Untuk tujuan itu Pejabat Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) Sabah bekerjasama dengan Pusat Penyelidikan Ekosistem Marin (Ekomar) Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyediakan profil biodiversiti marin di Pulau Bum Bum, Semporna bagi persediaan kepada penyelam yang berminat dengan aktiviti mengambil gambar makro dan berpotensi menjadi produk pelancongan saintifik.

Pengarahnya, Ag Ahmad Zaki Abu Bakar berkata, pihaknya telah mengenal pasti Pulau Bum-Bum sebagai salah satu tapak selaman makro di negara ini.

“Berdasarkan kajian yang telah dijalankan, kita menemui beberapa lokasi yang amat kaya dengan pelbagai hidupan marin bersaiz kecil dan unik di kawasan berkenaan.

“Sebanyak 14 tapak selaman telah diteroka dan lapan daripadanya telah dipetakan sebagai lokasi berpotensi bagi penyelaman makro.

“Oleh itu, kita berharap lebih ramai penyelam dan penyelidik akan datang ke sini untuk meneroka lokasi ini,” ujarnya.

Menurut Ag. Ahmad Zaki, antara aktiviti yang dilaksanakan oleh MOTAC Sabah bersama Ekomar-UKM adalah mendokumentasikan penemuan-penemuan makro di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti sebagai kawasan yang berpotensi tinggi habitat hidupan marin kecil.

Bagi tujuan tersebut, pihaknya turut mendapat sokongan daripada Persatuan Pelancongan Semporna dan Persatuan Penyelam Profesional Semporna (SPDA) melibatkan seramai 10 sukarelawan bersama-sama meninjau dan membuat kajian di lokasi sekitar pulau berkenaan.

Dengan penemuan lokasi-lokasi ini, ia secara tidak langsung membuka satu lagi keunikan aktiviti merakam imej dan video dasar laut iaitu menggunakan kamera bersama lensa makro khusus bagi menghasilkan imej dengan nisbah pembesaran 1:1.

Ini kerana ada antara kehidupan marin bersifat mikro ini bersaiz kecil dan halus sekitar 0.05 hingga 5 sentimeter (sm) iaitu lebih kecil daripada bijirin menyebabkan ia tidak dapat dilihat oleh penyelam.

“Banyak kehidupan marin yang menarik datang dalam saiz sangat kecil yang memerlukan kesabaran dan tumpuan selain peralatan yang khusus untuk merakam visual hidupan mikro ini.

“Sememangnya ia merupakan aktiviti yang mencabar memandangkan saiz hidupan mikro ini agak sukar untuk dilihat.

“Selain itu, ketahanan mental juga memainkan peranan penting kerana kawasan agak berlumpur pada waktu malam selain terpaksa membawa pelbagai peralatan serta bekalan oksigen yang terhad.

“Walau bagaimanapun, dapat melihat beribu-ribu hidupan makro yang amat jarang ditemukan memberi kepuasan kepada penyelam,” ujarnya lagi

Tambah beliau, antara hidupan makro yang pernah ditemuinya adalah pelbagai jenis sotong seperti flamboyant, popcorn, bobtail, papuan dan pygmy cuttlefish.

Selain itu, pelbagai jenis nudibranch (seaslugs) seperti Melibe and Thecacera pacifica atau lebih dikenali sebagai Pickachu serta ribuan udang rangka yang amat jarang ditemui di lokasi-lokasi lain juga dapat ditemui di sini.

Dengan penemuan lokasi tapak selaman makro ini, Semporna tidak lagi dikenali sebagai lokasi transit pelancong yang hendak ke Pulau Sipadan tetapi Pulau Bum-Bum juga akan menjadi lokasi pelancongan saintifik marin kepada saintis dan penyelam makro.

“Ini sekali gus mengangkat Sabah sebagai antara tapak selaman makro yang terkenal di dunia,” ujarnya lagi.

