Banyak nilai penting tentang sungai diketengahkan pada hari tersebut. Sungai adalah seperti arteri bagi bumi yang menghidupkan bumi sama ada dari segi kesuburan, kesihatan dan kemudahan untuk manusia.

Sungai sebagai sumber air untuk minuman, kegunaan harian, pengangkutan, pertanian dan industri. Banyak sungai di setiap negara dalam keadaan yang tidak sihat.

Amalan membuang sampah, kotoran dan melepaskan efluen yang tidak dirawat membuatkan sungai menjadi kotor secara fizikal dan biologi.

Pada 2005, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melancarkan program air untuk hidup bagi mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang perlunya menjaga sumber air dan kemudiannya memperkenal WRD.

Banyak negara masih bergantung kepada sungai untuk bekalan air minuman dan kegunaan harian. Bagi sungai yang tercemar sama ada oleh kelodak, bahan kimia, sampah dan lain-lain, memerlukan kos yang tinggi untuk merawat.

Pada umumnya di seluruh dunia termasuk Malaysia, memerlukan perhatian yang serius tentang sungai.

Malaysia sudah lama memberikan perhatian kepada sungai dan penglibatan masyarakat dalam memastikan sungai bersih. Misalnya kempen Cintai Sungai Kita yang dilancarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada tahun 1993 bagi mendidik masyarakat tentang kepentingan sungai dan alam sekitar dalam kehidupan seharian. Malaysia mempunyai 150 lembangan sungai utama yang penting kepada manusia dan alam sekitar. Hampir 100 sungai utama berada di Semenanjung dan selebihnya di Sabah dan Sarawak. Dalam kempen Cintai Sungai Kita masyarakat diberikan pengetahuan tentang ekologi sungai secara umum dan pencemaran sisa pepejal, bahan kimia merbahaya, kualiti air sesuai untuk digunakan, flora dan fauna dalam sungai dan keindahan sungai khususnya.

Banyak aktiviti lain dijalankan bagi menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap sungai. Misalnya kerajaan menjalankan program membersihkan sungai di Lembangan Klang sejauh 110 km meliputi kawasan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sungai Kelang yang mempunyai 11 cabang sungai utama mengalir melalui bandar raya Kuala Lumpur dan Selangor ke Selat Melaka.

Cabang-cabang utama Sungai Kelang termasuk Sungai Gombak, Sungai Batu, Sungai Kerayong, Sungai Damansara, Sungai Keruh, Sungai Kuyoh, Sungai Penchala dan Sungai Ampang.

Sungai Kelang yang bermula dari tanah tinggi dalam Daerah Gombak bersempadan dengan Pahang. Pertemuan Sungai Kelang dan Sungai Gombak dari segi sejarahnya menjadi titik permulaan Kuala lumpur.

Program pembersihan sungai adalah bermatlamat memperbaiki kualiti air sungai dari kelas III dan Kelas V kepada kelas II b. Kualiti air sungai Kelas III, IV dan V tidak sesuai untuk digunakan termasuk aktiviti rekreasi.

Proses pembersihan Sungai Kelang mengharapkan kualiti airnya mencapai Kelas II b pada tahun 2020. Kualiti air sungai Kelas II b sesuai untuk kegunaan rekreasi.

Bagi kawasan tertentu yang menjadi tumpuan pelancong seperti Dataran Merdeka, Masjid Jamek dan Bangunan Sultan Abdul Samad, malah sepanjang sungai dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hinggalah KL Sentral boleh dicantikkan untuk dinikmati umum sebagai sungai yang hidup.

Proses pembersihan sungai mengambil masa yang lama terutama jika melibatkan proses semula jadi. Pengalaman pembersihan sungai-sungai lain di dunia mungkin boleh dijadikan panduan.

Oleh kerana Sungai Kelang merentasi kawasan padat dengan lebih empat juta penduduk dan banyak aktiviti manusia, membuatkan Sungai Kelang agak tercemar.

Pembangunan yang pesat dan terlalu hampir dengan sungai membuatkan sebahagian daripada sungai ini menjadi sempit dan kadang-kadang tidak mampu menampung air sungai ketika hujan lebat dan menyebabkan banjir kilat.

