Kini perairan daerah Semporna, Kunak dan Lahad Datu dikenali sebagai estet rumpai laut kerana kesesuaian perairannya yang berada dalam lingkungan Segitiga Batu Karang sempadan tiga negara iaitu Filipina, Indonesia dan Brunei.

Tidak ketinggalan, Malaysia merupakan antara penyumbang kepada pengeluaran rumpai laut merah spesies Kappaphycus sp. dan Eucheuma sp. yang menghasilkan 20,000 tan metrik rumpai laut kering bernilai RM60 juta pada 2010 yang diusahakan di kawasan seluas 9,000 hektar serta memberi manfaat kepada 1,200 pengusaha di Pantai Timur Sabah.

Walau bagaimanapun, perusahaan tersebut dijalankan secara tradisional yang menyebabkan produktiviti dan kualiti yang rendah serta terlalu bergantung kepada tenaga buruh yang ramai.

Justeru Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui Jabatan Perikanan memperkenalkan teknologi dan kaedah terkini berkonsepkan mini estet di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang dilihat mampu meningkatkan pengeluaran rumpai laut negara secara drastik.

Melalui program tersebut, pengeluaran rumpai laut akan meningkat kepada 150,000 tan metrik (berat kering) menjelang 2020.

Jika dilihat pada 2012, pengeluaran rumpai laut dunia mengalami kekurangan antara 100,000 hingga 150,000 tan metrik setahun walaupun mendapat bekalan dari Indonesia dan Filipina.

Kekurangan tersebut pastinya boleh diisi oleh pasaran Malaysia melalui sistem mini estet yang diperkenalkan yang bukan sahaja meningkatkan produktiviti malah turut meningkatkan kualiti, pengurusan bersepadu serta meningkatkan pendapatan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika merasmikan Program Gelombang Nelayan Nasional (GNN) 2018: Seaweed Splash di Semporna baru-baru ini meminta masyarakat tidak memandang kecil golongan nelayan yang bertarung nyawa di lautan demi memberi nikmat kehidupan kepada rakyat di negara ini.

Rumpai laut umpama satu keajaiban alam semula jadi kerana mengandungi pelbagai khasiat dan kandungan mineralnya yang tinggi iaitu kalsium, lignans serta berkesan membantu penurunan berat badan.

“Salah satu khasiatnya iodin yang membantu meningkatkan perjalanan kelenjar tiriod bagi membantu meningkatkan metabolisme iaitu pembakaran dalam badan.

“Inilah kelebihan laut di Semporna yang tenang serta menerima pancaran matahari yang mencukupi bagi membolehkan tanaman rumpai laut dilakukan di sini sekali gus meningkatkan profil kawasan tersebut sebagai tarikan pelancongan dan menarik lebih ramai pelancong,” katanya.

Pada 2016, kira-kira 206,000 tan metrik rumpai laut (berat basah) bernilai RM44 juta dihasilkan dan perusahaan tersebut menjadi sumber pendapatan kepada hampir 1,200 pengusaha di kawasan pengkulturan rumpai laut di perairan negeri Sabah seperti di Semporna, Kunak, Tawau dan Lahad Datu.

Malah, Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan kawasan persisiran pantainya seluas 38,000 hektar (ha) keseluruhannya dan 28,000 hektar untuk tujuan menternak rumpai laut di Semporna.

“Kerana itu, saya sering ingatkan kawan-kawan di kementerian tentang ternakan rumpai laut yang memiliki nilai besar dan bagaimana untuk manfaatkannya.

“Ia boleh menjadi ‘emas’ untuk negara sebab itu kita mahu sentiasa berkempen tentang kebaikan rumpai laut sebagai produk pelancongan negara seperti bagaimana untuk memasaknya, bagaimana ia boleh dihasilkan produk hiliran dan sektor kecantikan supaya membantu meningkatkan harga rumpai laut di pasaran,” ujarnya.

Dalam usaha memastikan negara mampu memenuhi permintaan yang tinggi pada setiap tahun, kementerian meluluskan peruntukkan berjumlah RM500,000 bagi membina sebuah pusat komersial rumpai laut pada tahun ini.

Menurut Ahmad Shabery, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Semporna akan bekerjasama dengan pemimpin setempat untuk memilih lokasi yang sesuai bagi memudahkan pembinaan kemudahan itu.

“Kita akan mencari apa sahaja cara untuk membantu pengusaha rumpai laut bagi kawasan Semporna meningkatkan hasil jualan kerana harganya pada ketika ini tidak menentu dan kebanyakan pengusaha bergantung kepada satu pembeli sahaja.

“Dengan adanya kemudahan tempat pengumpulan, memproses dan pakej rumpai laut itu nanti, pengusaha di daerah ini sendiri akan menentukan pembeli mereka dengan kadar harga lebih berpatutan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, di bawah Dasar Agromakanan Negara, rumpai laut telah dikenal pasti sebagai salah satu komoditi bernilai tinggi yang diberi tumpuan untuk menyumbang kepada pengeluaran ikan dan eksport negara.

