Dalam pembentangan tersebut, kerajaan akan mengambil langkah untuk memastikan Taman Hutan Selangor Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Taman Diraja Royal Belum Perak disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia (WHS) Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Langkah tersebut sangat baik dan perlu disegerakan kerana memberi manfaat kepada bukan sahaja Malaysia tetapi juga dunia. Malaysia sebagai negara yang mempunyai kepelbagaian biologi yang tinggi seharusnya melindungi dan memulihara hutan-hutannya mengikut keperluan kawasan hijau setempat.

Program WHS ditadbir oleh Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO terdiri daripada 21 negara bertujuan mengkatalog, menyenarai, menama dan mengabadikan tapak-tapak ulung warisan budaya atau warisan semula jadi penting demi warisan sejagat.

Di bawah syarat-syarat tertentu, tapak warisan boleh mendapat bantuan Dana Warisan Dunia. Program ini ditubuhkan di bawah Konvensyen Perlindungan Warisan Budaya dan Semulajadi Dunia pada 16 November 1972 yang diratifikasikan oleh 80 negara. Sehingga 2006, sebanyak 830 tapak telah disenaraikan sebagai WHS iaitu 644 tapak bagi kebudayaan, 162 (kawasan semula jadi) dan 24 tapak bagi ciri-ciri bercampur.

Pengiktirafan Taman Hutan Selangor menyokong usaha FRIM sejak 2008 ke arah menjadikan taman hutan berkenaan sebagai WHS menjelang 2020.

Di peringkat kebangsaan kawasan berkenaan berjaya diwartakan sebagai Tapak Warisan Semula Jadi pada 2009 dan diisytiharkan sebagai Warisan Negara pada 2012.

Kejayaan itu diteruskan dengan Projek WHS bermula 2013.

Menurut FRIM, pencalonan untuk status WHS dibuat berdasarkan kepentingannya sebagai hutan tropika buatan manusia terbesar dan tertua di dunia, model hutan regenerasi dan rujukan dunia bagi pemuliharaan hutan tropika.

Kepentingannya juga mengambil kira ekosistem unik yang menyimpan pelbagai flora hutan tropika, pusat koleksi terbesar bagi germplasma dipterokarpa dan pusat penyelidikan hutan tropika terulung dunia.

Ramai mengetahui kawasan hutan juga mempunyai estetika tidak ternilai seperti sungai, air terjun, jeram, pembentukan batu yang unik, habitat kepelbagaian flora dan fauna, tanah lembap dan panorama indah yang menjadi daya tarikan utama pelancongan.

Tumbuh-tumbuhan sudah sedia maklum menyokong kehidupan dengan mengeluarkan oksigen dan menyerap karbon dioksida selain memberikan teduhan, menjadi kawasan tadahan air, mengindahkan landskap dan menyumbang kepada pengurangan pemanasan global. Secara amnya hutan memberikan keseimbangan semulajadi dalam sesuatu ekosistem.

Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan strategi meningkatkan kawasan hijau sebanyak 30 peratus daripada keluasan negeri berkenaan dan dasar moratorium pembalakan selama 25 tahun iaitu tiada sebarang aktiviti pembalakan di dalam hutan simpan kekal (HSK).

Menerusi usaha tersebut, Selangor mempunyai kawasan berhutan seluas 250,860 hektar (ha) atau 31.63 peratus daripada keluasan tanah negeri.

FRIM juga bersama agensi penyelidikan lain aktif menjalankan penyelidikan bagi mendapatkan data terkini kepelbagaian flora dan fauna, perubahan ekologi dan kepentingan hutan kepada masyarakat.

Komitmen tinggi kerajaan negeri dan Pusat serta agensi penyelidikan meyakinkan rakyat ke arah pemuliharaan hutan bagi kepentingan generasi akan datang.

Dalam situasi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor bercakap tentang komitmen pemuliharaan hutan, tiba-tiba terdapat notis penyiasatan awam di bawah Seksyen 11 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985 (Enakmen 5/1985) yang memberitahu bahawa terdapat cadangan untuk mengeluarkan tanah dari kawasan HSK, Hutan Simpan Bukit Lagong.

Notis yang diiklankan dalam akhbar tempatan baru-baru ini mendapat perhatian orang ramai dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Persatuan Pencinta Alam (MNS) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) sudah memberi pandangan mereka dalam media arus perdana berhubung notis itu.

kawasan sensitif

Banyak alasan telah diberikan bagi menjelaskan yang cadangan mengeluarkan tanah dari HSK tidak sesuai terutama apabila kerajaan baharu sahaja bercakap tentang WHS. Kawasan Hutan Simpan Bukit Lagong sangat diperlukan dan berfungsi sebagai kawasan penampan kepada zon teras Taman Hutan Selangor FRIM yang berkeluasan 544.3 ha.

Hutan tersebut juga berdekatan dengan Kampung Orang Asli Bukit Lagong.

Komuniti Orang Asli sangat penting dalam pemuliharaan HSK. Pengetahuan, kemahiran dan kebergantungan mereka kepada sumber hutan boleh dikembangkan secara saintifik bagi tujuan pengurusan HSK.

Hutan Simpan Bukit Lagong juga merupakan kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) yang perlu mematuhi semua peraturan berkaitan termasuk Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (1999). Bagi KSAS segala usul pewartaan keluar kawasan hutan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya.

Walaupun Taman Hutan Selangor FRIM masih dalam proses untuk permohonan WHS, kawasan ini telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Semula Jadi sejak 2009.

Dengan pengiktirafan ini sewajarnya ia dipulihara dan sangat memerlukan kawasan HSK sekitarnya sebagai zon penampan dan kawasan legar hidupan liar.

Penolakan pembangunan kawasan ini bukan perkara baharu, tetapi sudah lama demi kepentingan kawasan rekreasi semulajadi masyarakat, habitat hidupan liar dan keunikan flora dan faunanya.

Banyak isu kompleks hutan ini telah dibincangkan secara saintifik seperti keunikan ekologi dan kepelbagaian biologi Bukit Takun dan tumbuhan dipterokarpa. Isu pokok merawan kanching (Hopea subalata) juga antara yang hangat dibincangkan.

Pengurangan saiz hutan akan menyebabkan kepelbagaian biologi terus merosot. Kesan penebangan hutan dan pembangunan akan mengganggu ekosistem dalam banyak segi.

Kekayaan kepelbagaian biologi di kawasan kompleks Hutan Bukit Lagong, Taman Hutan FRIM dan sekitarnya sudah dilaporkan dalam Australian Journal of Basic and Applied Sciences, 2011.

Kajian FRIM 2008 menunjukkan 181 spesies burung, mamalia (18) amfibia (34 ) reptilia (94) juga pelbagai jenis tumbuhan berbunga dan pokok eksotik terdapat di kawasan berkenaan.

American Journal of Applied Sciences 2010 mencadangkan lebih banyak kajian saintifik diperlukan bagi memahami kemampuan hutan sekitar menampung tekanan aktiviti manusia kerana kesan semasa itu sudah pun nampak.

Pemuliharaan alam semula jadi, aktiviti pelancongan dan rekreasi, pengurusan sisa pepejal, perlindungan ekosistem untuk air, hakisan tanah permukaan dan pendidikan masyarakat perlu kajian mendalam.

Komuniti Orang Asli juga perlu diberi perhatian kerana pengetahuan dan kemahiran mereka tentang hutan boleh dimanfaatkan.

Berasaskan kepada faktor tersebut, maka seluruh kompleks hutan berkenaan perlu dikekalkan.