Ia dijalankan secara khusus oleh Kementerian Pendidikan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Seiring dengan aspirasi kerajaan itu, Telaga Biru Sdn. Bhd. (TBSB) melalui Telaga Biru Education (TBE) dengan kerjasama Belia Kreatif Melalui Pendidikan Inovatif (CRYsTal) Universiti Kebangsaan Malaysia ( UKM) mula mengeluarkan modul pengaturcaraan komputer iatu Scratch, Arduino, Memahami Pengaturcaraan dan Mikropengawal.

Melangkah setapak lagi, TBSB turut menganjurkan Pertandingan Robotik Make X Kebangsaan dengan kerjasama syarikat pembekal peralatan robotik dari Shenzhen, China iaitu Makeblock, Co., Ltd bertujuan memperkasa latihan amali robotik .

Menurut pengarah programnya, Muhammad Norsaiful Abd. Rahim, pertandingan tersebut dimulakan di China dan meletakkan pendidikan STEM sebagai asas dalam mempromosikan bidang berkenaan.

Katanya, pertandingan itu menyasarkan penyertaan murid sekolah rendah, menengah dan pelajar universiti berdasarkan kategori bagi mendedahkan mereka dengan sistem pengaturcaraan robot menggunakan pengaturcaraan scratch (mBlock).

“Menerusi pertandingan ini, Make X Robotic dilihat mampu melahirkan murid yang berusaha mencungkil bakat semula jadi di samping memperbaiki dan menajamkan kemahiran mereka demi mencapai kejayaan,’’ ujarnya.

Walau bagaimana pun, pertandingan tersebut mempunyai dua kategori lain iaitu Make X Challenge dan Make X Premier yang akan diadakan secara berperingkat.

Antara elemen lain yang diterapkan adalah mencipta dan berkongsi iaitu mereka perlu mereka cipta beberapa sistem untuk menjadikan robot berkenaan menarik, berfungsi dengan baik serta mampu melepasi halangan-halangan yang ditetapkan.

Sementara itu, Pengurus Jualan Makeblock, Arya Xie berkata, pertandingan ini merupakan yang pertama dianjur di luar China.

Melihatkan kepada potensi belia di Malaysia yang semakin menunjukkan minat dalam bidang pendidikan STEM mendorong pihaknya memulakan langkah memperkenalkan pertandingan tersebut di negara ini.

Katanya, pendidikan sahaja tanpa latihan yang intensif tidak cukup untuk memupuk minat pelajar dalanm bidang teknologi aras tinggi.

“Oleh itu, pertandingan sebegini harus diadakan supaya pelajar dapat merasai sendiri bagaimana sebenarnya memprogramkan sesebuah robot dan bekerjasama untuk menang.

“Selepas ini kita akan adakan pertandingan yang sama di Singapura dan seterusnya ke negara-negara Asia yang lain seperti Thailand dan Indonesia. Kesemua pemenang dari negara-negara tersebut akan mewakili negara masing-masing di peringkat antarabangsa di Nansha, Guangzhou, China pada Disember ini,” ujarnya.

Bagi guru dan pelajar sekolah pula, pertandingan seumpama ini sangat dinanti-nantikan untuk menambah kemahiran murid selain memberi mereka peluang untuk menunjukkan bakat terpendam dalam bidang reka cipta.

Bukan itu sahaja, pemahaman murid dalam bidang pengaturcaraan juga dapat ditingkatkan memandangkan mereka dapat memprogram sendiri robot dan bukan hanya melihatnya dalam buku teks sekolah.

Bagi peserta dari Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pula, proses pengaturcaraan (programming) yang agak susah itu menjadi cabaran ‘menarik’ buat mereka untuk menghasilkan robot.

Menurut Wan Mohd Irfan Wan Noor Azmi, 16, pengalaman pertama kali menyertai pertandingan robotik sememangnya memerlukan kecekalan dan ilmu pengetahuan yang tinggi. Kesukaran menghasilkan robot yang sempurna berbaloi apabila mereka dinobatkan sebagai johan pertandingan tersebut.

Katanya, dia dan rakan sepasukan mengambil masa hampir sebulan untuk menyiapkan proses memprogram robot berkenaan serta turut mendapat bantuan daripada pakar dari UKM mengenai pembinaan asas robotik.

Guru pengiringnya pula, Norhazami Hashim berkata, kesungguhan pelajarnya menyiapkan robot untuk pertandingan tersebut sudah cukup meyakinkan bahawa pendidikan STEM semakin diminati pelajar ketika ini.

Katanya, untuk membina sesebuah robot memerlukan kemahiran yang tinggi dan terbukti pelajarnya mengaplikasikan ilmu berasaskan sains teknologi yang dipelajari dalam kelas dalam penghasilan robot.

Harapannya agar pengalaman yang diperolehi oleh pelajar-pelajarnya dapat menambahkan minat mereka dalam bidang STEM sekali gus menjadi asas kepada kemajuan negara pada masa akan datang.

Sementara itu guru pengiring, Ong Hee Ting dari Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Arang, Sarawak bersyukur kerana usaha keras anak didiknya yang sanggup datang ke Semenanjung membuahkan hasil apabila menyandang gelaran naib johan.

Katanya yang juga guru Kimia di sekolah itu, persiapan hampir tiga minggu untuk menyertai pertandingan tersebut menampakkan minat anak-anak muridnya dalam bidang STEM.

Bagi salah seorang pelajarnya pula, Joel Kwoh Lix Xun, 16, minat dalam bidang robotik mendorongnya komited untuk menghasilkan robot yang terbaik dan mampu menjalankan segala tugasan yang ditetapkan dalam pertandingan tersebut.

“Dalam masa tiga minggu saya terus menerus menambah nilai kepada robot supaya dapat berfungsi dengan baik.

“Antaranya adalah menambah nilai dari segi komponen pengesannya yang saya pernah pelajari dalam kelas dahulu,” ujarnya.