Namun langkah -langkah persediaan menghadapinya tidak pernah berhenti. Sebagai contoh, sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) diketuai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berjaya menghasil dan membangunkan produk dikenali sebagai Stesen Cuaca Pintar dan Sistem Amaran Banjir (Intelligent Weather Station and Flood Warning System) atau singkatannya iWarner.

Inovasi yang dibangunkan melalui dana khas forensik banjir, Kementerian Pendidikan Tinggi ini timbul apabila beberapa siri banjir tempatan yang berlaku di Kelantan sebelum ini, di Terengganu dan Pahang yang telah menyebabkan berlaku kerosakan harta benda awam dan persendirian ketika itu.

Justeru menerusi bantuan dana dan galakan tersebut, kumpulan penyelidik UKM berjaya membangunkan protaip sistem berkenaan yang kini dipasang di lokasi berisiko banjir.

Menurut Dr. Mohd. Ekhwan, kejayaan pasukan penyelidiknya yang merupakan gandingan UKM dan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) dalam mencipta sistem berkenaan menunjukkan kejayaan saintis tempatan yang mampu menghasilkan produk atau pun sistem yang setanding dengan pencipta luar negara.

Malah katanya, daya kemampuan inovasi yang tinggi dalam kalangan penyelidik tempatan banyak membantu universiti dalam membantu menyediakan sistem sokongan terhadap masalah banjir.

Menerusi geran tambahan dari Institut Perubahan Iklim UKM, produk tersebut ditambah baik dengan aplikasi cuaca bersepadu melibatkan cerapan data semasa bagi hujan dan limpahan air serta kamera beresolusi tinggi.

Penggunaan iWarner yang mampu menyalurkan maklumat kedalaman air secara tepat terus kepada pengguna memudahkan pengurusan dalam memberi amaran awal kepada mangsa banjir.

Di samping itu, sistem berkenaan yang digerakkan sepenuhnya menggunakan sistem solar mampu bertahan selama tiga hari walaupun tanpa cahaya matahari.

Apa yang menarik, melalui iWarner, maklumat seperti aras air, suhu, kelembapan, tekanan udara dan hujan dapat dibekalkan terus kepada pengguna melalui teknologi Internet Segalanya (IoT). Teknologi berkenaan membantu pengguna mendapatkan maklumat berkenaan melalui telefon pintar masing-masing secara dalam talian melalui laman web iWarner di www.iwarner.robopro.org.

Walaupun beberapa produk seumpamanya telah ada di pasaran, iWarner menjanjikan sistem yang mesra pengguna dan tidak melibatkan kos pemasangan dan penyelenggaraan yang tinggi.

Dari segi spesifikasi, iWarner hanya memerlukan 12 volt bateri yang boleh bertahan selama tujuh hari tanpa cas.

Ini kerana iWarner menggunakan tenaga solar bagi pemantauan data cuaca. Semua data bacaan akan dikemas kini secara automatik setiap 10 minit dan boleh dilaras mengikut lokasi iWarner dipasang. Selain itu, reka bentuknya yang mudah dipasang dan tahan karat.

iWarner merupakan alternatif kepada sistem pemantauan masa nyata yang boleh dipasang di mana-mana sahaja kawasan tanah rendah yang berpotensi mengalami banjir seperti di kawasan perumahan, kawasan industri, sekolah dan jajaran jalan raya yang mudah dinaiki air.

Ini berbeza dengan aplikasi sistem amaran sedia ada yang banyak dipasang di pinggir sungai.

Insiden aliran lumpur dan banjir kilat yang selalu berlaku di bandar besar memerlukan satu sistem penyampaian maklumat bersepadu.

Prof. Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, sistem amaran banjir terutama di kawasan rendah merupakan kaedah berkesan dalam memastikan mereka yang terdedah dapat bertindak cepat.

Sistem iWarner yang kini dipasang di kampus induk Unisza mampu menyalurkan maklumat dengan pantas.

iWarner memang direka khusus melibatkan simulasi masa sebenar berkaitan maklumat aras air dan data cuaca lain termasuk suhu dan kelembapan.

Direka pada tahun 2015 oleh pasukan teknologi maklumat dari Unisza dan Dr. Mohd. Ekhwan yang juga pakar hidrologi, iWarner kini boleh dikomersialkan bagi menggantikan sistem tolok banjir yang dipasang secara manual di kawasan banjir.

“iWarner sedang dipertingkat kemampuannya dengan sistem akses yang boleh dimuat turun menggunakan aplikasi android bagi memudahkan diakses melalui telefon pintar,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pengguna terutama yang menetap di kawasan rendah boleh mendapatkan maklumat terus dari iWarner yang mencerap data aras air di kawasan rendah.

Dengan maklumat yang lebih awal, masyarakat boleh bersedia dan bertindak pantas. iWarner lebih mesra pengguna dan mudah diselenggara. Ia boleh dipasang di mana-mana selagi terdapat rangkaian telefon dan Internet.

Penyelidikan tersebut yang menerima dana Skim Geran Penyelidikan Prototaip (FRGS) juga dianggotai Prof. Madya Dr. Hafizan Juahir, Dr. Engku Fadzli Hasan Syed Abdullah, Dr. Mokhairi Makhtar, Dr. Mohd. Khairul Amri Kamarudin, Azrul Amri Jamal dan Ahmad Nazari Md. Rosse.