Media tempatan pernah melaporkan pada tahun 2015 sebanyak 23 tan sisa pepejal dikutip di Sungai Gombak dan 35 tan dikutip pada tahun lalu menggunakan tiga perangkap sampah JPS.

Laporan JPS juga menunjukkan purata antara 50 hingga 60 tan sampah (atau sisa pepejal) dikutip setiap hari di Sungai Kelang. Selepas hujan, sebanyak 80 tan sampah dikutip daripada perangkap sampah sepanjang Sungai Kelang dan cabang-cabangnya.

Kualiti air Sungai Gombak pada tahun 2017 dilaporkan pada Kelas III iaitu sedikit tercemar.

Peningkatan sisa pepejal boleh menjejaskan kualiti Sungai Gombak dan mungkin menjadikan Sungai Gombak Kelas IV iaitu tercemar.

Mengikut JPS, kos sebanyak RM60,000 setiap bulan diperlukan untuk menyelenggara tiga perangkap sampah di Sungai Gombak.

Hasrat kerajaan meningkatkan kualiti air Sungai Kelang dari Kelas III ke II b yang sesuai untuk rekreasi tidak akan tercapai sekiranya kurang kesedaran dalam kalangan masyarakat.

Pengurusan sisa pepejal, kumbahan domestik serta efluen industri dan pertanian yang kurang cekap boleh mencemar air sungai.

Larian air permukaan semasa hujan membawa sampah ke longkang, parit dan sungai yang akhirnya akan sampai ke laut.

Warna air sungai yang keruh menunjukkan muatan pepejal terampai tinggi akibat daripada tarahan, hakisan permukaan tanah dan aktiviti mengorek pasir sungai.

Pencemaran air sungai boleh dikaitkan dengan tahap kesedaran yang rendah dan pengurusan tanah serta sisa pepejal yang lemah.

Sungai adalah laluan air semula jadi yang mengalir ke laut, tasik atau ke sungai lain yang lebih besar. Kebanyakan sungai di dunia telah tercemar akibat daripada aktiviti manusia.

Sungai Thames di London suatu ketika dahulu dikatakan sebuah sungai yang mati secara biologinya kerana terlalu tercemar. Pada tahun 1800-an, ramai penduduk menderita kerana wabak penyakit seperti taun akibat daripada air Sungai Thames yang tercemar.

Pada tahun 1857, Parlimen di negara berkenaan membuat keputusan untuk menjadikan Sungai Thames bersih dan pada tahun 1865 perancangan dibuat.

Dengan menggunakan kaedah rawatan, menguatkuasakan undang-undang dan usaha yang berterusan, bukan sahaja Sungai Thames pulih daripada pencemaran yang teruk malah menjadi antara sungai yang paling bersih di dunia.

Begitu juga dengan Sungai Tara yang dilindungi dan merupakan warisan semula jadi serta simpanan biosfera dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO).

Penglibatan seramai 52 ahli sains terkemuka dunia mengetuai pasukan penyelidikan saintifik telah membuktikan pembinaan empangan boleh memberikan kesan kepada sistem ekologi sungai. Sungai sepanjang 146 km itu akhirnya menjadi antara sungai terbersih di dunia dan dikenali sebagai permata Eropah.

Sungai St. Croix sepanjang 264 km yang merupakan cabang daripada Sungai Mississippi juga antara sungai yang terbersih di dunia setelah mengalami proses pembersihan. Pada tahun 1830-an, sungai ini tercemar oleh aktiviti pembalakan.

Pada tahun 1915 dengan berakhirnya era kilang papan, proses pembersihan sungai berlaku secara automatik.

Dua sungai lagi yang diiktiraf sebagai sungai paling bersih di dunia ialah Sungai Torne dan Sungai Li.

Sungai Torne sepanjang 522 km mengalir ke Teluk Bothnia di Sweden and Finland, manakala Sungai Li di China yang mengalir dari pergunungan di Xing’an ke Guilin. Sungai ini mempunyai sejarah tersendiri apabila penduduknya menangkap ikan menggunakan burung Comorant.