Sebanyak 10 syarikat iaitu masing-masing lapan di Semporna dan dua di Kunak dilantik di bawah projek mini estet manakala enam kluster iaitu masing-masing lima di Semporna dan satu di Tawau diwujudkan bagi menggabungkan pengusaha kecil sedia ada secara berkelompok.

Program tersebut berjaya meningkatkan pendapatan pengusaha melebihi RM1,500 sebulan, melepasi tahap kemiskinan.

Seiring dengan pembangunan huluan rumpai laut, pelbagai program penyelidikan dan pembangunan (R&D) turut dijalankan dengan kerjasama institut pengajian tinggi seperti

Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan agensi lain seperti SIRIM Berhad (SIRIM) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi menghasilkan nilai tambah kepada hasil rumpai laut.

Antara penyelidikan yang dijalankan oleh MARDI membuktikan bahawa rumpai laut Semporna adalah yang terbaik kerana mengandungi kandungan gel karagenan yang paling berkualiti.

Sementara itu Jabatan Perikanan dengan kerjasama SIRIM dan Jabatan Standard Malaysia turut mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi Amalan Baik Ternakan Rumpai Laut dan sehingga kini, lebih 50 ladang projek Kluster Look Buton, Semporna berjaya mendapat pensijilan MyGAP.

Program yang dijalankan itu sebagai usaha kerajaan dalam mentransformasi golongan sasar untuk lebih berdaya saing, berpengetahuan dan medium terbaik dalam menyampaikan feel good factor kepada masyarakat serta secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan dan mewujudkan suasana mesra antara golongan sasar dengan kerajaan.

Kelebihan rumpai laut

Tidak dapat dinafikan lagi kelebihan tumbuhan alga lautan atau lebih dikenali sebagai rumpai laut yang terdiri dari beberapa kelompok seperti alga merah, alga hijau dan alga perang amat penting dalam industri makanan dan farmaseutikal.

Namun dalam masa sama rumpai laut yang bersifat makroskop, multisel dan makrotalik turut dilihat sebagai super food kerana kaya dengan pelbagai khasiat semula jadi seperti komposisi kimianya begitu dekat dengan plasma darah manusia, sekali gus sesuai dijadikan bahan makanan yang sangat baik dalam mengatur dan membersihkan darah.

Menurut Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Munir Mohd. Nawi, rumpai laut mengandungi 10 kali ganda kalsium daripada susu kerana khasiat kandungan mineral yang tinggi dari laut.

“Selain itu, rumpai laut turut mempunyai kandungan lignans iaitu bahan kimia semula jadi sebagai antioksidan yang tinggi digunakan bagi membolehkan kulit seseorang sentiasa nampak muda. Kecantikan tersebut boleh dilihat pada kebanyakan orang Sabah yang memiliki kulit muda dan cantik serta mempunyai kelebihan anti kanser.

“Ia juga turut kaya dengan klorofil yang bertindak sebagai detox bagi memastikan proses penghadam secara baik yang sekali gus membantu mengurangkan berat badan kerana kandungan iodine yang tinggi boleh merangsang kelenjar tiriod untuk mengekalkan metabolisme badan,” katanya ketika Program Gelombang Nelayan Nasional (GNN) 2018: Seaweed Splash di Semporna, Sabah.

Selain itu, tambah Munir, melalui hasil kekayaan laut itu juga membantu seseorang untuk mengalkalikan darah kerana ia boleh meneutralkan kesan-kesan asid yang lebih tinggi terkandung dalam diet harian.

“Antara kandungan nutrien di dalam makanan ini ialah natrium, kalium, protein, kalsium, ferum, zink, mangan, kuprum, iodin dan pelbagai jenis vitamin iaitu A, B1 (tiamin), B2 (riboflavin), B3 (niasin), B5 (asid pantenik), B6 (kobalamin), B8 (biotin), C, E dan asid folik,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, tumbuhan alga itu juga menawarkan perlindungan kepada tubuh badan manusia daripada pelbagai toksink dalam sekitar, termasuk logam berat, bahan cemar dan produk sampingan radiasi dengan menukarnya kepada garam yang tidak berbahaya yang dapat dinyahcerna daripada tubuh.

Sementara itu, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Datuk M. Saedon Ab. Majid berkata, GNN merupakan program bagi meraikan dan mengiktiraf para nelayan di seluruh negara.

“Pada masa yang sama GNN juga bertujuan meningkatkan lagi profil Semporna sebagai tarikan pelancongan dan menarik lebih ramai pengunjung.

“Ini merupakan permulaan) bagi menandakan bermulanya gelombang GNN di seluruh negara pada tahun ini,” katanya.

Sistem mini estet tambah pendapatan

Menyedari potensi rumpai laut untuk dikomersialkan sama ada untuk pasaran tempatan atau luar negara, kerajaan memperkenalkan sistem mini estet untuk memanfaatkan sumber rumpai laut yang terdapat di perairan Semporna, Sabah.

