PFC dilengkapi dengan teknologi terkini yang diperlukan dalam memperkasakan ekosistem pengajaran dan pembelajaran semasa.

Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Datuk Aini Ideris berkata, kelas masa depan tersebut menjadi perintis makmal pengajaran mikro berintegrasikan teknologi terkini dalam kalangan universiti awam seluruh negara.

Tambahnya, sejak diisytiharkan pada 24 Februari 2017, PFC menjadi pusat rujukan pelbagai institusi pendidikan daripada pelbagai latar belakang.

“Selain menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik dan fleksibel, ia turut memberi kelainan dalam ekosistem pembelajaran di fakulti berbanding sebelumnya adanya kelas ini.

“Selain itu, PFC juga menjadi pusat latihan, inkubator penghasilan bahan pembelajaran atas talian serta menjadi pencetus inovasi integrasi teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran,” ujarnya,” katanya berucap pada pelancaran PFC baru-baru ini.

Beliau dalam pada itu berharap aktiviti pembelajaran, pengajaran, penyelidikan jaringan industri dan masyarakat serta pembangunan pelajar menerusi PFC dapat meneroka amalan terbaik seperti budaya ilmu yang menjadi legasi tamadun hebat di seantero dunia.

PFC merupakan salah satu inisiatif Kampus Pintar yang mampu meligatkan lagi ekosistem pembelajaran dan pengajaran agar lebih menyeronokkan untuk pelajar dan seluruh warga kampus.

“Sehingga kini UPM berjaya menghasilkan 150 inovasi pengajaran dan pembelajaran dalam pelbagai bentuk pembelajaran imersif seperti VR dan AR, aplikasi simulasi, pembelajaran berdasarkan permainan, simulasi dan aplikasi mobil,” jelasnya.