Industri ini mempunyai potensi yang besar untuk dimaju dan dikembangkan kerana serbuk dan karaginan daripada rumpai laut mempunyai aplikasi yang luas dalam industri pemprosesan makanan dan minuman, kosmetik serta farmaseutikal.

Bukan itu sahaja, jika diusahakan dengan gigih serta mengaplikasikan kelebihan teknologi, industri ini dilihat mampu memberikan pulangan lumayan kepada pengusahanya.

Peka dengan potensi itu, penyelidik dari Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) memperkenalkan teknik penghasilan benih rumpai laut melalui teknologi kultur tisu melalui Institut Agro-Bioteknologi Malaysia (ABI).

Pengarah Eksekutif ABI, Prof. Madya Dr. Norihan Mohd Salleh berkata, penyelidikan itu merupakan penyelesaian kepada permasalahan yang sering dihadapi pengusaha rumpai laut seperti kesukaran untuk mendapatkan bekalan benih secara konsisten, kemerosotan kualiti benih dan ancaman penyakit.

Hal ini kerana rumpai laut yang ditanam secara konvensional iaitu menggunakan teknik potongan menunjukkan penurunan kandungan karaginan, kadar pertumbuhan dan daya rintang terhadap penyakit dan perubahan cuaca dari semasa ke semasa.

“Bagi mengatasi masalah itu, di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), ABI telah mengambil inisiatif membangunkan teknik penghasilan benih rumpai laut (Kappaphycus alvarezii var. Tambalang) melalui kaedah kultur tisu.

“Berdasarkan pemerhatian dan kajian yang dijalankan, teknik tersebut berjaya menghasilkan kualiti rumpai laut yang lebih baik berbanding rumpai laut liar terutama dari aspek kadar pertumbuhan dan kandungan karaginan,” katanya. Beliau berkata demikian pada majlis penyempurnaan Latihan dan Pemindahan Teknologi bagi Penghasilan Benih Kultur Tisu Rumpai Laut di Serdang, Selangor baru-baru ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Isnaraissah Munirah Majilis.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha MESTECC, Dr. Ramzah Dambul dan penyelidik Universiti Malaya yang juga pakar alga, Prof. Dr. Phang Siew Moi.

Tambahnya, kesinambungan daripada kejayaan tersebut, ABI menerima pembiayaan dana di bawah Projek RMK-11 bagi 2018 hingga 2019 melalui Program Pembangunan Mapan Benih Rumpai Laut Bagi Industri Akuakultur.

ABI juga bertanggungjawab memindahkan teknologi kultur tisu rumpai laut ini kepada kakitangan Jabatan Perikanan dan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) di Langkawi.

“Program ini dilihat dapat melatih kakitangan Jabatan Perikanan khususnya FRI Langkawi dan pengusaha-pengusaha rumpai laut tentang kaedah penghasilan benih, pembiakan, penanaman dan penjagaan benih di samping mempromosikan teknologi kultur tisu kepada masyarakat, khususnya pengusaha industri rumpai laut,” katanya.

Menerusi sesi latihan dan pemindahan teknologi yang berlangsung dari 30 Oktober hingga 31 Oktober 2018, peserta-peserta didedahkan dengan teori dan kemahiran teknikal seperti kaedah pengadaptasian rumpai laut ke persekitaran makmal, penyediaan media, proses penghasilan benih kultur tisu dan penyelenggaraannya.

Sementara itu, Isnaraissah berkata, kementerian sentiasa komited dan memberi sokongan padu terhadap segala usaha yang dijalankan oleh NIBM yang merupakan salah satu agensi pelaksana dasar.

Katanya, rumpai laut merupakan tumbuhan yang mempunyai pelbagai khasiat dan manfaat dalam aspek kesihatan manusia.

“Saya turut dimaklumkan bahawa pasaran global rumpai laut makin meningkat dari tahun ke tahun dan dijangka lebih RM1 bilion pada 2024,” katanya.

Berdasarkan data yang diperoleh dari Jabatan Perikanan, Malaysia menyasarkan penghasilan 150 ribu tan metrik rumpai laut menjelang 2020.

“Saya yakin, melalui inisiatif baru NIBM yang mengetengahkan teknik penghasilan benih rumpai laut menggunakan kultur tisu ini, komuniti pengusaha rumpai laut akan dapat meningkatkan margin keuntungan mereka” ujarnya.