Begitu juga dalam aspek mengembangkan ilmu, persepsi yang mengatakan sains itu sukar dipelajari perlu ditangkis agar generasi muda tidak takut untuk memilih kursus tersebut ketika menjejakkan kaki ke sekolah menengah atau universiti.

Anak muda perlu diberi pendedahan sebanyak mungkin agar ilmu sains dapat diperkembangkan sekali gus negara mampu melahirkan pakar-pakar Sains pada masa akan datang.

Melihat keperluan dan kepentingan ilmu Sains, Pusat Bioteknologi dan Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menganjurkan Karnival Mikrobiologi 2018 bagi menarik minat kanak-kanak untuk mencintai ilmu Sains.

Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), UKM, Prof. Datuk Dr. Imran Ho Abdullah berkata, penyediaan program tersebut dijalankan sejak semester yang lepas dan merupakan kali kedua dianjurkan dengan tema Love Them, Hate Them, Know Them.

Katanya, kelainan program pada tahun ini merupakan percubaan untuk mendapatkan anugerah Malaysia Book of Records bagi acara eksperimen cap jari mikrob terpanjang.

Menurutnya, menerusi cip jari tersebut, pelajar dapat melihat kuman yang ada dan melekat pada jari.

“Selain itu, buat julung kalinya kita mengadakan aktiviti sesi makmal yang membolehkan peserta merasai pengalaman menjalankan eksperimen mikrobiologi di makmal. Pelajar-pelajar Fakulti Sains dan Teknologi (UKM) menerangkan dengan lebih terperinci mengenai mikrobiologi.

“Kami berharap peserta yang terdiri daripada pelajar tadika, sekolah rendah dan menengah dapat merasai pengalaman baharu buat mereka,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Mikrobiologi 2018, baru-baru ini.

Imran Ho berharap agar program seumpama itu memberi pendedahan ilmu sains serta memupuk minat dalam kalangan generasi muda.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Program Karnival Mikrobiologi 2018, Dr. Norefrina Shafinaz Md. Nor berkata, pelajar-pelajar daripada 13 buah sekolah akan merasai dan menikmati keajaiban dunia sains daripada perspektif yang berbeza.

“Selain itu sebanyak tujuh modul baharu diperkenalkan dalam program pada tahun ini. Semoga penganjuran ini memberi manfaat dan impak kepada pelajar,” ujarnya.