Pada awal penubuhannya, Furleybio hanya menjalankan perniagaan membekalkan bahan-bahan untuk menghasilkan produk nutrisi seperti makanan kesihatan tambahan dan produk penjagaan kulit selain mengeluarkan produk untuk pelanggannya.

Pada tahun 2015, Furleybio berjaya menghasilkan produk sendiri yang mampu memenuhi keperluan dan kehendak pengguna dan menjadi antara syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menepati sasaran untuk berada di pasaran antarabangsa.

Dengan kelebihan pengetahuan teknikal dan keupayaan untuk menggabungkan sains dengan pasaran, Furleybio menjadi antara syarikat tempatan yang menyediakan sokongan teknikal kepada pelanggan mereka dari segi pembangunan produk serta inovasi.

Maka tidak hairanlah syarikat ini dipilih untuk menerima anugerah syarikat paling inovatif dalam bidang bioteknologi dan agroteknologi dari SME Corporation Malaysia (SME Corp).

Pengarah Urusannya, Stuart Soo Tuck Pooi berkata, kilangnya yang beroperasi di Semenyih, Selangor itu memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) makanan kesihatan tambahan dan produk semula jadi yang dapat membantu memenuhi keperluan pengguna.

“Kilang kami merupakan pemegang sijil Amalan Pengilangan Baik Terkini (CGMP) (Makanan Kesihatan Tambahan dan Tradisional), ISO22000, Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP) dan halal.

“Dengan adanya sijil-sijil ini, ia dapat memberi jaminan kepada pelanggan bahawa produk yang kami hasilkan adalah berkeadaan baik dan dirawat dengan standard tertinggi dari segi kebersihan dan keselamatan,” katanya kepada Mega Sains ketika sesi Lawatan Syarikat Program BioNext dan Penyerahan Laporan kepada Furley Bioextracts Sdn. Bhd., di Semenyih baru-baru ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Datuk Hafsah Hashim dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Bioeconomy Corporation, Syed Agil Syed Hashim.

Jelasnya lagi, Furleybio dikenali sebagai syarikat yang mengeluarkan rangkaian produk unik yang mengandungi DermaXan iaitu ekstrak buah manggis tempatan yang dihasilkan secara eksklusif oleh syarikat itu.

Antara produk yang dihasilkan adalah Spray8, produk semburan yang dapat mengurangkan parut dan luka serta membaiki tisu kulit.

“Dari kesan melecet dan ekzema sehingga luka akibat daripada kesan pemotongan akibat penyakit kencing manis, Spray8 merupakan formula berasaskan air tanpa steroid, iodin mahupun alkohol, maka menjadikan penggunaannya lebih selamat dan tidak memberi kesakitan, sekali gus sesuai untuk digunakan oleh kanak-kanak.

“Seterusnya, produk lain yang turut mendapat perhatian pengguna adalah Fem Mist, sejenis produk unik yang dapat memberikan penyelesaian kepada masalah wanita.

“Fem Mist mengandungi campuran ekstrak DermaXan dan manjakani yang dapat menghilangkan bau, mengurangkan kegatalan dan selamat digunakan kerana mengandungi bahan-bahan semula jadi,” jelasnya.

Selain produk untuk kegunaan luaran, Furleybio juga mengeluarkan produk kesihatan yang turut mendapat permintaan tinggi dari luar negara iaitu minuman kesihatan Ostania Mangosteen Amrita.

Apa yang menarik mengenai minuman kesihatan ini ialah mengandungi formulasi keseluruhan buah manggis termasuk puri dan kulitnya, sekali gus menjadikannya sebagai minuman yang kaya dengan Xanthones.

“Xanthones mempunyai kesan yang sangat baik untuk organ dalaman kerana kandungan antioksidannya yang tinggi.

“Selain manggis sebagai bahan utama, ia juga mengandungi campuran ekstrak buah epal, roselle, acai beri, anggur dan delima yang ternyata kaya dengan pelbagai khasiat untuk kesihatan tubuh badan,” ujarnya.

Sehingga kini, produk Furleybio telah dieksport ke Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Mauritius, Ghana, China, Hong Kong, Filipina, Vietnam wdan New Zealand. - NUR FATIEHAH ABDUL RASHID

Bantu usahawan PKS jadi syarikat bio global

Selaras dengan keperluan untuk mempercepat Inisiatif Bioekonomi bagi meningkatkan pertumbuhan industri serta ekonomi ke arah mencapai objektif dan matlamat Dasar Bioteknologi Kebangsaan (NBP) dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Pelan Induk 2012-2020, sebuah program yang dikenali sebagai Program Bionext telah diperkenal.

Program Bionext yang telah dibentangkan dan diluluskan pada tahun 2014 itu juga sejajar dengan Program Berimpak Tinggi (HIP) 5, Pelan Induk PKS dalam memangkinkan pertumbuhan syarikat tempatan, selain menyokong matlamat mewujudkan 20 syarikat bio global pada tahun 2020.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Bioeconomy Corporation, Syed Agil Syed Hashim berkata, bagi mencapai objektif itu, SME Corp Malaysia telah bekerjasama dengan Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corp.) bagi pelaksanaan Program Bionext.

“Program ini menyasarkan peserta yang terdiri daripada syarikat PKS berstatus BioNexus yang berpotensi tinggi dalam sektor produk semula jadi, khususnya subsektor biokosmeseutikal dan pemakanan.

“Syarikat-syarikat ini dipupuk untuk meningkatkan daya saing mereka, seterusnya membawa mereka ke arah rantaian nilai yang lebih tinggi,” katanya ketika sesi Lawatan Syarikat Program BioNext dan Penyerahan Laporan kepada Furley Bioextracts Sdn. Bhd. di Semenyih baru-baru ini.

Katanya, dengan sokongan SME Corp dan Bioeconomy Corporation, 10 buah syarikat terpilih termasuk Furleybio telah mengikuti program selama sembilan bulan yang meliputi kursus di Universiti Oxford, United Kingdom apabila mereka akan menerima latihan khas dalam pembangunan produk, pembangunan produk antarabangsa, pembangunan pasaran dalaman dan sebagainya.