Sebagai pengguna, terdapat keperluan untuk mengenal pasti jenis durian kerana keadaan fizikal luarannya yang hampir serupa untuk kesemua jenis durian. Sehubungan itu, sekumpulan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM) telah membangunkan sebuah aplikasi bagi mengenal pasti jenis durian berdasarkan gambar luaran buah sahaja.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Elektrik UM, Ir. Dr. Chuah Joon Huang teknik pemprosesan imej yang digunakan untuk membangunkan aplikasi itu adalah menggunakan rangkaian neural yang membolehkan ia menjadi lebih pintar jika semakin banyak imej digunakan untuk dipelajarinya. Proses latihan pengenalan jenis durian untuk aplikasi berkenaan menggunakan dua lapisan rangkaian konvolusi yang akan mengenal pasti ciri-ciri visual imej kulit durian yang dijadikan input.

“Setelah proses latihan ini selesai, aplikasi akan mampu mengenal pasti jenis durian berdasarkan nilai kebarangkalian tertinggi yang ditunjukkan oleh imej yang diproses,” katanya yang juga merupakan penyelidik utama.

Berdasarkan pangkalan data Jabatan Pertanian, terdapat lebih 100 jenis durian yang berbeza di pasaran.

“Penggunaan aplikasi ini bukan sahaja akan memudahkan penggemar durian, malah berpotensi menjadi platform kepada agensi terlibat untuk membangunkan aplikasi serupa. Ia boleh dijadikan penyelesaian kepada sistem pengurusan kualiti hasil pertanian terutama bagi penentusahan kualiti produk untuk pasaran import,” katanya.

Potensi aplikasi berkenaan amat luas dan dengan penggunaan lebih banyak imej sebagai input kepada rangkaian neural yang digunakan akan menghasilkan ketepatan yang jauh lebih tinggi.

Selain kegunaan secara individu oleh pemilik, penjual, dan pembeli durian, inovasi yang dibangunkan itu bakal memberi manfaat untuk semua komponen industri buah-buahan tempatan.

“Saya mengharapkan inovasi ini mampu menjadi pemangkin kepada kepesatan industri pertanian kita agar setanding dengan negara lain,” katanya lagi.

Penyelidik bersama, Marcus Lim Guozong berkata, baka D197 atau lebih dikenali sebagai musang king di pasaran merupakan antara jenis yang paling digemari kerana keenakan isinya yang lembut, berkrim dan tidak terlalu pahit.

“Bijinya juga kecil, menjadikannya pilihan utama penggemar durian bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia.

“Namun, secara fizikalnya D197 tidak jauh berbeza dengan durian D24 walaupun isinya mempunyai kualiti yang agak berbeza. Dari sinilah bermulanya idea untuk membangunkan sebuah aplikasi yang memudahkan pengguna mengenal pasti jenis durian dari gambar luaran buah sahaja.

Menariknya, aplikasi ini juga mampu membezakan buah tempatan yang menyerupai durian seperti cempedak.

Katanya, ketepatan aplikasi yang dibangunkan setakat ini adalah pada tahap 80 peratus.

``Nilai ini amat memberangsangkan kerana aplikasi ini baru sahaja dibangunkan dan hanya menggunakan imej gambar jenis durian yang popular di pasaran iaitu D13, D24, D175, dan D197,’’ ujarnya.

Berkongsi lebih lanjut Joon Huang berkata, perkara penting yang menjadi pendorong kepadanya menbangunkan aplikasi berkenaan adalah berdasarkan kedudukan Malaysia sebagai salah sebuah negara pengeksport durian.Menurutnya, buah durian menjadi kegemaran ramai rakyat Malaysia dan banyak negara lain.

Walau bagaimanapun, jumlah jenis durian di pasaran memerlukan teknik pengenalan yang efisien supaya orang ramai dapat mengenali jenis kegemaran mereka.

Beliau berkata, meskipun hasrat mencapai nilai ketepatan aplikasi 100 peratus adalah mustahil, pihaknya percaya dengan menambah jumlah gambar dalam latihan rangkaian neural yang dibenam (embedded) dalam aplikasi tersebut, nilai ketepatan dalam mengenali jenis-jenis durian dapat dinaikkan.

``Ini mungkin memerlukan bantuan daripada pihak pemborong dan penanam durian,’’ ujarnya lagi .

Mengenai perancangan menaik taraf aplikasi berkenaan, beliau memberitahu, terdapat pelbagai kemungkinan untuk menjalankan penyelidikan pada masa depan.

Salah satunya adalah menambah jumlah jenis durian yang dapat dikenali dan menambah gambar-gambar yang digunakan dalam latihan aplikasi tersebut.

Ini penting supaya nilai ketepatan dapat dinaikkan lagi.

``Kami percaya teknik-teknik lain yang mungkin boleh dipakai termasuk teknik pengimbasan 3D, iaitu saiz dan bentuk keseluruhan buah durian boleh digunakan sebagai salah satu faktor dalam proses mengenal pasti buah, ‘‘ ujarnya.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, terdapat kaedah lain yang boleh digunakan dalam pembangunan teknik pengesanan keranuman bagi buah-buahan seperti epal, rambutan dan tembikai.