Bagaimana rasanya apabila kita perlu bertemankan kegelapan malam setiap hari sehingga menyebabkan segala aspek kehidupan berubah, bukan sahaja pada diri sendiri malah akan mengganggu proses pembangunan sesebuah negara yang terlalu bergantung pada tenaga elektrik pada era moden ini.

Tidak dapat disangkal bahawa elektrik amat penting dalam kehidupan terutama dalam bidang perindustrian, pengangkutan, pertanian dan sebagainya.

Justeru, penuaian tenaga alam seperti angin dan cahaya matahari (solar) untuk menjana tenaga elektrik merupakan salah satu kaedah mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil seperti diesel.

Malah, teknologi yang digunakan untuk menuai tenaga tersebut lebih mesra alam serta kos yang lebih rendah.

Amazon Battery Sdn. Bhd. (Amazon Battery), bersama rakan kongsinya Tsukasa Kobo Company Pvt. Ltd. mengorak langkah dengan memperkenal Hyber Energy Park di Muadzam, Rompin, Pahang.

Menerusi teknologi hiber, tenaga elektrik dapat dihasilkan daripada pancaran matahari dan angin bersama graviti.

Pengarah Urusan Amazon Battery, Bo Yik Khoon memberitahu Mega Sains bahawa pada asalnya syarikat yang terkenal melalui perniagaan bateri selama 20 tahun di negara ini berhasrat untuk membina kilang baterinya di tanah milik Merit Acres Sdn. Bhd.

Namun jelasnya, atas permintaan penyumbang dana, International Tax Advisor Limited yang terletak di United Kingdom (UK) menyarankan supaya membangunkan Hyber Energy Park di atas tanah seluas 800 hektar (2,000 ekar).

“Ini merupakan projek swasta dan segala kertas kerja serta saluran telah dikemukakan kepada RHB Bank yang akan menjadi bank penerima dari UK.

TAMAN TENAGA

“Ini bermakna tanah keluasan 2,000 ekar itu dibahagikan dua. Sebahagiannya untuk pembinaan kilang bateri dan sebahagian lagi dibangunkan untuk Hyber Energy Park, di samping pertanian.

“Kami menyarankan petani untuk menanam jenis tanaman rendah seperti lada dan buah-buahan agar tidak mengganggu mesin ‘menangkap’ cahaya dan angin,” katanya yang ditemui baru-baru ini.

Tambah Yik Khoon, menerusi teknologi pertama di Malaysia yang menghasilkan tenaga melalui gabungan pancaran matahari dan angin itu akan menghasilkan tenaga elektrik sebanyak 14.5 kiloWatt (kW) sejam untuk satu mesin seperti yang dicatatkan semasa ujian percubaan melalui projek perintis di Jerman, baru-baru ini.

“Teknologi ini amat sesuai dimajukan di negara ini berdasarkan faktor cuaca. Namun sekiranya hujan yang berpanjangan, mesin masih membekalkan elektrik menerusi tarikan graviti.

“Mesin akan berputar semasa ada cahaya matahari dan angin. Putaran tersebut akan menghasilkan graviti yang akan mengumpul tenaga malah mesin itu akan bertindak mengikut ketetapan mengikut keadaan cuaca,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Kumpulan Amazon, Mohd, Fazley Mohd. Yusuf berkata, teknologi Hyber Energy Park merupakan satu penyelesaian yang cukup hebat dari segi pendapatan hasil jualan tenaga.

Ini kerana jelasnya, kewujudan taman tenaga hiber tersebut bukan sahaja membantu kilang untuk beroperasi malah membantu penduduk setempat mendapat bekalan elektrik pada kadar yang lebih menjimatkan.

“Projek ini juga membantu mengekalkan kesuburan tanah kerana teknologi ini bertindak secara semula jadi dan tiada reaksi radio aktif.

“Sekiranya projek ini berjaya pastinya membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” ujarnya.

Projek yang menelan belanja RM20 juta untuk projek perintis dan keseluruhan perbelanjaan sebanyak 250 juta Euro dijangka memulakan operasi pada pertengahan Ogos ini.

“Apabila taman ini digunakan sepenuhnya sebagai sumber alternatif bekalan tenaga elektrik pastikan akan meringankan bebanan pembayaran bil elektrik.

Dalam masa sama, ia membantu Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk membekalkan lampu jalan atau menyediakan fasiliti elektrik di kawasan pedalaman.

“Selain itu, mesin ini juga membekalkan kemudahan jalur lebar sejauh tujuh kilometer.

Kami juga berhasrat meluaskan lagi penggunaan teknologi ini di Sabah dan Sarawak terutama di kawasan pedalaman agar mereka juga turut menerima bekalan elektrik dan tidak jauh ketinggalan dalam arus pemodenan,” jelasnya.

Bukan sekadar pertanian dan penjanaan kuasa elektrik, pihak pengurusan Amazon Battery juga terlibat dalam membantu beberapa projek amal di negara ini melalui dana yang diterima.