Apabila coklat dimasak secara yang demikian, secara tidak langsung ia tidak dapat dimasak dalam kapasiti yang banyak kerana memerlukan dua periuk yang besar untuk mengisi air dan mengisi coklat. Ia akan memberi bebanan yang berat kepada pengusaha untuk mengacaunya. Apabila coklat telah cair, ia akan menjadi pekat dan memberi beban yang lebih berat kepada pengusaha untuk mengacaunya.

Pengasas Chocotainer Enterprise, Zahanim Tahir yang berniaga selama empat tahun di Kota Damansara telah menempah dan membeli mesin memasak coklat daripada Zull Design Autotronic (ZDA) bagi menyelesaikan masalah mereka untuk memasak coklat dengan sekata dan sempurna.

“Saya sudah lama mencari mesin yang sesuai untuk memasak coklat. Selama ini saya hanya memasak coklat menggunakan kaedah masak di atas air yang mendidih. Ia lambat dan saya hanya dapat memasak dalam kuantiti yang sedikit,” ujar Zahanim.

Menurutnya, tempahan coklat meningkat setiap hari dan dia perlu mendapatkan mesin dengan segera.

“Syukur apabila berjumpa dengan ZDA, mereka dapat membuat mesin mengikut spesifikasi yang saya perlukan,” ujarnya.

Zahanim yang mengusahakan coklat padat berbentuk segi empat tepat berkata, banyak perbezaan dapat dilihat apabila memasak coklat menggunakan mesin ZDA.

Sebelum ini Zahanim hanya mampu menghasilkan coklat sebanyak 40 kotak dalam masa satu jam secara manual. Ia memakan masa yang lama dan memerlukan tenaga pekerja yang lain. Selain itu, dia terpaksa memasak berulang kali bagi memenuhi permintaan coklat yang tinggi daripada pelanggannya.

“Mesin ZDA ini telah banyak membantu saya dan pekerja yang lain. Sekarang hampir 100 kotak coklat dapat dihasilkan dalam masa satu jam. Masa memasak juga sekejap kerana konsep pemanasan yang digunakan mengalirkan suhu panas yang sekata dan menjadikan coklat dimasak dengan sempurna”, ujar Zahanim lagi.

Dia turut rasa gembira dan berpuas hati dengan mesin memasak coklat ini kerana menjimatkan masa di samping mengurangkan penat memasak coklat tersebut.

“Mesin ini bukan sahaja memberikan hasil yang baik kepada pengeluaran coklat, tetapi juga mempunyai ciri-ciri mesin yang sangat berkualiti.

“Mesin ini dibuat menggunakan keluli gred makanan yang sesuai untuk pembuatan makanan yang terjamin, bersih dan selamat,” ujarnya.

Mesin memasak coklat keluaran ZDA ini merupakan kawalan separa automatik seperti yang diminta oleh Zahanim sendiri supaya dia dapat mengawal kadar masaknya coklat tersebut.