Dengan keluasan penanaman sawit mencecah empat hingga lima juta hektar, ia tidak ternilai dari aspek ekonomi. Ini kerana ketika harga minyak sawit belum jatuh, sumbangan pendapatan daripadanya bernilai berpuluh bilion ringgit.

Usaha memanfaatkan khazanah daripada sawit diteruskan menerusi penyelidikan yang akan memberi nilai tambah terhadap komoditi tersebut seperti yang dibuktikan oleh sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Dua penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga UTM, Prof. Dr. Ida Idayu Muhamad selaku ketua dan rakannya, Mohd. Suhaidi Ja’apar berjaya menghasilkan produk EG T Fiber Extract menggunakan ekstrak daripada serat sawit.

Menurut Ida Idayu, produk itu diformulasikan daripada serat sawit tempatan yang terbaik untuk dijadikan minuman diet harian.

“Produk ini adalah hasil kajian bioteknologi saintis tempatan,’’ ujarnya yang mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan makanan dan biobahan.

Beliau berkata, serat batang kelapa sawit mempunyai banyak bahan antioksidan yang boleh meneutralkan radikal bebas (sistem pertahanan penyakit) dalam badan.

Katanya, serat daripada batang sawit kaya dengan garam galian seperti kalsium, magnesium dan fosforus yang dapat memberi imbangan mineral dalam tubuh.

Berkongsi lebih lanjut beliau berkata, kajian dilakukan sejak 2007 tetapi produk mula berada di pasaran tempatan pada 2015.

Katanya lagi , idea bermula apabila terdapat penemuan 
oleh saintis Jepun tentang potensi ekstrak batang sawit untuk diminum bagi tujuan kesihatan.

Justeru, dengan kejayaan tersebut, pada masa akan datang pihaknya merancang menghasilkan rangkaian produk biofarmaseutikal seperti kapsul dan sebagainya.

Sisa pemprosesan pula akan dijadikan baja semula jadi dan bahan aditif berprobiotik untuk makanan ternakan.

Beliau dan kumpulannya berharap supaya penyelidikan tersebut dapat dijadikan alternatif kepada masalah lambakan produk herba untuk kesihatan di pasaran.

“Tetapi produk ini masih memerlukan kajian lebih mendalam terutama dari segi saiz partikel, dos yang sesuai dan sebagainya,’’ ujarnya. Katanya, kerja-kerja tersebut penting bagi melengkapkan kajian klinikal potensi produk berkenaan dengan lebih menyeluruh.