Namun, selepas tahun tersebut populasi penyu menjadi semakin berkurangan iaitu sehingga tahun 2000, penyu belimbing dan penyu lipas berkurangan secara drastik hingga mencapai antara 95 hingga 98 peratus dan kini kedua-dua spesies tersebut adalah sukar didapati mendarat di pantai-pantai di seluruh negara.

Oleh kerana belum ada lagi program pemuliharaan penyu yang dijalankan maka kedua-dua spesies tersebut tidak banyak dikenali oleh masyarakat dan juga generasi yang akan datang.

Jabatan Perikanan memahami keadaan tersebut dan kini program pemuliharaan penyu dijalankan melibatkan spesies penyu agar dan penyu karah terutama bagi tujuan penyelidikan dan pendidikan.

Usaha Jabatan Perikanan itu dilaksanakan menerusi Pusat Penyelidikan Penyu dan Spesies Terancam (TUMEC) Rantau Abang, Terengganu yang merupakan cabang penyelidikan jabatan tersebut berkaitan penyu.

PENYU dipasang dengan penjejak satelit bagi mengesan pergerakannya.
PENYU dipasang dengan penjejak satelit bagi mengesan pergerakannya.

Ketua Cawangan Penyelidikan Penyu TUMEC, Nazuki Sulong berkata, pada tahun 1987 pula, program pemuliharaan penyu diperkenalkan terutamanya di negeri Terengganu bagi memantau dan menguruskan pendaratan penyu serta menjalankan pelbagai program kesedaran termasuk pengurusan pusat penetasan penyu.

“Lebih daripada 80 peratus pendaratan penyu di negara ini terdiri daripada penyu agar dan karah.

“Bagi memastikan kelestarian spesies ini, maka adalah perlu kaedah pemeliharaan kedua-dua spesies penyu ini dijalankan untuk penyelidikan dan pendidikan. Sebanyak tiga peratus penyu diambil untuk pemeliharaan di dalam kolam,’’ ujar beliau kepada Utusan Malaysia.

Pemeliharaan tersebut kata beliau kebanyakannya dijalankan di negeri-negeri yang mempunyai pusat konservasi penyu seperti Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Pulau Pinang bagi menarik minat lebih ramai pelancong untuk datang ke tempat tersebut.

Selain itu, tujuan pemeliharaan penyu yang dijalankan membolehkan TUMEC Rantau Abang memantau kadar tumbesaran dan pemakanan terhadap spesies-spesies penyu yang dibela.

Nazuki berkata, dengan adanya konsep pemuliharaan itu juga dapat mendedahkan atau memperkenalkan spesies penyu yang ada pada masa ini seperti penyu agar dan penyu karah kepada orang ramai termasuklah antaranya kanak-kanak sekolah dan pelajar universiti.

“Namun begitu berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Perikanan iaitu penyu dipelihara hanyalah maksimum setahun sahaja kemudian dilepaskan ke laut.

“Banyak negara-negara lain seperti Jepun, Indonesia, Thailand dan lain-lain ada memelihara penyu bagi tujuan penyelidikan dan pendidikan, ujarnya lagi.

Berkongsi lebih lanjut Nazuki berkata, pihaknya juga menggunakan kaedah penandaan penyu sebagai cara mengesan pergerakannya yang mula diperkenalkan sejak 1995.

“Tujuan penandaan ini adalah untuk mengetahui bilangan populasi penyu yang mendarat di Semenanjung setiap tahun, di samping dapat mengetahui adakah bilangan penyu yang mendarat semakin meningkat atau berkurangan,” ujarnya.

Beliau berkata, penyu akan ditanda dengan menggunakan Inconel tag di kedua-dua bahagian kaki renang hadapan. Inconel tag adalah besi tahan karat untuk penanda penyu yang biasanya ada nombor siri mengikut negeri Di Malaysia. Sebagai contoh kalau di Terengganu kodnya adalah MYT7017.

MY adalah untuk mana-mana penyu yang mendarat di Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak.

Pihaknya berharap dengan adanya penandaan tersebut, sistem pemantauan dan pengurusan penyu di negara ini supaya lebih teratur dan sistematik.

Malaysia juga kata beliau, menggunakan penjejak satelit untuk mengesan pergerakan penyu yang mendarat di Semenanjung .

Malah sehingga tahun 2017, Jabatan Perikanan telah menjalankan lebih daripada lapan kajian yang berkaitan dengan satelit raking terhadap penyu agar dan penyu belimbing.

Negeri-negeri yang terlibat dengan kajian tersebut termasuklah negeri Terengganu, Pahang, Melaka dan Perak.

Kajian tersebut bertujuan mengesan pergerakan penyu semasa musim bertelur dan di luar musim bertelur, di samping mengetahui lokasi penuyu-penyu tersebut berada ketika mencari tempat pemakanan dan perlindungan. Kedua-dua kajian masih dijalankan oleh TUMEC sehingga sekarang.

Nazuki juga mengingatkan orang ramai supaya tidak terus menganggu penyu kerana ia merupakan haiwan yang pasif dan sangat sensitif apabila berada di daratan terutama ketika ingin bertelur.

Beliau turut kesal kerana penyu tidak lagi memilih Malaysia sebagai lokasi utama penyu bertelur.

Menurutnya, sebelum tahun 1970-an hampir semua kawasan-kawasan pantai terutama di Terengganu merupakan kawasan pendaratan penyu tetapi bermula 2000 kebanyakan kawasan-kawasan pendaratan penyu di Semenanjung banyak mengalami kerosakan terutama disebabkan oleh hakisan pantai.

“Sebagai contoh di negeri yang sebelum ini mempunyai lebih daripada 26 kawasan pendaratan, kini hanya tinggal 16 kawasan sahaja.

“Spesies penyu yang sebelum ini terdapat empat spesies yang mendarat hanya tinggal dua spesies iaitu spesies penyu agar dan karah,” ujarnya lagi.

Pada masa ini, hanya enam negeri sahaja yang mempunyai pendaratan di Semenanjung Malaysia iaitu di Terengganu, Pahang, Johor, Melaka, Perak dan Pulau Pinang.

Pendaratan penyu yang paling tinggi di Negeri Terengganu adalah Pulau Redang, Geliga Kemaman dan diikuti Pulau Perhentian serta Ma’ Daerah Kemaman