Sementara itu, penyelidik EKOMAR, Prof. Madya Dr. Azman Abdul Rahim berkata, kumpulan haiwan yang ditemukan di Pulau Bum Bum itu memainkan peranan yang penting dalam rantaian makanan laut.

“Dengan adanya tarikan baharu ini, penyelam skuba amnya dapat melihat dengan lebih dekat kekayaan alam semula jadi marin sekaligus memahami fungsi mereka dalam ekosistem.

“Penglibatan penyelidik dalam kajian biodiversiti di lokasi seperti ini juga perlu digalakkan. Tumpuan kajian marin banyak diberikan kepada habitat-habitat utama seperti kawasan terumbu karang, paya bakau dan rumput laut, tetapi dengan adanya nic unik seperti ini, kita akan lebih memahami interaksi dan hubungkaitnya dengan habitat-habitat lain.

“Kepelbagaian hidupan di lokasi ini amat menakjubkan, organisma yang dapat diperhatikan bukan sahaja unik tetapi wujud dengan jumlah yang banyak,” ujarnya.

Azman yang juga pakar dalam taksonomi invertebrata marin juga berkata, kajian berterusan perlu dilaksanakan secara kolektif.

“Kawasan dasar lembut seperti ini sememangnya kaya dengan hidupan.

Walau bagaimanapun kajian yang telah dilakukan agak terhad. Dengan wujudnya minat baharu ini, pengetahuan terhadap persekitaran ini juga perlu dipertingkatkan. Kajian kolektif perlu dilaksanakan secara berterusan agar lokasi hidupan yang unik dapat dipelihara dan dipulihara memandangkan ianya penting kepada ekosistem lautan di negara kita.

“Sebenarnya, apabila kita bercakap tentang aktiviti menyelam, penyelam biasanya akan menjumpai frogfish dan pygmy seahorse,” ujarnya. Maka dengan adanya lokasi menyelam di Pulau Bum Bum ini, mereka boleh menjumpai lebih banyak hidupan makro dan masih ada lokasi tapak selaman yang masih belum diterokai.

Sementara itu, wakil Persatuan Pelancongan Semporna, Dendy Ali Omar berkata, selaman makro atau muck diving ini, berbeza dengan aktiviti selaman biasa yang dilakukan di dasar laut yang jernih. Ini kerana selaman makro dilakukan di kawasan yang agak berlumpur.

Katanya, jika diperhatikan di kawasan tersebut, sedimennya lebih halus jika dibandingkan dengan kawasan lain, ini menunjukkan kandungan nutrien yang tinggi dan sedikit sebanyak menyumbang di dalam mewujudkan makanan kepada kumpulan organisma seni tersebut.

“Keadaan air yang sedikit keruh ini menjadikan sukan ini bukan sahaja mencabar tetapi juga memerlukan kesabaran dan kemahiran yang tinggi,” ujarnya lagi.

Dendy berharap, pihak yang terlibat dalam industri pelancongan dapat memainkan peranan melatih penyelam bertauliah yang terdiri daripada anak tempatan sebagai macro spotter.

“Selain menyediakan perkhidmatan dan fasiliti sedia ada, warga belia tempatan juga dapat meningkatkan kemahiran dengan menjadi macro spotter bertindak sebagai jurupandu membawa pelancong ke lokasi-lokasi yang telah dimasukkan di dalam peta kawasan selaman makro.

Kata beliau, kerjaya tersebut bukan sesuatu yang mudah kerana selain aspek keselamatan yang menjadi keutamaan, mereka juga perlu mahir mengendalikan selaman pada waktu malam dengan jarak penglihatan yang minimum dan perlu cekap serta sentiasa peka dengan kehadiran makhluk-makhluk seni di persekitaran.

“Kita menjangka lebih ramai pelancong akan menyertai aktiviti yang unik ini.

“Kami berharap kementerian dapat menganjurkan kursus-kursus khas sebagai persediaan menerima penyelam makro,” katanya selepas menyertai Program Voluntourism - Pemetaan Tapak Selaman Makro di Pulau Bum Bum baru-baru ini sebagai persediaan menerima pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.