Terdapat juga pertubuhan atau individu yang sukarela melakukan sesuatu berkaitan alam sekitar, kesihatan dan kebajikan. Dalam hal berkaitan perlindungan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi di negara ini, terdapat beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif menyuarakan pandangan berkaitan alam sekitar, perlindungan habitat dan membantu program pemuliharaan kepelbagaian biologi melalui aktiviti kesedaran awam, pendidikan dan penyelidikan.

Diharapkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baharu akan lebih telus dan terbuka dalam hal pemuliharaan habitat semula jadi dan bekerjasama dengan NGO terlibat. Pihak NGO boleh membantu kerajaan mencapai objektif Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan.

Sememangnya dalam strategi pelaksanaan polisi, terdapat penglibatan NGO terutama bagi program pendidikan dan kesedaran awam.

Sebagai sebuah negara ke-12 di dunia dalam kepelbagaian biologi, ia memerlukan NGO berkaitan alam semula jadi yang kuat dan berani bersuara bagi membantu kerajaan memastikan alam semula jadi negara ini dalam keadaan terkawal.

Kawasan-kawasan yang terdedah kepada konflik dari segi perlindungan atau pemuliharaan boleh mendapatkan bantuan NGO bagi menarik perhatian umum.

Kawasan tadahan air dan kawasan sensitif alam sekitar sepatutnya tiada pembangunan dan aktiviti pembalakan terutama di hulu sungai. Kawasan alam semula jadi mestilah dikekalkan dan mengikut peraturan yang ada pada peringkat negeri atau Persekutuan. Kawasan santuari burung di pesisiran pantai tidak dibangunkan untuk kolam udang. Kawasan yang dibangunkan selalunya akan terbengkalai dan ekosistem bakau akhirnya musnah buat selama-lamanya. Habitat burung pantai juga akan tercemar. Keaslian dan keindahan alam semula jadi juga akan memberikan kesan kepada ekopelancongan.

Begitu juga dengan kerja menaik taraf jalan raya melibatkan pokok bakau hampir 100 tahun dan bangunan bersejarah serta merosakkan tebing sungai melanggar panduan dan peraturan sedia ada. Selain itu, input pencemaran ke sungai hasil daripada aktiviti di kawasan daratan juga mesti dikawal. Dalam hal ini, NGO boleh berperanan menasihat dan membantu kerajaan menghalang ahli perniagaan yang tamak dan perancangan yang kurang teliti, mendidik masyarakat dan memberi kesedaran umum tentang penjagaan habitat secara bersepadu.

Ahli-ahli NGO dalam kalangan profesional terutama yang telah bersara boleh menyumbang kepakaran mereka berkaitan alam semula jadi. Antara NGO di Malaysia yang aktif dalam hal berkaitan alam semula jadi ialah Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) dan Dana Sedunia Alam Sekitar (WWF), di samping kumpulan-kumpulan NGO setempat yang menjaga habitat tertentu seperti Sahabat Hutan Bakau Kuala Gula, Perak dan Penang Inshore Fishermen Welfare Association (PIFWA) di Pulau Pinang dan Pertubuhan Sahabat Alam Sekitar Malaysia (SAS).

Pertubuhan tersebut sudah mempunyai sejarah sumbangan mereka kepada pemuliharan alam semula jadi yang menjadi tumpuan aktiviti pelancongan. Contoh yang boleh dimanfaatkan seperti Taman Negara Endau-Rompin, Kompleks Belum Temenggor dan Kompleks Ulu Muda. Semua individu yang menyertai persatuan-persatuan tersebut adalah secara sukarela.

Individu yang mempunyai minat dan tujuan yang sama berkaitan alam semula jadi bersatu dan bekerjasama menjalankan aktiviti seperti menanam pokok, mengutip sampah, menjalankan aktiviti pendidikan, penyelidikan dan menjalankan aktiviti-aktiviti khusus seperti fotografi, memerhati burung, amfibia atau tumbuh-tumbuhan unik.

Dalam alam semula jadi, semua parameter adalah berkaitan antara satu dengan lain dan saling berinteraksi bagi memastikan sesuatu ekosistem itu stabil. Manusia juga perlu melihat alam semula jadi itu secara bersepadu dan tidak secara terpisah.

