Setakat ini, Boeing menerbangkan 737 MAX dengan perisian Sistem Penambahan Ciri-Ciri Manuver (MCAS) yang telah dikemas kini selama lebih 360 jam dengan 207 penerbangan.

Langkah mengemas kini perisian itu diambil susulan dua tragedi maut melibatkan pesawat jenis sama dalam tempoh lima bulan yang dikaitkan dengan MCAS Boeing 737 MAX.

Nahas pertama membabitkan penerbangan 610 Lion Air pada 29 Okt, 2018 selepas berlepas dari lapangan terbang Jakarta yang mengorbankan kesemua 189 penumpang dan diikuti pesawat Ethiopian Airlines penerbangan ET302 terhempas selepas enam minit berlepas dari Addis Ababa pada 10 Mac.

Dalam kenyataan, Boeing berkata ia kini menyediakan maklumat tambahan untuk memenuhi keperluan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) bagi memasukkan butiran mengenai bagaimana juruterbang berkomunikasi dengan kawalan kapal terbang dan memaparkan senario penerbangan yang berbeza.

Sebaik sahaja keperluan itu dipenuhi, Boeing akan bekerjasama dengan FAA untuk menjadualkan penerbangan ujian pengesahan dan mengemukakan dokumentasi pengesahan akhir.

“Berasaskan aspek keselamatan sebagai keutamaan kami, Boeing telah melengkapkan kesemua penerbangan ujian kejuruteraan bagi tujuan mengemas kini perisian itu, dan sedang bersiap sedia bagi penerbangan pengesahan akhir.

“Kami komited untuk menyediakan semua maklumat yang diperlukan FAA dan pengawal selia global, dan melengkapkannya menerusi kaedah yang betul.

“Kami mencatatkan kemajuan yang positif selain yakin bahawa 737 MAX dengan perisian MCAS yang telah dikemas kini akan menjadi antara kapal terbang paling selamat dalam menawarkan khidmatnya.

“Nahas terbabit telah meningkatkan komitmen kami terhadap nilai-nilai kami, termasuk keselamatan, kualiti dan integriti, kerana kami sedar kehidupan bergantung kepada apa yang kami lakukan,” kata Pengerusi, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, Dennis Muilenburg.

Selain itu, Boeing turut membangunkan bahan latihan dan pendidikan dipertingkat yang kini dikaji semula bersama FAA, pengawal selia global dan pelanggan syarikat penerbangan untuk menyokong operasi semula dan perkhidmatan jangka panjang.

Ini termasuk beberapa persidangan pelanggan wilayah yang diadakan di seluruh dunia. - BERNAMA