Peluang niaga ini direbut oleh Wan Roazlini Wan Ismail, 39 yang memilih menceburi  bidang telekomunikasi yang dianggapnya sebagai cabaran baharu.

Kegigihannya terbukti bukan sahaja diterjemahkan menerusi usahanya bergerak ke mana-mana kawasan untuk mencari pelanggan,  tetapi juga tidak mengira waktu dengan memandu sendiri trak yang berfungsi sebagai premis bergerak.

Wan Roazlini bertuah kerana `bertemu jodoh’ dengan Telco Mini Center (TMC) Mobile , syarikat telekomonunikasi yang menawarkan khidmat kaunter  bergerak setempat membantu pelanggan sukar membayar bil mereka.

Yang menariknya menerusi perniagaan TMC Mobile, usahawan boleh bergerak ke pelbagai destinasi pilihan pada bila-bila masa. Skim ini mendapat perhatian usahawan wanita berkenaan dalam usaha menambah pendapatannya.

Malah menerusi TMC Mobile juga, mereka berpeluang memperluaskan skop perniagaannya memasuki kawasan pedalaman, bazar perniagaan trak dan sebagainya tanpa perlu membayar sewa premis kedai yang tentunya agak tinggi.

Didorong oleh tekad sentiasa inginkan cabaran baharu, Wan Roazlini yang memiliki sebuah premis perniagaan berkaitan percetakan di Putra Perdana, Puchong sentiasa mahu perubahan dan tambah baik dalam landskap perniagaannya sehingga menceburkan diri dalam perniagaan telekomunikasi bersepadu bergerak.

“Saya bersyukur diperkenalkan peluang perniagaan melalui TMC Mobile. Menerusi perkhidmatan ini saya bukan sahaja menambah sumber pendapatan, malah membantu memudahkan orang ramai dalam urusan harian,” katanya.

Dia memberitahu, pendapatan sampingannya melalui perkhidmatan telekomunikasi bergerak ini mampu mencecah angka yang agak lumayan.

 “Pasaran yang luas dan tidak terhad membolehkan saya bergerak dari satu kawasan ke kawasan lain bagi menjalankan perniagaan ini.

“Saya juga menguar-uarkan perniagaan ini kepada  keluarga dan kenalan menerusi aplikasi Whatsapp, TMC turut membantu mempromosikan dengan memberitahu lokasi trak dan masa melalui medium tertentu. Cara itu lebih memudahkan pengguna untuk mengesan trak bagi menyelesaikan urusan mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, Wan Roazlini memberitahu perniagaan melalui TMC Mobile amat mudah dan mesra pengguna. Pelanggan tidak perlu mengambil masa yang lama untuk mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan.

“Selain kemudahan dan perkhidmatan dalam trak yang sediakan, kami turut dibekalkan mesin pencetakan, tablet dan e-dompet bagi memudahkan urusan. Aplikasi untuk membayar semua bil ke agensi atau syarikat telekomunikasi juga amat mudah dan senang untuk dipelajari.

“Sebelum memulakan perniagaan ini, kami akan dilatih dan diberi penerangan bagaimana aplikasi ini berfungsi dan saya bersyukur TMC Mobile membantu saya dalam mengembangkan lagi perniagaan,” katanya.

Walaupun pada mulanya agak janggal berniaga melalui cara tersebut, namun selepas menghadiri kursus yang diberikan oleh TMC dan syarikat telekomunikasi, dia berasa semangat untuk meneruskan perniagaan.

Pada masa terdekat ini, selain menjalankan perniagaan perkhidmatan berdasarkan pakej yang ditawarkan, dia bercadang untuk berniaga aksesori telefon pintar dalam  trak berkenaan.