Beliau yang dilahirkan pada 1958 di Sungai Petani, Kedah banyak terlibat dalam projek berkaitan biomas atau sisa dari industri sawit dan perumahan seperti sampah serta sisa makanan.

Berkongsi lebih lanjut Mohd. Ali memberitahu, beliau menjana teknologi untuk menghasilkan produk yang bernilai tinggi dalam bentuk tenaga, bahan dan baja (kompos).

Dalam pada itu, beliau turut aktif di dalam bidang penyelidikan biogas dengan pembiayaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang berjaya dikomersialkan oleh agensi tersebut dan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) pada 2009, manakala pada 2011, Mohd. Ali dilantik oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai Ketua Projek Biomas Serdang, yang merupakan usaha sama kerajaan dengan Jepun.

Menerusi projek tersebut, loji pepandu biomas iaitu [email protected] dibina dengan pembiayaan KPKT, Felda dan Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) dengan empat projek utama iaitu kompos, biogas serta biochar daripada biomas, dan biodiesel daripada minyak masak terpakai.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi projek kemasyarakatan yang dijalankan bersama kumpulannya bagi menggalakkan masyarakat mengitar semula minyak masak terpakai.

Minyak masak tersebut akan melalui satu proses di pusat pemprosesan di UPM dengan kadar bayaran RM1 untuk satu liter bagi menukarkannya kepada biodiesel yang boleh dijual pada kadar RM2 untuk seliter.

“Menerusi projek ini, ia membantu mengurangkan penghasilan karbon daripada diesel selain menjanakan industri baharu,” katanya.

Pada 2014, beliau bersama Prof. Dr. Yoshihito Shirai berjaya mendapatkan geran Satreps dari JICA-JST Japan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk membangunkan teknologi mesra alam dan pembuangan sifar bagi industri sawit. Melalui projek kelestarian ini, satu loji pandu dibina dan beroperasi di Kilang Sawit Keningau, Sabah.

“Projek ini akan berterusan sehingga 2018 dan akan menyaksikan lebih banyak kilang sawit melaksanakan projek mesra alam berasaskan biomass yang melibatkan penambahan nilai, peluang pekerjaan dan pengurangan pencemaran.

“Kita memberi nilai tambah kepada bahan buangan untuk menghasilkan produk yang boleh diguna semula pada peringkat individu atau industri, kita menggunakan bahan buangan dan organik,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada majlis Anugerah Gemilang Akademia Putra di Serdang, Selangor baru-baru ini yang disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Canselor universiti berkenaan. Turut hadir Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Datuk Dr. Aini Ideris.

Tambah Mohd. Ali, beliau berjaya menghasilkan teknologi yang mesra alam, rendah karbon dan menghasilkan pencemaran yang minimum seperti merawat sisa cecair daripada sawit sebersih air sungai.

“Ini bermakna kita boleh kitar atau lepaskan semula cairan tersebut ke sungai tanpa pencemaran,” jelasnya.

Kepimpinan Mohd. Ali dalam pentadbiran, penyelidikan dan jaringan industri tidak boleh dipertikai. Kumpulan penyelidikan Bioteknologi Alam Sekitar yang ditubuhkannya sejak 2002 berjaya melahirkan ramai graduan dan tenaga mahir.

Beliau dilantik sebagai Pengerusi Jamaah Dekan UPM dari 2011 hingga 2014 selain merupakan Naib Presiden, Persekutuan Bioteknologi Asia (AFOB) dan juga Presiden AFOB Cawangan Malaysia sejak 2014.

Lebih membanggakan, Mohd. Ali berjaya menerbitkan lebih daripada 180 kertas kerja dalam jurnal berimpak Scopus dan mempunyai tujuh paten.

Ketokohan beliau mendapat pengiktirafan antarabangsa melalui Anugerah Pertukaran Penyelidikan dari Persatuan Bioteknologi Korea dan Biojurutera pada 2013 selain menerima Anugerah Saintis Penyelidik pada 2015 dan Felo Akademi Sains Malaysia (ASM).

Pada tahun lalu, beliau menerima dua anugerah lain iaitu Anugerah Malaysia Mikrobiologi 2017 dan Anugerah Bintang Penyelidikan Malaysia 2017.

