Populariti ikan tersebut memberi sinar baharu kepada pengusaha ikan dan nelayan di daerah berkenaan yang menjadikannya sebagai perusahaan makanan yang berpotensi mendatangkan pulangan lumayan.

Anak jati Tawau, Baharuddin Basrie, 33, antara yang merebut peluang menjadikan perusahaan ikan baulu sebagai sumber rezeki dengan membuang tulang dan kepalanya untuk dipasarkan.

Harga ikan berkenaan antara RM7 hingga RM8.50 sekilogram melonjak kepada antara RM13 hingga RM15 sekilogram selepas diproses atau tanpa tulang.

Malah, selepas mula beroperasi secara serius tahun lalu di kawasan perdagangan Takada Batu 1 1/2 Jalan Apas Tawau, Baharuddin tidak lagi menoleh ke belakang.

Dengan permintaan mencecah lima tan sebulan ia menjadi pendorong kepada anak kelahiran Wallace Bay itu menceburi perniagaan memproses ikan tersebut, meskipun keupayaan pengeluaran hanya antara 500 kg hingga satu setengah tan sebulan.

Dia sebenarnya bukanlah baru dalam bidang perniagaan khususnya berkaitan industri perikanan. Sebaik sahaja menamatkan pengajian dalam Tingkatan 5 dan selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia sudah mencongak masa depannya dalam dunia perniagaan.

Malah sejak di bangku sekolah atau tepatnya ketika berada pada Tingkatan 4, dia kerap mengikut bapanya ke laut menangkap ikan.

“Saya memang minat dalam perikanan dan ketika di bangku sekolah saya sudah ke laut untuk menimba pengalaman dan menambah ilmu menjadi nelayan,” ujarnya ketika ditemui Mega Sains di kilangnya di Tawau baru-baru ini.

Dia sebelum itu membuka kedai telekomunikasi tetapi disebabkan persaingan dan masalah rakan kongsi, perniagaan tersebut ditutup selepas tiga tahun beroperasi.

Namun bakat perniagaannya tidak mati di situ sahaja memandangkan kos sara hidup yang kian meningkat mendorong insan sepertinya sentiasa berfikir memikirkan masalah sosioekonomi demi kelangsungan hidup.

Bot perikanan milik keluarga dimanfaatkan untuk ke laut mencari rezeki dan di situ dia mula memahami sleok belok perniagaan ikan . Dia akur menjadi nelayan sepanjang masa tidak akan mampu meningkatkan taraf hidup, lantas keputusan segera dibuat untuk membuka kilang secara kecil kecilan.

“ Selepas tujuh tahun terlibat secara serius menjual ikan saya mengambil keputusan berani membuat pinjaman dengan AgroBank berjumlah RM300,000 untuk membaik pulih bot perikanan, sekali gus memberi isyarat dia semakin yakin dengan bidang yang diceburi.

Bagi menambah kemahiran, dia menyertai pelbagai kursus meningkatkan kemahiran dalam perniagaan antaranya yang dianjurkan oleh Mara yang menawarkan bidang pengurusan kewangan dan Insken bagi pengurusan perniagaan.

“Saya nampak potensi ikan baulu ini sangat besar dan membuka minda serta memberanikan diri untuk meneroka peluang ini,” ujarnya sambil memberitahu Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sentiasa berada di belakang membantunya dengan memberi dorongan dan bantuan yang diperlukan.