Dalam masa sama penubuhan Majlis Perunding Pertanian Negara yang melibatkan segenap lapisan komuniti yang terlibat dalam bidang pertanian seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), akademik dan usahawan merupakan satu langkah proaktif yang wajar dipuji.

Antara cadangan kepada kerajaan dalam memajukan industri ruminan secara lebih efektif adalah membangunkan golongan penternak yang produktif iaitu melebihkan kepada pemberian insentif berasaskan pengeluaran berbanding insentif input supaya memberi motivasi kepada penternak dan seterusnya meningkatkan penghasilan daging dan tenusu.

Antara masalah utama industri ternakan ruminan kita adalah kenaikan kos makanan yang agak tinggi mendorong pengusaha mencari alternatif lain yang lebih murah dan bersumberkan tempatan.

Import makanan berasaskan ternakan ketika ini agak tinggi dengan jagung sahaja mencecah RM3 bilion setahun.

Kemerosotan pengeluaran sumber makanan haiwan ternak dan harga yang semakin meningkat disebabkan faktor cuaca (masalah pemanasan global), persaingan kepenggunaan tanah ( industri, pembangunan hartanah), pengurangan tenaga buruh. Ia merupakan masalah kronik.

Dalam masa sama, permintaan kepada produk makanan berasaskan haiwan ternak semakin meningkat disebabkan peningkatan populasi dan kuasa beli manusia .

Masalah industri ternakan ruminan turut menyumbang kepada krisis makanan global.

Kenaikan harga makanan ternakan yang tinggi sekali gus menaikkan harga ternakan ruminan seperti lembu, kambing dan biri-biri di pasaran untuk keperluan rakyat.

Pemasalahan industri penternakan ruminan di Malaysia adalah berkait rapat dengan isu pemakanan ternakan dari aspek kualiti, kuantiti dan kos.

Isu persaingan kepenggunaan tanah dengan industri komoditi getah dan kelapa sawit serta pembangunan hartanah menjadikan masalah tersebut semakin kritikal.

Kebanyakan penternak terlalu bergantung kepada dedak ternakan yang semakin tinggi harganya serta kekurangan kawasan tanaman pastura atau foder rumput sebagai sumber fiber.

Melihat kepada senario tersebut, syarikat penternakan tempatan, Major Transglobal (MTG) mengambil inisiatif mengusahakan tanaman rumput napier bagi menyokong industri ternakan ruminan yang berdepan masalah kos makanan tinggi.

Pengarah Eksekutif MTG, Nordin Mat berkata, pihaknya mengusahakan kawasan seluas 120 ekar (48 hektar) daripada 300 ekar kawasan tersebut dengan kos hampir RM1.2 juta sejak setahun yang lalu. Pengeluaran rumput serta silaj sekarang dalam kuantiti 300 tan sebulan di Ladang Pengganda Kambing di Pondok Tanjung, Perak.

“Syarikat kini menyasarkan untuk menambah kawasan penanaman seluas 80 hektar (200 ekar) lagi dan bagi pengeluaran rumput sebanyak 1, 500 tan sebulan

“Jumlah ini dijangka dapat menampung makanan ternakan iaitu bagi 1,666 ekor lembu atau 16,666 ekor kambing setiap hari.

“Selain pengeluaran silaj, kami juga berhasrat memproses rumput tersebut kepada bentuk yang lebih tinggi bahan keringnya dengan penggunaan ketuhar yang besar bagi skala pengeluaran 1,000 tan sebulan,’’ ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Salehhuddin Hassan yang melawat ke Pondok Tanjung baru-baru ini sempat meninjau kerja pembuatan silaj daripada rumput napier.

Projek tersebut kini mampu mengeluarkan sebanyak 300 tan metrik sebulan bagi kawasan tanaman seluas 40 hektar (100 ekar).

Lawatan tersebut turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Ismail Bakar dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV),

Datuk Dr. Quaza Nizamuddin Hassan Nizam.

Mohd. Salehhuddin memberi galakan supaya kawasan tanaman ditambah kepada 200 ekar lagi dengan sasaran keluaran 1,000 tan metrik sebulan.

Rumput napier yang juga dikenali sebagai rumput gajah sangat sesuai untuk diberi kepada ternakan secara segar atau dijadikan silaj iaitu rumput yang diperam bersama gula merah dan effective organism (EM) selama kira-kira sebulan.

Rumput berkenaan mudah ditanam iaitu menggunakan batas, dipotong kira-kira 0.5 meter. Rumput berkenaan mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk membesar dan matang serta boleh dituai setiap bulan kerana benih baru tumbuh pada perdu tunggulnya dan membesar dengan cepat.

Bagi menghasilkan silaj, rumput perlu diracik menggunakan mesin khas sebelum dimasukkan ke dalam tong dan dicampur dengan dua bahan berkenaan sebelum diperam.