.

“Ini kerana kerajaan adalah pembeli terbesar di negara ini.

“Kami menyasarkan sebanyak 20 peratus pembelian peralatan bagi kegunaan kerajaan, malah akan diberi pengecualian cukai pendapatan sehingga dua peratus.

“Sementara itu, GreenTech Malaysia turut mengeluarkan sijil MyHijau sebagai langkah untuk mempromosikan sumber dan pembelian produk serta perkhidmatan hijau di negara ini dengan matlamat untuk menggalakkan penggunaan amalan mesra alam di negara ini,” jelasnya.