Keunikan hutan yang dilaporkan lebih tua daripada Hutan Amazon di Amerika Selatan dan Congo di Afrika itu dianggarkan seluas 300,000 hektar (ha) turut diiktiraf sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 bawah Rancangan Fizikal Negara (RFN) sebagai Kawasan Penting Burung (IBA).

Selain sebagai tempat tumpuan pelancongan untuk menikmati keindahan alam semula jadi, Kompleks Hutan Belum juga menyediakan pusat sehenti bagi penyelidik atau pelajar universiti untuk meneroka kepelbagaian flora dan fauna di hutan tersebut.

Sejak 2015, Pusat Penemuan Belum (BDC) yang merupakan inisiatif Yayasan Pulau Banding (PBF), dengan kerjasama Yayasan Sime Darby (YSD) dibuka kepada umum sebagai salah satu tarikan di pulau berkenaan.

BDC menyediakan ruang pameran serta informasi berkaitan alam dan fauna yang terdapat di Hutan Belum-Temengor seperti harimau Malaya, tapir, burung enggang, gajah, beruang matahari, ikan air tawar, bunga pakma serta kehidupan orang asal yang terdiri daripada puak Jahai dan Temiar, berserta kraf tangan tradisional orang asal dan haiwan yang diawet.

Bukan itu sahaja, sebuah makmal yang dikenali sebagai Pusat Penyelidikan Hutan Hujan Pulau Banding juga dibangunkan bagi memudahkan saintis, penyelidik mahu pun pelajar untuk menjalankan kajian dan penyelidikan dalam suasana yang selesa dan lengkap dengan pelbagai informasi yang diperlukan.

Objektif utama penubuhan pusat penyelidikan itu adalah untuk menyediakan kemudahan asas penyelidikan bagi membolehkan saintis, penyelidik atau pelajar untuk menjalankan berkaitan hutan tropika serta alam semula jadi di hutan tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif PBF, Datuk Dr. Abdul Rashid Ab. Malik berkata, setakat hari ini, hanya 10 peratus daripada keluasan Hutan Belum-Temengor yang diterokai.

“Dianggarkan sebanyak 3,000 spesies tumbuhan berbunga termasuk bunga pakma atau lebih dikenali sebagai Rafflesia ditemukan di hutan ini.

“Keunikan bunga pakma yang merupakan sejenis tumbuhan parasit sentiasa ditunggu oleh pelancong yang gemar menikmati keindahan alam semula jadi,” katanya.

Di Malaysia, Sabah merupakan negeri yang terkenal dengan bunga pakma sehingga dijadikan sebagai bunga rasmi negara tersebut.

Pun begitu, di Perak juga telah menemukan tiga spesies bunga pakma yang juga boleh ditemui di Pahang dan Kelantan, sekali gus menjadi daya penarik bagi pelancong untuk mengunjungi Hutan Royal Belum, Perak.

Bunga pakma diyakini tumbuh dan membesar pada 38 kawasan di sekitar Royal Belum, namun setakat hari ini hanya 18 sahaja direkodkan.

Abdul Rashid berkata, uniknya di Perak terdapat spesies bunga ke-20 terbesar di dunia yang ditemukan di Taman Negara Royal Belum yang dinamakan sempena nama Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 2003.

“Bunga pakma itu ditemukan oleh pasukan ekspedisi saintifik yang melibat 106 peserta pada 1993 dalam satu ekspedisi di Sungai Halong,” katanya.

Berdiameter sebesar 43 sentimeter (cm) menjadikan bunga pakma spesies Rafflesia azlanii mempunyai keunikan berbanding spesis bunga pakma Rafflesia cantleyi, Rafflesia kerrii dan Rafflesia hasseltii yang juga terdapat di Perak.

Tambah Abdul Rashid, bunga pakma spesies Rafflesia azlanii mengambil masa antara lapan hingga sembilan bulan untuk kembang penuh dan mengambil masa selama tujuh hari sebelum mengecut dan bertukar warna serta mengeluarkan bau yang busuk.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Kumpulan Emkay, Ahmad Khalif Tan Sri Mustapha Kamal menyokong penuh usaha PBF untuk menjalankan kajian lanjut dengan kerjasama para saintis dari universiti tempatan dan luar negara dalam bidang penemuan ubatan dari pokok-pokok herba yang tumbuh di Hutan Royal Belum yang memiliki nilai perubatan.

“Saya percaya kajian ini akan membantu pelbagai pihak untuk memelihara dan memulihara habitat yang ada di Hutan Belum-Temengor.

“Dalam masa sama, pihak kami akan sentiasa turun padang untuk memberi kesedaran kepada orang asal agar menjaga kewujudan bunga pakma kerana mungkin satu hari nanti mampu memberi pendapatan lumayan buat mereka selain memastikan ekosistem di kawasan perhutanan tersebut dijaga dengan baik demi memikat hati pelancong,” ujarnya.

Masyarakat orang asal juga diberi pendedahan mengenai kelebihan Hutan Royal Belum sebagai kawasan tumpuan pelancongan serta boleh membantu menambah pendapatan mereka.

Dalam bidang pendidikan pula, beliau memberitahu, Yayasan Emkay telah menubuhkan sebuah perpustakaan permainan bagi membolehkan anak-anak Orang Asli mendapat pendedahan kepada pendidikan sejak pada peringkat awal agar mereka dapat menyesuaikan diri apabila ke sekolah yang disediakan oleh kerajaan.

