Bagi orang yang tinggal di kawasan bandar, sama ada rumah setingkat atau bangunan yang tinggi mereka tidak lagi dapat melihat di mana air yang digunakan hari-hari berakhir.

Semuanya masuk ke dalam paip dan hilang daripada pandangan.

Tidak ramai yang bertanya atau berfikir ke mana air ini pergi, apakah cabaran yang dilalui dan apakah kesannya kepada organisma akuatik, manusia dan alam sekitar.

Sepanjang tahun lepas sampai sekarang, banyak pihak masih membincangkan tentang pencemaran plastik, kesannya kepada alam sekitar terutama haiwan laut dan cara pengurusannya. Kenapa perbincangan ini seperti tiada kesudahan.

Antaranya adalah masyarakat tidak nampak ke mana perginya sampah atau plastik yang dibuang.

Bagi mereka yang tinggal di luar bandar mungkin sampah mereka di bakar secara terbuka, dibuang ke tepi kawasan rumah, atau sungai. Selepas dibuang atau dibakar, maka sampah berkenaan tidak lagi dilihat dan tidak bertanya apakah nasib mereka serta kesan sampah kepada manusia.

Sampah yang dibakar menghasilkan gas yang berbahaya dan sekiranya kandungannya tinggi boleh mencemar udara serta membahayakan kesihatan manusia.

Begitu juga sampah yang dibuang ke sungai yang akhirnya ke laut dan memberikan kesan kepada haiwan laut yang juga boleh menjejaskan kesihatan manusia. Bagi pengurusan sampah yang baik, pengetahuan asas perlu diberikan kepada masyarakat dan sistem yang mantap tentang pengurusan sampah mesti disediakan oleh pihak berkuasa.

Banyak perbincangan tertumpu kepada pencemaran sampah walaupun pengurusannya adalah jauh lebih mudah daripada masalah air kumbahan.

Ini mungkin kerana sampah boleh dilihat merata-rata dan masyarakat tidak cukup berdisiplin dalam pengurusan sampah. Bagi air kumbahan, kita tidak dapat melihatnya kerana semuanya tertutup. Air kumbahan mengalir di dalam paip pembentungan di bawah tanah hinggalah ke loji rawatan kumbahan.

Bayangkan berjuta-juta manusia yang tinggal di rumah pangsa dan kondominium yang tinggi, menggunakan lebih daripada 200 liter air sehari bagi setiap orang, tidak dapat melihat ke mana perginya air kumbahan dan kandungan bahan biologi dan kimia dalam air tersebut.

Apakah kandungan bahan-bahan di dalam air kumbahan itu memberi kesan kepada alam sekitar?

Kajian mendalam perlu dijalankan bagi memahami bahaya air kumbahan kepada manusia, organisma akuatik dan pencemaran air serta alam sekitar amnya. Kadar penggunaan air oleh rakyat Malaysia melebihi panduan kadar penggunaan air Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu iaitu 165 liter air sehari seorang.

Dengan itu, kesan air kumbahan kepada alam sekitar perlu diberikan perhatian oleh pihak berkaitan. Bagi mengawal air kumbahan ini daripada mencemar alam sekitar, kawasan bandar dan perumahan mesti mempunyai sistem pengairan air kumbahan yang baik. Semua sistem ini bersambungan dan mengalirkan air kumbahan ke saluran utama yang akhirnya ke takung rawatan.

Sistem ini penting agar air bawah tanah dan air permukaan tidak tercemar oleh bahan kimia dan kuman.

Loji rawatan kumbahan domestik ini juga mestilah mesra alam sekitar. Sistem rawatan kumbahan dari kawasan perumahan sangat penting bagi memastikan risiko bahan cemar ke atas kesihatan awam terjamin. Kumbahan domestik mempunyai pelbagai bahan kimia dan biologi yang berbahaya. Bagi masyarakat yang tidak berdisplin, mereka membuang segala bahan kimia, minyak dan ubatan-ubatan ke dalam saluran kumbahan dan akhirnya ke loji rawatan kumbahan.