Mini estet itu merupakan projek transformasi kerajaan di bawah Program projek Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dalam mencari sumber-sumber yang boleh dikomersialkan dan menambah pendapatan rakyat serta negara.

Mini estet merupakan satu model yang mengambil kira semua faktor di peringkat huluan antaranya transformasi pengurusan menyeluruh, berasaskan sains dan teknologi serta mekanisasi, mengurangkan kebergantungan tenaga buruh dengan 80 peratus pekerja di pelantar dan 20 peratus di laut, pengurusan kawasan yang lebih cekap, mesra alam dan lestari. Dalam masa sama ia mampu mengangkat rumpai laut sebagai satu komoditi baharu dengan pendekatan komersial berasaskan komuniti dan menghasilkan rumpai laut bermutu.

Menurut Pengerusi Kluster di perkampungan itu, Manan Indanan, Jabatan Perikanan Malaysia mewujudkan sistem kluster pada 2015 bagi membantu nelayan memperoleh hasil rumpai laut yang lebih banyak serta berkualiti.

Malah melalui program tersebut amat baik bagi mengelak daripada sebarang bahaya seperti ombak deras dan panas terik matahari apabila sistem pengurusan membolehkan 80 peratus bekerja di pelantar selain sistem pengurusan itu lebih mesra dengan berkonsepkan penjimatan dari segi masa, ruang dan memperkenalkan pelampung berwarna jingga.

Katanya, di perkampungan Look Butun sahaja terdapat 70 peserta yang diberi bantuan percuma seperti tali, pelampung, benih, dua bot kecil dan dua bot besar bagi membolehkan operasi menghasilkan rumpai laut dapat dijalankan dengan baik.

“Setiap isi rumah akan menerima kawasan sebesar lima ekar untuk menanam rumpai laut. Kawasan seluas itu membolehkan nelayan mendapat hasil sebanyak 10 tan sekali tuai untuk rumpai laut basah.

“Kira-kira 70 peratus daripada jumlah itu akan susut selepas dijemur untuk mendapatkan rumpai laut kering,” katanya.

Tambah Manan, peserta kluster turut diberi bimbingan menerusi seminar, kursus cara penanaman yang baik dan terkini, cara menjual hasil tanaman serta proses rumpai laut untuk dijadikan produk hiliran.

“Saya berharap selepas ini, nelayan di sini bukan sahaja menternak rumpai laut sebaliknya diberi kelebihan untuk menghasilkan produk sendiri dan dapat dijual di pasaran.

“Menerusi cara ini, pendapatan nelayan akan meningkat selain membantu kerajaan dalam mengkomersialkan produk rumpai laut,” ujarnya.

Sejak diperkenal sistem mini estet dan kluster, nelayan di Look Butun mampu tersenyum apabila pendapatan mereka meningkat apabila rumpai laut yang dihasilkan lebih baik berbanding kaedah tradisional sebelum ini.

Seorang pengusaha rumpai laut, Karimah Barak, 44 memberitahu pendapatannya meningkat daripada RM600 kepada RM1,500 sebulan selepas menyertai kluster dalam menjalankan teknik ternakan rumpai laut seperti yang disyorkan kerajaan.

“Tidak sukar menternak rumpai laut kerana boleh dituai dalam masa 45 hari.

“Keadaan laut yang tenang tanpa gelora besar serta pencahayaan matahari yang baik membantu rumpai laut tumbuh secara sihat,” ujarnya.

Dia yang mula berjinak-jinak dalam penternakan rumpai laut sejak 2011, memperoleh hasil yang lebih baik selepas menternak secara mini estet.

“Bayangkan berapa banyak hasil boleh diperoleh dengan sebanyak 20 tali dan setiap tali panjangnya 100 meter.

“Saya bersyukur kerana kerajaan tidak putus-putus menghulurkan bantuan kepada kami untuk meningkatkan pengeluaran rumpai laut ,” katanya.

Dia yang memilih untuk mengusahakan rumpai laut apabila menyedari tiada kos modal diperlukan kerana benih diambil daripada rumpai laut yang ditanam di perairan laut. Sementara itu, seorang lagi pengusaha rumpai laut, Isnoman Salbiru, 44 berharap kerajaan membantu nelayan untuk mengatasi ‘musim rosak’ rumpai laut pada setiap Julai.

Pada ketika itu, rumpai laut akan diserang ais-ais yang menyebabkan hasil rumpai laut berkurangan.

“Saya berharap ada alternatif lain bagi penternak memastikan rumpai laut yang ditanam tidak diserang ais-ais.

“Saya juga berharap kerajaan menambah bilangan bot kerana jumlah yang ada sekarang perlu digunakan secara bergilir-gilir. Dia yang memperoleh pendapatan sebanyak RM3,000 sebulan hasil menternak rumpai laut berterima kasih kepada kerajaan yang memperkenalkan sistem mini estet yang dilihat lebih bersepadu dan memberi manfaat yang berpanjangan.