Majoriti anak muda terutamanya mula menggunakan kelebihan teknologi dompet digital dalam rutin perbelanjaan harian bagi menggantikan dompet konvensional.

Dompet digital berfungsi sebagai dompet fizikal iaitu membolehkan seseorang menyimpan wang, kad debit dan kad kredit dalam satu aplikasi iaitu tiada lagi keperluan membawa wang tunai atau kad debit mahupun kad kredit, sebaliknya transaksi pembayaran hanya melalui telefon pintar.

Walaupun nampak canggih dan lebih memudahkan, namun isu keselamatan sering kali bermain dalam fikiran pengguna bagi memastikan transaksi berlaku secara telus dan data peribadi kekal sebagai rahsia.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital Sdn.Bhd., Syahrunizam Samsudin berkata, perubahan ke arah digital perlu diterima oleh semua masyarakat memandangkan satu dunia menuju ke arah tersebut.

Justeru, beliau meminta masyarakat untuk tetapkan fikiran agar mempercayai kelebihan teknologi dalam memudahkan urusan seharian.

“Masyarakat perlu mempercayai dan menerima perubahan ini sementara pihak kami akan terus mendidik dan bercakap mengenai kelebihan itu dan sejauh mana tahap keselamatan teknologi tersebut,” katanya semasa Forum Cashless Confidential: eWallet vs Cash : Which is More Secure?” anjuran TNG Digital Sdn.Bhd. dengan kerjasama Nielsen Malaysia, baru-baru ini.

Ekoran pelbagai isu keselamatan yang menjadi tanda tanya, Touch ‘n Go eWallet hadir dengan satu penyelesaian terbaik apabila memperkenalkan Polisi Jaminan Pulangan Wang iaitu satu polisi perlindungan dan keselamatan yang pertama seumpamanya untuk pembayaran mudah alih di Malaysia.

Polisi Jaminan Pulangan Wang boleh didapati secara eksklusif melalui e-dompet Touch ‘n Go.

Langkah memperkenal polisi tersebut merupakan sebahagian usaha untuk menjaga hak pengguna serta memastikan akaun mereka kekal selamat dengan membawakan ciri-ciri keselamatan dan kemudahan hanya melalui satu aplikasi.

Menerusi polisi tersebut, pengguna e-dompet boleh melaporkan sebarang transaksi tidak sah dan menuntut pulangan dengan mendaftar masuk ke dalam aplikasi e-dompet atau dengan melayari laman sesawang: tngd.my/mbg.

“Polisi Jaminan Pulangan Wang adalah komitmen kami untuk kesenangan masa depan ekosistem e-Pembayaran di Malaysia.

“Ia turut membolehkan kami memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dengan memberikan mereka keyakinan untuk mengamalkan gaya hidup digital sepenuhnya.

“Pengguna boleh mempercayai kami, terus yakin membuat pembayaran dan menjalankan transaksi menggunakan aplikasi kami. Ketahuilah bahawa transaksi berkenaan dilindungi dan pulangan wang akan diberikan untuk sebarang transaksi tidak sah,” jelasnya.

Katanya, pengguna boleh membuat pembayaran dengan senang dan selamat untuk pelbagai jenis perkhidmatan termasuk utiliti, hiburan, makanan dan minuman serta menerusi RFID dan PayDirect dan ciri-ciri unik aplikasi mereka.

“Dengan polisi terbaharu ini kami akan terus memainkan peranan aktif dalam meningkatkan gaya hidup digital anda dengan memastikan bahawa anda dilindungi di setiap sudut transaksi,” ujarnya.

Sementara itu Ketua Pegawai Risiko TNG Digital Sdn. Bhd., Teh Huey Tzi memberitahu, pengguna tidak perlu teragak-agak atau khuatir dalam perkhidmatan yang ditawar TNG Digital kerana data peribadi dan nombor akaun pengguna kekal rahsia.

“Kami di TNG Digital juga tidak mengetahui dan tidak boleh membaca nombor akaun pengguna kerana setiap nombor tersebut akan ditukar kepada kod berbeza yang perlu mengambil masa yang lama bagi seseorang untuk mengesan nombor asal.

“Ini bermakna agak mustahil untuk kami menyebarkan data peribadi atau nombor akaun kepada pihak ketiga,” ujarnya.

Katanya lagi, TNG Digital turut menggunakan Kecerdasan Buatan (AI) yang berupaya mengesan dan mengurangkan sebarang kemungkinan berlakunya aktiviti yang tidak sah.

Untuk melayakkan pengguna dalam menuntut kembali wang menerusi polisi tersebut, mereka perlu mengesahkan akaun e-dompet menerusi proses Pengesahan Akaun.

“Setelah akaun itu disahkan, perlindungan Jaminan Pulangan Wang akan diaktifkan dengan memaparkan satu ikon perisai perlindungan e-dompet pada butang sunting (edit) profil pengguna.

“Jika pengguna mendapati bahawa mereka telah dikenakan caj dengan transaksi tidak sah dalam akaun e-dompet, mereka boleh klik pada ciri Jaminan Pulangan Wang dalam aplikasi.

“Ciri berkenaan akan memaparkan satu borang memerlukan pengguna perlu mengisi butiran kes mereka dan menyertakan bukti resit atau sebarang dokumentasi yang berkaitan dengan transaksi tersebut.

“Pasukan e-dompet kemudiannya akan menyiasat dan jika tuntutan berkenaan terbukti sah, pengembalian wang akan diproses dan pembayaran balik akan dibuat dalam tempoh lima hari bekerja,” jelasnya.

Dalam pada itu Huey Tzi memberitahu, Touch ‘n Go e-Wallet mempunyai lebih 4.2 juta pengguna dan lebih 50,000 lokasi penerimaan.

e-dompet dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dengan tahap pematuhan, tadbir urus korporat dan standard keselamatan tertinggi bagi memastikan transaksi yang berhemah serta selamat untuk penggunanya.