Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

R&D perteguh pembangunan industri sawit

Dr. Ahmad Kushairi Din 3
Dr. Ahmad Kushairi Din

Bagi yang membawa bersama wang kertas RM50, cuba selak sebentar dan akan terpampang gambar pokok sawit. Gambar sawit tersebut tentunya mempunyai signifikan, sebab itulah dipilih oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menghiasi wang kertas tersebut.

Pada tahun ini, industri sawit tempatan menyambut 100 Tahun Kegemilangan Industri Sawit.

Sambutan itu akan memahat sejarah sejak bermulanya penanaman sawit secara komersial pada tahun 1917 apabila seorang pengusaha ladang berbangsa Perancis, Henry Foucounnier menanam sawit komersial di Ladang Tenammaram, Batang Berjuntai (kini Bestari Jaya), Kuala Selangor.

Berdasarkan sejarah awal, industri sawit terletak bawah tanggungjawab Institut Penyelidikan Minyak Sawit Malaysia (PORIM) yang diwujudkan pada 1979 bawah Kementerian Perusahaan Utama. PORIM berperanan untuk merancang dan melaksanakan penyelidikan berkaitan minyak sawit.

Lembaga Pendaftaran dan Pelesenan Minyak Kelapa Sawit (PORLA) pula sebuah lagi agensi yang diwujudkan untuk memasarkan dan pengawalan minyak sawit.

Pada 1 Mei 2000 hasil gabungan (PORIM) dengan PORLA, maka Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) ditubuhkan dan mengambil alih pembangunan industri sawit sehingga ke hari ini.

Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Kushairi Din berkata, tanggungjawab yang dipikul oleh 2,750 pegawai dan kakitangan adalah besar untuk memastikan industri sawit tempatan terus menyumbang kepada ekonomi negara di sebalik cabaran yang dihadapi.

“Kami mempunyai 70 pejabat dan tujuh pejabat luar negara serta kira kira 300 penyelidik yang memikul tanggungjawab ini, ‘‘ ujarnya.

Menghurai lebih lanjut, Dr. Ahmad Kushairi berkata, MPOB terlibat dalam semua segmen dalam rantaian nilai industri sawit termasuklah pengeluaran benih, penyelidikan dan pembangunan (R&D) pelesenan, pengeluaran produk utama seperti minyak sawit dan produk sampingan sehinggalah kepada pengeluaran minyak biodioesel.

Menyentuh mengenai penyelidikan, beliau berkata, MPOB mempunyai dua bahagian penyelidikan iaitu Pusat Kemajuan Bioteknologi dan Biak Baka (ABBC) dan Bahagian Penyelidikan Biologi terlibat dalam kemajuan sektor huluan, iaitu penanaman sawit.

ABBC tertumpu kepada penyelidikan penghasilan baka sawit berkualiti menerusi penyelidikan kultur tisu dan kajian genom. Penyelidikan Biologi pula kepada teknik agronomi dan pengurusan ladang meliputi pembajaan, kawalan penyakit dan serangga perosak tanaman sawit, mekanisasi ladang bagi pengeluaran buah tandan segar (BTS) pada tahap tertinggi.

Dengan teknologi yang dibangunkan dan kepakaran MPOB dalam pengeluaran bahan tanaman berkualiti dan Amalan Pertanian Baik (GAP), industri sawit Malaysia mampu meningkatkan produktiviti ladang. Pencapaian produktiviti industri yang diukur dari segi prestasi hasil buah tandan segar dan kadar perahan minyak (OER) bagi sektor ladang seperti United Plantations, Sime Darby dan IOI mencatatkan pencapaian memberangsangkan berbanding prestasi pekebun kecil yang perlu ditingkatkan.

Bahagian Integrasi dan Pengembangan (IRED) pula bertanggungjawab memberi khidmat nasihat pekebun kecil sawit bagi meningkatkan produktiviti termasuklah menerusi penubuhan Kelompok Sawit Mampan (SPOC) dan Koperasi Penanam Sawit Mampan bagi meningkatkan produktiviti dan pendapatan pekebun kecil.