Jenis air kumbahan daripada rumah ialah daripada tandas, bilik mandi, air basuhan dan dapur. Daripada tujuan dan kaedah penggunaan air, maka bolehlah dijangka bahan-bahan yang mungkin bersama air kumbahan domestik mengalir sepanjang saluran pembentungan hingga ke loji rawatan.

Segala bahan kimia yang digunakan dalam aktiviti mencuci pakaian dan peralatan dapur, bahan kumuh yang mungkin mempunyai kuman berpenyakit atau yang boleh berjangkit, dan juga bahan farmaseutikal seperti antibiotik, vitamin dan hormon akan masuk ke loji rawatan.

Justeru itu, beberapa peringkat rawatan perlu diberikan seperti rawatan secara fizikal dan kimia, rawatan secara biologi, rawatan nyah kuman seperti menggunakan klorin dan ultra violet (UV) dilakukan.

Di Malaysia, Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) sebuah syarikat pembetungan kebangsaan di bawah Kementerian Kewangan yang bertanggung jawab membangunkan dan menyelenggara sistem pembentungan yang moden dan cekap untuk Semenanjung kecuali Kelantan, Sabah, Sarawak, Majlis Bandaraya Johor dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor. Semua kerja dilakukan IWK perlu menepati piawaian Jabatan Alam Sekitar.

Kerja dan proses membersihkan sisa kumbahan bukanlah satu kerja yang mudah dan murah. Pelbagai teknologi dan rawatan terlibat dalam proses berkenaan. Kos merawat sisa kumbahan sebenarnya lebih mahal berbanding proses rawatan di loji air minuman.

Jurnal Science of the Total Environment 2016 banyak melaporkan berkaitan bahan kimia yang mengganggu sistem endokrina (Endrocrine Disruptor Chemical,EDC). EDC merupakan antara bahan yang berbahaya kepada kehidupan akuatik termasuk manusia.

Bahan kimia dalam air kumbahan kawasan perumahan juga mengandungi EDC. EDC seperti hormon sebenar atau tiruan keluar melalui air kencing. EDC lain ialah seperti bahan kimia yang terdapat dalam bahan kosmetik dan bahan pencuci.

Bahan seperti alkylphenol dan Bisphenyl-A boleh masuk ke dalam persekitaran sekiranya tidak dirawat dengan betul.

Begitu juga dengan bahan kimia lain seperti bahan ubat-ubatan, organofosfat, bahan pemanis tiruan, bahan kalis api organofosfat, nitrat, boron, estrogen dan lain-lain. Kajian yang dilaporkan dalam Jurnal Malaysian Applied Biology 2007 menunjukkan paras estrogen tinggi dalam beberapa air sungai di Lembah Klang.

Kajian ke atas lapan tasik dan 11 sungai di Selangor dan Kuala Lumpur menunjukkan kandungan estrogen dan estradiol dalam beberapa sampel air sungai dan tasik adalah 20 kali lebih tinggi daripada kebanyakan badan air di Jepun.

Sampel yang menerima air kumbahan terutama di kawasan bandar, ladang ternakan dan industri menunjukkan kandungan estrogen yang tinggi.

Hormon ini akan mengganggu pertumbuhan pembiakan dan penentuan jantina organisma akuatik seperti ikan, Kebanyakan paras estrogen di sungai Lembah Klang melebihi 60mg/l mengganggu ikan petunjuk biologi seperti ikan medaka.

Sumber utama estrogen mungkin daripada pil kawalan hamil. Banyak kajian di luar negara seperti Kanada dan Amerika menunjukkan gangguan kepada pertumbuhan telur ikan dan pertumbuhan ikan dan berudu.

Laporan The Journal Environmental Health Perspectives 2003 juga menunjukkan lelaki mempunyai bilangan sperma yang rendah apabila terdedah kepada racun perosak yang bertindakbalas sama seperti estrogen. Selain itu, kumbahan domestik juga boleh mencemar air sungai melalui pencemaran nitrogen dan bakteria E.coli (Escherichia coli).