Kelestarian alam semula jadi adalah tanggung jawab setiap individu, bagaimana kita menguruskan plastik misalnya dan bagaimana menguruskan alam semula jadi seluruhnya.

Manusia mesti mula berfikir secara bersepadu, kreatif dan berasaskan sains dan tidak lagi boleh berfikir secara lama. Misalnya, dalam mendapatkan bekalan madu lebah yang berterusan dan berkualiti, banyak perkara berkaitan serangga ini perlu difikirkan seperti spesies lebah, habitat, tingkah laku, pokok-pokok dan bunganya, musim bunga, gas beracun, penggunaan racun serangga, cuaca mikro, penebangan hutan dan faktor-faktor berkaitan manusia.

Tujuan utama NGO adalah untuk terlibat dalam aktiviti bagi kepentingan awam atau peribadi tanpa apa-apa tujuan komersial atau keuntungan wang. Selalunya pertubuhan sebegini aktif dalam hal berkaitan alam sekitar, kemanusiaan, perlindungan haiwan, isu sosial dan kebajikan, pendidikan awal kanak-kanak, kesihatan, politik, agama, penyelidikan dan sukan. Pertubuhan ini selalunya dibiaya oleh sumbangan dan sukarelawan atau bergantung sepenuhnya kepada ahli.

Journal of Environmental Research and Development 2008 melaporkan setiap insan, organisasi dan institusi mempunyai tanggungjawab dan tugas untuk melindungi alam sekitar tidak sahaja dari segi pencemaran tetapi juga kelestarian pembangunan dan pemuliharaan sumber semula jadi dan ekosistem dan penting dan segera.

Cabaran NGO

Terdapat banyak cabaran yang selalu dihadapi pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Antaranya ialah NGO tidak diiktiraf dan diketahui umum tentang fungsi mereka dalam hal alam sekitar. Mereka juga kadang-kadang tidak diperlukan oleh kerajaan atau swasta dalam menjalankan program tentang alam sekitar kerana mereka sendiri menjalankan aktiviti berkaitan.

Malaysia baharu sekarang perlu mengiktiraf peranan dan sumbangan NGO boleh membantu menjayakan polisi kerajaan. Pertubuhan yang tidak mencari keuntungan perlu dibantu dalam bentuk sumbangan atau projek berasaskan alam semula jadi. Pendidikan dan kesedaran awam serta amalan menjaga, melindungi dan memulihara alam semula jadi sangat penting dan merupakan tanggung jawab semua.

Aktiviti NGO bukan sahaja setakat menanam pokok atau mengutip sampah, tetapi sepatutnya menjadi model untuk negara lain sesuai dengan kedudukan sebagai negara nombor 12 memiliki Kepelbagaian Biologi di dunia.

Dengan maklumat yang mantap tentang alam semula jadi, NGO akan lebih berani menyuarakan pandangan kepada umum dan kerajaan dalam memperjuang isu-isu berkaitan perlindungan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi dan habitatnya. Antara aktiviti berkaitan alam semula jadi ialah aktiviti bersama masyarakat setempat dalam pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar seperti gotong-royong, pembersihan kawasan dan khidmat nasihat mengenai penjagaan alam sekitar.

Aktiviti di tempat awam seperti pasar raya misalnya aktiviti Urban Environmental Education Hub (UEEH-MNS) di sebuah pusat beli belah boleh dijadikan contoh.

Eksplorasi dan riadah menghayati alam semula jadi, seperti mengenali ekosistem hutan, sungai, gunung, gua, paya bakau dan lain-lain, aktiviti penghayatan alam seperti berjalan di kanopi hutan, penghayatan hidupan kelip-kelip dan pemerhatian spesies flora serta fauna boleh dijalankan. Pendidikan alam sekitar melalui aktiviti interaktif seperti kuiz alam sekitar, aktiviti mencari bintang dan merentas hutan berpandu juga selalu dilakukan.

Kempen promosi dan kesedaran alam sekitar seperti Sambutan Hari Bumi (22 April), Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia (5 Jun) dan Sambutan Minggu Alam Sekitar Malaysia (21 hingga 27 Oktober) boleh mengubah gaya hidup masyarakat ke arah kehidupan yang lestari. Perkongsian, penyebaran maklumat mengenai alam sekitar dan pembangunan kapasiti sumber manusia berkaitan alam semula jadi mesti dilaksanakan dan berterusan.