“Guru-guru yang dilatih merupakan daripada golongan orang asal bagi memudahkan anak-anak berkomunikasi pada peringkat awal dan lebih mudah memahami sesuatu pelajaran.

“Banyak perubahan dapat dilihat sejak beberapa tahun ini. Ada di antara mereka sudah mula berminat untuk belajar di sekolah aliran biasa yang disediakan oleh kerajaan secara berterusan," katanya.

Kajian nilai perubatan

DI sebalik keindahannya, bunga pakma yang menjadi salah satu tarikan utama di Hutan Belum-Temengor turut diancam kepupusan berikutan kegiatan mengutipnya.

Menjadi kepercayaan bagi orang asal bahawa bunga dan putik pakma boleh mengecutkan rahim mereka yang baru bersalin.

Berdasarkan maklumat mereka lagi, gajah betina juga menjadikan putik dan bunga pakma sebagai bahan ubatan.

Mereka meminum air rebusan bunga pakma yang belum mekar sebelum bersalin supaya senang melahirkan anak dan selepas bersalin untuk membersihkan dan menyempitkan rahim, kecutkan perut dan untuk awet muda. Malah sebelum ini juga wujudnya mitos bahawa bunga pakma juga digunakan sebagai ubat perancang, buasir dan untuk seri muka wanita.

“Pun begitu, tiada penyelidikan pasti memastikan perkara itu lebih jelas,” jelasnya.

Justeru itu, Sidang Kemuncak Hutan Hujan Belum 2018 (Brains 2018) yang dianjurkan pada 18 hingga 21 September lalu berjaya mengumpulkan ramai ahli sains, ahli sains sosial, pentadbir, pencinta alam, penggubal dasar bagi membincang dan memikirkan masalah yang timbul berkaitan hutan hujan tropika.

Mereka yang terlibat dalam kajian dan berkongsi pandangan agar membantu menaikkan nama Hutan Royal Belum di persada dunia.

“Sebanyak 25 kertas kerja dibentangkan dengan lima pembentangan utama seperti perhutanan sosial dan komuniti, penglibatan pihak berkepentingan dan tadbir urus, hutan dan perubahan iklim, pemuliharaan hidupan liar serta biodiversiti, dan perkhidmatan ekosistem.

Bukan itu sahaja, Brains yang dianjurkan buat kali kedua itu turut mencari jalan terbaik bagi membantu meningkatkan pendapatan orang asal kerana golongan itu memiliki pengetahuan tentang manfaat tumbuh-tumbuhan di hutan yang memiliki nilai perubatan serta boleh dikomersialkan.

Dalam pada itu ancaman daripada Orang Asli, penduduk tempatan dan gajah mampu merosakkan keindahan serta mengganggu pertumbuhan populasi tumbuhan Rafflesia kerana kerap dipetik serta tindakan itu boleh menjejaskan anak benih.

Pegawai Penyelidik Yayasan Pulau Banding (PBF), Ahmad Najmi Nik Hassan memberitahu, bunga pakma hanya menumpang pada akar jenis Tetrastigma sp. sahaja.

Katanya, PBF menjalankan penyelidikan untuk menanam akar tersebut untuk membolehkan bunga pakma tumbuh dan membesar.

Justeru itu, yayasan tersebut juga akan menjalinkan kerjasama bersama Taman Botanikal Bogor (BBG) untuk menghasilkan satu penyelidikan bagi menanam bunga tersebut.

“Proses ini mengambil masa yang amat lama.Pada masa ini pun kami sedang mencuba dan mengharapkan kajian itu berjaya.

“Pada asasnya, kami akan menanam akar Tetrastigma sp. yang sihat dan subur. Kemudian akan mencantum akar itu bersama akar yang telah dijangkiti parasit iaitu benih bunga untuk melihat sama ada cara ini berjaya atau tidak,” katanya.

Sebelum ini, satu kajian di Bogor, Indonesia berjaya menemukan kaedah penanaman akar yang membuahkan hasil apabila bunga pakma tumbuh dengan subur.

“Justeru itu, kami di sini juga berusaha melakukan perkara sama agar khazanah tersebut tidak hilang pada mata. Malah jika kaedah ini berjaya, pengunjung tidak lagi perlu memasuki hutan kerana bunga tersebut boleh ditanam di satu kawasan khas untuk tujuan ekopelancongan.

“Kajian ini dijangka mengambil masa selama enam tahun bagi menunggu proses akar membesar, sihat dan bercantum,” ujarnya.

Ahmad Najmi juga berkongsi bahawa bunga pakma lebih mudah hidup di kawasan yang memiliki kelembapan yang tinggi, suhu yang baik serta kandungan natrium dalam tanah yang mencukupi.

“Kami sedang membuat kajian tersebut dalam tempoh enam bulan ini di kawasan berhampiran Pusat Penyelidikan Hutan Hujan Pulau Banding.

“Berdasarkan ciri-ciri topografi di Hutan Royal Belum, saya positif bahawa bunga pakma boleh tumbuh melalui cara penanaman akar sekali gus langkah ini mampu mengekalkan ekosistem hutan ini,” jelasnya.

Ciri-ciri 
Rafflesia
azlanii

  • Diameter bunga sebesar 38 hingga 50 sentimeter (cm).
  • Berlatarkan warna merah bata dengan tompok putih.
  • Lebih besar daripada pakma spesies Rafflesia cantleyi dan lebih kecil daripada Rafflesia hasselti.
  • Julat ketinggian habitat antara 120 hingga 300 m 
dari aras laut.