Selain sukar mengamalkan pengasingan sampah, satu lagi isu yang boleh dianggap bukti kegagalan 3R (Reuse, Recycle, Reduce) adalah sampah yang sudah diasingkan dikatakan bercampur semula di tempat pelupusan. Kenyataan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin mengesahkan perkara tersebut. Laporan khas siri 3 oleh Aqilah Mior Kamarulbaid, Noor Intan Suhana Che Omar dan Laupa Junus adalah berkaitan luahan Bee Yin yang sekali gus menceritakan kegagalan tersebut.

Beberapa tahun lalu cukup hebat kempen mengenai amalan 3R dibuat menerusi kaca televisyen, corong radio mahupun iklan dalam media cetak.

Sayangnya usaha itu dilihat sekadar separuh jalan apabila kini sepi manakala mentaliti majoriti masyarakat masih di takuk lama apabila enggan mengamalkan 3R dalam aktiviti harian mereka.

Baru-baru ini heboh seketika dalam media sosial dan di dada akhbar apabila timbunan sampah di tempah pelupusan sampah menggunung seperti bukit. Bukan itu sahaja, keluasan tanah yang diperuntukkan juga tidak mencukupi.

Ini kerana menurut Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTEC), Yeo Bee Yin, sisa-sisa yang diasingkan di peringkat isi rumah dicampurkan semula di tempat pelupusan sampah.

Seperti yang difahami, setiap tempat pelupusan sampah tidak boleh digunakan lebih daripada 100 tahun kerana memberi kesan kepada kesihatan dan alam sekitar.

Peliknya, mengapa sisa sampah yang boleh dikitar semula dilonggokkan kepada sisa sampah lain? Perkara itu tidak selari dengan pendidikan 3R yang disampaikan kepada rakyat.

Persoalannya, tiadakah peruntukan undang-undang khas di pusat pelupusan sampah yang membenarkan sisa mudah terurai sahaja dilupuskan?

Lebih memburukkan keadaan apabila tindakan China menarik semula kemasukan sisa pepejal negara maju ke negara itu. Adakah ini bermakna Malaysia akan ‘kaya’ dengan lambakan sampah?

Bee Yin berkata, bagi memastikan perkara itu, kerajaan mengambil langkah drastik dengan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan baharu bagi permohonan lesen import sisa pepejal seterusnya membatalkan serta-merta lesen kesemua 114 pengusaha sebelum ini.

Katanya, pengusaha perlu memohon semula lesen melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui SOP dan kriteria baharu bagi memastikan tiada pelanggaran standard dan peraturan.

Langkah itu sekali gus menandakan MESTECC komited membantu pembangunan teknologi dan sistem dalam kitaran ekonomi.

“Contohnya seperti plastik, daripada bahan mentah dapat hasilkan plastik dan jika dikitar semula dapat menghasilkan plastik lain atau dijadikan linen.

“Cara itu dapat mengurangkan sisa pepejal kerana bahan sama digunakan semula,” katanya.

Bahkan usaha tersebut membantu Malaysia mencapai pengurangan 40 peratus sisa pepejal ke tapak pelupusan dan mengurangkan gas rumah hijau daripada sisa pepejal sekiranya menggunakan teknologi baharu pelupusan sampah.

Selain itu jelasnya, kementerian akan membantu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam program jelajah pada tahun depan bagi memberi pendidikan dan pendedahan berhubung amalan 3R sekali gus memperkasakannya di setiap peringkat usia.

“Kita menyasarkan di peringkat awal untuk melibatkan sekolah-sekolah kerana kanak-kanak seperti kain putih yang lebih mudah dibentuk untuk menyintai alam sekitar dengan amalan 3R.

“Jika mereka berjaya lakukan di sekolah, berkemungkinan besar amalan itu akan diteruskan di rumah atau di mana-mana sahaja.

“Ini kerana saya percaya agak sukar mengubah mentaliti golongan dewasa.

"Pendedahan dan pendidikan bermula di peringkat awal usia akan melahirkan generasi bijak menguruskan sisa pepejal,” jelasnya.

Tiada lagi penyedut minuman plastik

Dengan tidak menolak kenyataan bahawa rakyat perlu memainkan peranan jika mahu Malaysia dilihat setanding negara maju lain, Yeo Bee Yin menyeru orang ramai untuk menetapkan hati dan minda ke arah kesejahteraan serta kemajuan negara.

Katanya, salah satu usaha adalah ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sifar plastik menjelang 2030.

Usaha itu secara tidak langsung mampu melindungi dan memelihara alam sekitar kerana sifat plastik itu sendiri sukar terurai secara semula jadi dan mengambil masa yang lama untuk dilupuskan.

Masih ingatkah anda tentang reaksi berbeza dan tidak kurang juga dengan kecaman yang diterima oleh Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) apabila menyuarakan pengharaman penggunaan penyedut minuman plastik di Wilayah Persekutuan bermula 1 Januari 2020?

Sebenarnya pengharaman penyedut minuman plastik bukan perkara baharu, sebaliknya beberapa negara turut melakukan perkara sama seperti United Kingdom, Kanada, Taiwan dan beberapa negara lain.

Walaupun menjadi bahan gurauan orang awam, menteri muda itu tidak berganjak dengan pendirian untuk menggalakkan penghasilan penyedut minuman alternatif daripada bahan biodegrasi, besi tahan karat dan sebagainya.

Pengharaman itu jika dilihat dari sudut lain memberi kesan positif kepada alam sekitar dan hidupan laut.

Ini kerana proses pelupusan plastik memakan masa selama 100 tahun, malah menurut Konservasi Maklumat dan Data Sisa Laut Untuk Pendidikan dan Penyelesaian 2018, penyedut minuman plastik berada di tangga ke-11 yang paling banyak ditemukan di laut.

“Malaysia merupakan pengeluar sisa plastik kelapan terbanyak dalam 193 negara pesisiran. Lebih 100 juta hidupan marin mati disebabkan pencemaran plastik di lautan, menjejaskan 267 spesies di seluruh dunia termasuk 86 peratus penyu, burung dan mamalia,” ujarnya.

Sekiranya tiada usaha drastik diambil, akan lebih banyak plastik di lautan berbanding ikan pada 2050.

“Salah satu cara untuk mengatasinya adalah dengan menggunakan bioteknologi untuk menghasilkan bioplastik daripada atau disintesis oleh mikrob sama ada biodegradasi atau terhasil daripada sumber boleh baharu atau kedua-duanya,” jelasnya.

Buka peluang majukan perniagaan

Jangan sekadar memandang ringan usaha kerajaan, sebaliknya komitmen tersebut membuka peluang kepada pemain industri untuk melihat peluang perniagaan baharu.

Pemain industri boleh menghasilkan penyedut minuman alternatif menggunakan barangan kitar semula atau daripada bahan organik yang lebih menguntungkan.

Inovasi tersebut secara tidak langsung akan menjadi pilihan peniaga dan pengusaha kedai makan di seluruh dunia.

Malah, industri lain juga boleh terus berkembang maju sekiranya mereka bijak mengambil peluang daripada amalan kitar semula.

Seperti perabot, pengusaha atau pengilang boleh menghasilkan inovasi baharu menggunakan kayu palet terbuang, begitu juga hasil buangan plastik yang boleh dijadikan pelbagai bahan hiasan rumah.