Ketua Pegawai Sektor Digital Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Gerard Lim Kim Meng berkata, industri vertikal yang dapat memanfaatkan teknologi 5G dijangka akan memberi impak positif bukan sahaja kepada ekonomi negara bahkan juga kepada kualiti kehidupan rakyat di negara ini.

Industri itu jelasnya, termasuk automotif, bandar pintar, keselamatan awam, media dan hiburan, pertanian, pendidikan, pengilangan dan penjagaan kesihatan.

“Antaranya, kadar kependaman (latensi) serendah satu milisaat memungkinkan sesi konsultasi dan pradiagnosis melalui panggilan video dijalankan oleh para doktor pakar terhadap pesakit-pesakit yang berada jauh di kawasan luar bandar selain membantu dalam situasi kecemasan tanpa mengira lokasi masing-masing.

“Pada masa sama, mesin robotik yang menggunakan komunikasi antara mesin, sensor dan kamera industri 4K berkelajuan tinggi juga dapat meningkatkan kecekapan dan kebolehan dalam operasi, terutamanya dalam sektor pengilangan melalui pembuatan pintar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Lim Kim Meng, menerusi 5G, teknologi kereta dan bas pandu sendiri yang tidak pernah terlintas akan menjadi kenyataan dahulu, kini boleh direalisasikan.

Menurut beliau, semuanya dapat dijayakan dengan adanya gabungan teknologi 5G bersama sensor, kamera, radar dan kecerdasan buatan (artificial intelligence) yang membolehkan kenderaan bergerak sendiri tanpa kawalan manusia.

Dalam aspek pertanian pula, tambah beliau, 5G turut membolehkan dron digunakan untuk pertanian jitu (precision farming), serta pemetaan dan pemantauan digital bagi meningkatkan hasil pertanian dalam jangka waktu yang lebih singkat.

“Bagi para pelajar, aktiviti pembelajaran di dalam bilik darjah akan menjadi lebih interaktif dan menyeronokkan dengan penggunaan simulasi (immersive education), kelas realiti maya dan kampus-kampus Internet-of-Things (IoT) pintar,” katanya.

Dalam kalangan penduduk setempat pula, Lim Kim Meng berkata, golongan itu bakal menerima manfaat dengan kewujudan bandar pintar dengan tersedianya capaian tanpa wayar tetap (fixed wireless access atau FWA) dan jalur lebar mudah alih tertingkat (enhanced mobile broadband atau eMBB).

“Capaian-capaian ini membolehkan para penduduk untuk menggunakan peranti seperti mesin basuh, televisyen dan pendingin hawa pintar yang boleh dikawal dari jarak jauh.

“Kesemua inisiatif yang dilaksanakan itu adalah selaras dengan aspirasi kerajaan untuk membawa perubahan dalam kehidupan rakyat, selaras dengan perkembangan teknologi masa kini,” tambah Lim Kim Meng lagi.

Bagaimanapun, Lim Kim Meng memaklumkan, teknologi 5G hanya akan dilancarkan dan digunakan secara komersial di negara ini menjelang 2021 atau 2022 berdasarkan kepada beberapa perkara yang perlu ditambah baik seperti aspek standard, kawal selia dan rangkaian yang perlu dinaik taraf. - UTUSAN ONLINE