Beliau memberitahu, sehingga kini sebanyak 650 teknologi telah dibangun dan dipindahkan kepada industri sawit.

Industri kata beliau, membiayai penyelidikan yang dijalankan menerusi bayaran ses atau cukai dan hasilnya dipulangkan semula kepada industri. Ses yang dikutip adalah bagi setiap tan minyak sawit dan isirung yang dikeluarkan oleh industri.

“Penyelidikan kami jalankan sejak 1980-an lagi dan dipatenkan terlebih dahulu. Kira-kira 30 peratus penyelidikan (MPOB) dikomersialkan,’’ ujarnya sambil memberitahu peratusan R&D yang dikomersialkan itu agak tinggi. Bercakap mengenai pengkomersialan, Dr. Ahmad Kushairi berkata, MPOB menjalankan penyelidikan berdasarkan kepada keperluan industri atau industrial driven.

Sebagai contoh pembangunan teknologi genom adalah berdasarkan keperluan industri.

Dr. Ahmad Kushairi memberitahu, penyelidikan yang dijalankan oleh MPOB terbahagi kepada tiga kategori.

Kategori pertama adalah penyelidikan huluan iaitu di peringkat ladang dan berkaitan dengan genom, biji benih dan agronomi .

Peringkat kedua adalah pertengahan melibatkan peringkat kilang dan kaedah pemprosesan minyak sawit, manakala kategori ketiga adalah hiliran seperti penghasilan biodiesel, penghasilan makanan dan bukan makanan.

Beliau seterusnya berkongsi mengenai tiga cabaran dalam kerja-kerja penyelidian iaitu dana, kepakaran dan kapasiti.

“Kebanyakan teknologi dan produk yang dibangunkan oleh MPOB telah berjaya dikomersialkan,’’ ujarnya. Antaranya adalah minyak sawit merah, galah penuai aluminium, pemunggah (pemungut) mekanikal, dakwat berasaskan sawit, campuran marjerin dan minyak yang baik untuk kesihatan, sabun, susu kambing dan produk penjagaan diri.

Mengenai dana penyelidikan, industri membiayai menerusi ses iaitu RM13 bagi satu tan minyak dan daripada itu penyelidikan dan operasi diperuntuk sebanyak RM9, manakala promosi dan penstabilan harga masing-masing diperuntukkan sebanyak RM2.

Oleh itu katanya produk penyelidikan akan datang telah dikenal pasti dengan penghasilan minyak mesra alam , maka penyelidikan mengenai biodiesel diteruskan dengan penghasilan beberapa jenis seperti B5 yang dilancarkan pada 2000 dan dan kini B7 dan B10.

MPOB juga katanya, menekankan penghasilan baka baharu berdasarkan kemajuan teknologi genetik dengan matlamat menghasilkan baka berkualiti.

Mengenai kepakaran dalam penyelidikan beliau berkata, usaha terus diperkukuh untuk menghasilkan sumber manusia yang akan menyumbang kepada penyelidikan termasuk juga memberi insentif kepada hasil usaha penyelidik sedia ada.

Menyentuh mengenai kemudahan pula, pihaknya telah memiliki kemudahan canggih bagi membantu usaha penyelidikan selain menjalankan kerjasama pihak lain di dalam atau luar negara.

Cabarian lain termasuklah isu persaingan dengan sektor lain sejajar dengan pembangunan negara.

Penglibatan syarikat perladangan dalam sektor perumahan memberi cabaran kepada sektor perladangan sawit.

Oleh itu, peningkatan dalam pengeluaran minyak sawit perlu dilaksanakan melalui penggunaan baka berkualiti dan amalan baik pengurusan ladang dengan tumpuan kepada keluasan tanah pertanian yang terhad.

Penyelidikan MPOB melalui strategi serampang tiga mata memberi tumpuan kepada strategi peningkatan pendapatan melalui pengguna tanah yang ditanam sawit secara optimum.

Justeru berdasarkan kepada pembangunan industri sawit yang mempunyai masa depan cerah tidak mustahil untuk menyasarkan pendapatan minyak sawit boleh dicapai RM178 bilion menjelang 2020.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain