Lebih menarik, program tersebut melibatkan komuniti setempat dalam usaha menjadikan kawasan program sebagai destinasi pelancong.

Kawasan yang dimaksudkan adalah Pulau Tambisan di Lahad Datu, Sabah yang dikenal pasti sebagai kawasan pemakanan penyu.

Menurut Penyelidik Penyu Institut Penyelidikan Marin Borneo UMS, Prof. Madya Dr. Juanita Joseph, tercetusnya idea untuk membantu komuniti setempat dalam membangunkan Kampung Tambisan sebagai hab pelancongan ekoran daripada perjumpaan pertama penyelidik Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) UMS dengan seorang penduduk asal di situ, Antin Sheik Ismail.

Menurutnya, Jun 2017 menjadi titik permulaan penglibatan UMS sebagai sebuah pusat pengajian tinggi di negeri berkenaan untuk sama-sama membangunkan Kampung Tambisan sebagai hab pelancongan di kawasan Pantai Timur Sabah.

Menurutnya beberapa siri lawatan tapak dijalankan penyelidik FPEP bagi meninjau potensi Kampung Tambisan sebagai satu tarikan pelancongan baharu di negeri berkenaan.

Penyelidikan tersebut turut dibantu dua pensyarah FPEP, Dr. Tini Maizura Mohtar dan Rosle Mohidin yang masing masing mempunyai kepakaran dalam pelancongan serta perniagaan kewangan dan statistik .

“Melihat akan potensi Kampung. Tambisan untuk dibangunkan sebagai satu kawasan tarikan pelancongan baharu dan kawasan penyelidikan hidupan laut marin, maka pada Oktober 2017, surat niat (LOI) kerjasama telah ditandatangani di antara FPEP, UMS dengan Tambisan Travel and Tours Sdn Bhd, ujarnya.

Syarikat pelancongan mewakili komuniti Kampung Tambisan dan MoU tersebut disaksikan oleh Setiausaha Politik, Jabatan Ketua Menteri Sabah pada masa itu Datuk Armani Mahiruddin.

Menurutnya selepas hampir setahun kajian permulaan dijalankan, pada September tahun lepas, UMS dan Tambisan Travel and Tour Sdn. Bhd. telah memeterai memorandum persefahaman (MoU).

MoU tersebut memberi fokus membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama dalam meningkatkan taraf hidup komuniti Tambisan menerusi aktiviti pelancongan dan pemuliharaan alam semula jadi terutama sekali hidupan marin seperti penyu.

Menurut Dr. Juanita lagi. kesungguhan UMS dalam usaha membangunkan Kampung Tambisan sebagai hab pelancongan berasaskan komuniti dan pusat penyelidikan penyu mendapat sokongan penuh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Assafal P. Alian dan juga Lembaga Pelancongan Sabah (STB).

Pada 3 Oktober tahun lalu, satu siri lawatan ke Kampung. Tambisan diadakan bersama Dr. Juanita.

Antara pemerhatian yang dikenal pasti dalam misi empat hari itu adalah potensi Tambisan sebagai kawasan pembiakan rumput laut (sea grass) yang merupakan sumber makanan penyu terdapat di kawasan laut Kg. Pulau Tambisan.

Maka satu program diadakan pada 28 Mac hingga 31 Mac lalu melibatkan UMS dengan kerjasama Celcom Timur Sabah (CTS) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) bertujuan mendekati masyarakat dalam usaha membangunkan sosio ekonomi penduduk setempat.

Menerusi Program Sukarelawan Save the Turtle dan kempen komuniti yang diadakan di pulau berkenaan ia menggabungkan pelbagai pihak melibatkan komuniti, pelajar sekolah dan industri.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program tersebut adalah misi menyelamat serta melepaskan penyu yang terperangkap di dalam kelong, aktiviti kemasyarakatan bersama penduduk kampung, aktiviti pembersihan pantai bersama pelajar sekolah dan aktiviti menceriakan sekolah.

Sepanjang tempoh aktiviti, CTS berhasrat membantu untuk menaik taraf kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sekolah yang agak ketinggalan.

Usaha sedemikian dilihat memberi impak yang sangat tinggi kepada mesyarakat setempat, terutama sekali kawasan pendalaman yang serba kekurangan.