Populasi penduduk dunia dijangka meningkat sehingga 10 bilion pada 2050 dan itu bermakna dunia berhadapan dengan pelbagai masalah seperti antaranya peningkatan kos tenaga, sisa dan perubahan iklim dan alam sekitar.

IGEM 2018 bukan sahaja berjaya membuka platform perniagaan, sebaliknya turut mencari penyelesaian dari segi industri hijau dan eko dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan kini dan akan datang bagi memastikan alam sekitar kekal terjamin serta untuk masa depan generasi akan datang.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, pada majlis pelancaran IGEM 2018 baru-baru ini berkata, industri hijau dijangka menyumbang kepada 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara.

Selain itu, kementerian akan terus mendidik rakyat dengan pengharaman penggunaan plastik sama ada di pasar raya atau penggunaan penyedut minuman plastik.

Langkah tersebut digariskan oleh kerajaan ke arah usaha untuk mengurangkan penggunaan beg plastik sekali guna yang turut dibentangkan di hadapan lebih 100 delegasi yang terdiri daripada peserta industri.

Beliau berkata, semua pasar raya yang masih menggunakan beg plastik konvensional dalam perniagaan akan dikenakan caj pencemaran bermula tahun depan.

Caj tersebut jelasnya akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri dalam tempoh selama tiga tahun iaitu dari 2019 hingga 2021.

Caj pencemaran

“Kerajaan negeri diberi kuasa menentukan nilai caj pencemaran yang mahu dikenakan dan penguatkuasaannya kerana percaya setiap negeri mempunyai tahap kesedaran yang berbeza,” katanya pada sidang akhbar selepas perasmian IGEM 2018, baru-baru ini.

Langkah itu antaranya bagi mengatasi masalah sisa di tapak pelupusan sampah.

Didapati plastik adalah sisa terbanyak di tempat pelupusan sampah selain jangka hayat untuknya terurai memakan masa yang lama iaitu antara 20 hingga 30 tahun.

Sekiranya tiada tindakan drastik diambil akan memberi kesan yang buruk kepada bumi, alam sekitar dan generasi akan datang.

Mengulas lanjut, Bee Yin memberitahu, pelan hala tuju itu juga antaranya mahu merangsang pertumbuhan industri hijau sebagai alternatif kepada beg plastik berkenaan.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau menyarankan kepada orang ramai agar membudayakan amalan 3R iaitu reduce (kurangkan), reuse (guna semula) dan recycle (kitar semula) sebagai salah satu cara bagi menjamin sektor alam sekitar.

Langkah itu secara tidak langsung menyumbang kepada amalan terbaik dalam menguruskan sisa pepejal.

“Selain itu, sebagai alternatif pengusaha atau peniaga boleh menggunakan plastik daripada bahan biodegrasi (mudah urai) dalam perniagaan mereka.

“Dalam masa sama, pelan tersebut turut mendorong kepada pemain industri untuk aktif dalam industri alternatif yang dilihat memiliki peluang besar untuk dimajukan,” katanya.

Perlu jaguh di luar negara

Syarikat tempatan perlu menjadi lebih kehadapan dalam bidang teknologi dan tenaga sehingga ke peringkat serantau terutama ASEAN supaya mereka dapat membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Yeo Bee Yin berkata, syarikat tempatan tidak semestinya menunjukkan kejaguhan di dalam negeri sahaja, sebaliknya mereka perlu bersaing ke peringkat yang lebih tinggi.

"Dengan pencalonan yang banyak dan penerima Anugerah Tenaga Kebangsaan yang makin meningkat, saya harap mereka juga hebat di luar negara,'' ujarnya semasa berucap pada majlis makan malam Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) 2018 yang julung kalinya dianjurkan oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) di ibu negara baru-baru ini.

Acara kemuncak tersebut diadakan sempena IGEM 2018 bertujuan mengiktiraf usaha dan sumbangan organisasi dan juga penggiat industri dalam menjayakan agenda pembangunan sektor tenaga boleh dibaharu9 (RE) dan kecekapan tenaga (EE).

Hadir sama Ketua Setiausaha MESTECC, Datuk Seri Mohd. Azhar Yahaya.

NEA dianjurkan sebagai sebahagian daripada mandat untuk memacu dan mempromosi amalan terbaik dalam bidang kecekapan tenaga (EE) dan tenaga boleh diperbaharui (RE) di negara ini dengan 11 pemenang dan dua naib juara yang dipilih.

Selepas pencalonan mula dibuka pada Januari lalu panel juri terdiri daripada pakar pemimpin industri dan ahli akademik dari kerajaan dan swasta menilai sebanyak 73 pencalonan bagi memilih pemenang dan enam naib juara bagi kategori EE dan empat pemenang dan dua naib juara bagi kategori RE.

Pemenang bagi EE dipilih berdasarkan kejayaan dalam melaksanakan langkah langkah EE di dalam bangunan dan industri menerusi reka bentuk yang inovatif.

Bagi kategori RE, pemenang dipilih berdasarkan kejayaan dalam melaksanakan teknologi RE seperti haba, solar atau bio bahan api dalam operasi.

Dalam pada dua anugerah kehormat bagi kategori khas bagi bangunan kerajaan dan kementerian juga diumumkan daripada 25 kompleks berdasarkan penggunaan tenaga dan Indeks Tenaga Bangunan.