Pengalaman dan kepakaran beliau sebagai seorang ahli akademik membawa kepada pelantikan dalam pelbagai jawatankuasa akademik, penyelidikan dan pengurusan pada peringkat universiti, kebangsaan dan antarabangsa.

Dalam masa sama beliau terlibat dalam penggubalan Strategi Nasional Biomas 2020, iaitu hasil penyelidikan dan paten beliau dijadikan sebagai salah satu projek utama.

Beliau juga adalah ahli senat UPM dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti.

Saintis muda teruskan kecemerlangan penyelidikan

Sepanjang 10 tahun berkhidmat di UPM, Dr. Hayrol Azril Mohamed Shaffril dilihat sebagai muka baharu yang mampu meningkatkan nama institusi penggajian tinggi tersebut dalam bidang sains sosial.

Justeru tidak pelik apabila Hayrol Azril yang merupakan anak jati Kajang, Selangor memberi tumpuan dalam bidang penyelidikan berkaitan industri komuniti luar bandar khususnya nelayan serta isu berkaitan dengan adaptasi sosial terhadap perubahan cuaca, kesejahteraan subjektif serta penggunaan teknologi dalam komuniti diangkat sebagai penerima Kategori Penyelidik Muda bagi segmen penyelidikan dan Inovasi serta Kategori Penerbitan Makalah Jurnal.

Sehingga Mei 2018, beliau telah menyertai 50 projek penyelidikan dari pelbagai sumber dana tempatan, 11 projek konsultasi bersama pelbagai agensi kerajaan serta dua projek antarabangsa bersama Southeast Asian Regional Center for Graduate Study and Research in Agriculture (SEARCA) dan London School of Hygiene.

“Selain itu, antara kelebihan saya menerima dua anugerah ini juga dilihat daripada penglibatan secara aktif dalam beberapa tugas lain, keahlian dalam kesatuan, jaringan yang diwujudkan serta sumbangan penilai,” katanya.

Dari segi penerbitan, beliau berjaya menerbitkan lebih daripada 130 artikel jurnal sebagai penulis utama dan penulis bersama. Sejumlah 97 daripada artikel ini diterbitkan di jurnal Diindeks Scopus, manakala 21 artikel lagi diterbitkan di jurnal Diiindeks Web of Science.

Hayrol Azril turut berkongsi H-Index terkininya adalah lapan. Selain penulisan artikel jurnal, beliau juga merupakan penulis bagi lima buah buku dan berjaya menerbitkan 13 bab dalam buku, membentangkan 23 kertas kerja penyelidikan pada persidangan tempatan serta antarabangsa, dan memiliki dua harta intelek (IP).

“Dalam konteks penyelidikan, saya memberi tumpuan kepada persepsi nelayan terhadap kesihatan dari pelbagai aspek dan penggunaan teknologi komuniti seperti sistem penentu kedudukan global (GPS). Ini kerana majoriti nelayan di negara ini agak sukar menerima pembaharuan dan terikat dengan cara tradisional,” jelasnya.

Selain itu, beliau juga merupakan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008 dan 2016 selain memenangi sejumlah enam pingat emas, empat perak dan tiga gangsa sepanjang penyertaan dalam Pameran Reka Cipta Penyelidikan dan Inovasi (PRPI).

Beliau turut terpilih sebagai penilai artikel bagi jurnal terpilih dengan penerbit Springer dan juga Sage.

Selain penglibatan dalam dunia penyelidikan, beliau merupakan pengasas kepada Kumpulan Sokongan Pelajar, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), sebuah Facebook Group yang memberi pendedahan kepada pelajar pascasiswazah dan penyelidik berkaitan ilmu, tip, panduan serta perkongsian pengalaman dunia penyelidikan sains sosial. Kini kumpulan terbabit mempunyai lebih dari 4,000 ahli.

Beliau juga merupakan ahli dalam National Geographic Society.

“Saya jangka lebih banyak program yang melibatkan penyertaan antarabangsa pada masa akan datang. Saya akan cuba mencari jalan atau jaringan untuk menjalin kerjasama dengan penyelidik antarabangsa untuk membuat kajian di dalam negara.

“Pandangan orang luar jika disatukan dengan cara pemikiran orang tempatan mungkin akan memberi manfaat dalam bidang yang saya ceburi,” katanya.