Asas promosi melawat Malaysia sejak 1990 menggunakan hidupan liar sebagai maskot. Pada 1990, 1994 dan 2007, menggunakan orang utan sebagai maskot, tahun 2014 menggunakan monyet belanda dan tahun 2020 menggunakan orang utan, monyet belanda, penyu dan pemandangan pantai bersih dan cantik. Malaysia menonjolkan sumber semula jadi yang kaya dengan flora dan fauna sebagai tarikan pelancong selain bandar yang selamat dan selesa untuk membeli belah, syurga makanan, hotel dan perhubungan yang baik.

Terdapat banyak tempat menarik seperti santuari hidupan liar untuk penyu, burung pantai, burung pemangsa, gajah dan burung enggang.

Pemuliharaan spesies terancam dan perlindungan habitat tidaklah terletak bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar semata-mata tetapi juga Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. Dengan mengaitkan kepelbagaian biologi dan pelancongan, anggapan terhadap melindungi hidupan liar dan memulihara habitat mereka tidak menguntungkan itu dapat diubah.

Banyak kajian menunjukkan kepelbagaian biologi dan pelancongan meningkatkan pendapatan penduduk tempatan luar bandar dan pendalaman.

Di Kuala Lumpur juga pelancong boleh melihat hutan tropika seperti di Bukit Nanas, Taman Tugu dan Kepong.

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Kepong diasaskan pada 1929 untuk penyelidikan telah diisytiharkan sebagai Warisan Negara pada tahun 2012. Kawasan seluas 544 hektar (ha) ini terdiri daripada Hutan Hujan Tropika yang masih bersih dan tidak tercemar.

POKOK TERTUA

Kepelbagaian flora dan fauna adalah antara tarikan penting pelancong, manakala bagi pemerhati burung, FRIM merupakan destinasi menarik.

Di samping menikmati keindahan flora dan fauna, jejak hutan melintasi pokok-pokok besar juga menarik. Pokok tertua direkodkan adalah melebihi 100 tahun. Antaranya adalah kapur (Dryobalanops aromatica) dan keladan (Dryobalanops oblongifolia). Pokok keladan terbesar berusia 116 tahun berukuran 115.8 sentimeter (cm) dbh (diameter at breast height) dan 36.4 m tinggi dengan biomas 20.3 tan dan karbon 9.3 tan.

Hutan FRIM juga dilaporkan mempunyai 185 spesies burung, 59 spesies mamalia dan 82 spesies reptilia.

Hutan Belum di Perak yang berusia 130 juta tahun lebih tua daripada hutan Amazon boleh menarik pelancong dunia. Hutan Belum-Temenggor mempamerkan 10 spesies burung enggang dalam satu tempat. Di samping itu, lebih 3,000 spesies tumbuhan berbunga terdapat dalam hutan Belum-Temenggor. Bunga pakma (Rafflesia sp.) merupakan bunga terbesar di dunia antara yang menarik pelancong. Ada empat spesies bunga pakma, Rafflesia azlanii, Rafflesia cantleyi, Rafflesia sumeiae and Rafflesia kerri di Hutan Belum-Temenggor. Hutan Belum-Temenggor juga merupakan habitat kepada mamalia besar seperti gajah, seladang, harimau, tapir, rusa dan beruang matahari.

Taman Negara atau satu ketika dikenali sebagai Taman Negara King George V sebagai Hutan Hujan Tropika berusia 130 juta tahun berkeluasan 4,343 kilometer persegi merangkumi tiga negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu. Gunung Tahan dengan ketinggian 2,187 meter merupakan puncak tertinggi di Semenanjung Tanah Melayu.

Bagi yang ingin menikmati cabaran jeram sungai, kehijauan hutan tropika, hidupan liar, Taman Negara adalah satu destinasi yang perlu dikunjungi. Di Taman Negara, terdapat 300 spesies ikan, 386 spesies burung dengan 14 spesies terancam dan mamalia besar seperti gajah, harimau, tapir seladang, babi hutan dan rusa. Ikan kelah (Tor tambroides) adalah antara yang menarik bagi peminat ikan. Pengunjung tidak dibenarkan memancing dan memburu dalam kawasan Taman Negara. Di samping flora dan fauna perkampungan Orang Asli juga menjadi tarikan pelancong.

Malaysia juga menawarkan kehidupan batu karang yang cantik dan menarik. Beberapa tempat dilabelkan sebagai syurga tropika seperti Taman Laut Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Sipadan. Pantai yang berpasir berhadapan Laut China Selatan membuatkan kawasan berkenaan bersih, segar dan lebih menarik bagi pelancong.

Keindahan alam semula jadi ini mestilah dijaga daripada pencemaran sampah seperti plastik, minyak dan kumbahan domestik. Pencemaran akan memberikan kesan kepada keindahan semula jadi batu karang dan hidupan laut dan menyebabkan kematian batu karang. Destinasi menyelam juga menarik pelancong untuk mendapatkan lesen menyelam laut terbuka.

Kerajaan mestilah memastikan nilai kepelbagaian biologi, perkhidmatan alam sekitar dan kelestariannya terus terjamin untuk pelancongan berasaskan alam semula jadi.

Kawasan sira yang dilawati hidupan liar mesti dijaga keaslian mereka. Pengunjung tidak boleh merapati kawasan berkenaan kerana akan mengganggu haiwan liar dan mungkin membahayakan manusia.

TANAH TINGGI

Cameron Highlands sudah terkenal dengan aktiviti pertanian tanah tinggi dan menjadi tumpuan pelancong. Isu-isu alam sekitar yang dibincang hangat pada musim hujan antara November hingga Januari perlu ditangani dengan baik agar tumpuan pelancong berterusan ke Cameron Highlands. Pakej pelancongan di Cameron Highlands yang popular adalah ladang teh, jejak hutan Gunung Brinchang dengan ketinggian 6,666 kaki, membeli sayuran, bunga-bunga dan lain-lain.

Kerajaan ingin memastikan Tahun Melawat Malaysia 2020 terus kompetitif dan menyasarkan pelancong terus meningkat kepada 36 juta orang dengan pendapatan RM168 bilion. Tema Travel, Enjoy Respect bagi Melawat Malaysia 2020 menjadi teras Agenda Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia.

Melawat Malaysia 2020 dijangka memberi pulangan yang baik dari segi pendapatan negara. Kedudukan Malaysia, kestabilan politik, penduduk yang mesra pelancong, taraf hidup yang rendah berbanding negara maju lain dan kemudahan awam yang baik menarik pelancong untuk datang ke Malaysia.

Kajian yang diterbitkan oleh Journal of Tourism and Hospitality Research 2014 tentang kesan pekerjaan berkaitan ekopelancongan ke atas pendapatan isi rumah dan kebajikan sosial luar bandar di enam negara di selatan Afrika mendapati aktiviti ekopelancongan memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi tempatan di luar bandar.

Pada Tahun Kepelbagaian Biologi Antarabangsa 2010, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), mengutarakan kadar kehilangan kepelbagaian biologi meningkat dan berterusan sama ada pada peringkat genetik, spesies dan ekosistem. Journal of Heritage Tourism 2010 mencadangkan komitmen kerajaan dalam membangunkan agenda penyelidikan tentang pelancongan dan kepelbagaian biologi.