Kerang boleh didapati di perairan pantai Pasifik Barat, dari Afrika Timur hingga Polinesia dan di Jepun di bahagian utara hingga timur Australia di selatan.

Nama saintifik kerang ialah Arca (Tegillaeca) granosa Linnaeus 1758, Anadara bisenensis Shrenck & Reinhart, 1938, Anadara obessa Kotaka 1953 dan Anadara granosa kamakurensis Noda 1966.

Di Malaysia, kultur kerang Anadara granosa diamalkan di Perak sejak 1948 dan dibangunkan sebagai akuakultur penting negara. Taburan kerang secara semula jadi di Malaysia terhad di pantai barat Semenanjung dari Kedah di utara hingga Johor di selatan. Walaupun kerang terhad di pantai Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Johor di selatan, kerang juga terdapat di kawasan terlindung di pantai Pahang dan Sarawak.

Kira-kira 4,000 nelayan terlibat secara langsung atau tidak langsung di kawasan kultur kerang di pantai barat Semenanjung.

Pada 2007, di bawah Dasar Pertanian Negara Ke-3 (DPN3), ternakan kerang melalui konsep kebun kerang dilaksanakan di Selangor terutama Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Walaupun FAO melaporkan pengeluaran kerang meningkat di peringkat dunia, tetapi di Malaysia pengeluaran kurang didapati semakin berkurang sejak 1970-an. Pengurangan ini mungkin disebabkan oleh pengutipan kerang yang berlebihan dan faktor kualiti alam sekitar yang berkurangan. Pengeluaran pada 1980 sebanyak 123,862 tan menurun kepada 45,664 tan pada 1986 dan menunjukkan sebanyak 10 peratus pengurangan setahun.

Dalam keadaan cuaca yang biasa dengan kadar sedimentasi (pemendakan) dua sentimeter setahun, habitat kerang dikatakan normal. Aktiviti manusia yang boleh mengubah kualiti air tapak kultur kerang sememangnya memberikan kesan kepada pertumbuhan dan pengeluaran kerang. Jurnal Marine Pollution Bulletin 1995 melaporkan kumbahan industri memberi kesan kepada pertumbuhan kerang. Kemorosotan pengeluaran kerang telah lama dikaitkan dengan penurunan kualiti tapak ternakan.

Journal of Ocean Engineering and Science 2016 melaporkan kajian tentang hubung kait proses oseanografi (kelautan) dengan pembiakan kerang Anadara granosa di Kapar, Selangor.

Kajian pada 2008 hingga 2016 itu mendapati faktor suhu dan kedalaman mempengaruhi pembiakan kerang. Kajian kesan proses oseanografi di pantai Kapar dan Sungai Buluh akibat aktiviti stesen jana kuasa yang melepaskan air panas ke laut dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius meninjukkan ada kesan ke atas populasi kerang.

Kawasan kultur kerang seluas 50 hektar sejauh 200 meter dari stesen jana kuasa dan berdekatan dengan laluan kapal kontena Pelabuhan Klang mempengaruhi populasi kerang.

Pendaratan kerang dewasa dan benih dilaporkan berkurangan di perairan Selangor seperti di Kapar, Sungai Buluh dan Kuala Selangor pada 2007 dan berterusan sehingga 2015.

Berdasarkan perangkaan Jabatan Perikanan, pengeluaran kerang di negeri-negeri di Semenanjung menunjukkan lebih tinggi berbanding tempat lain di Malaysia.

Keadaan alam sekitar dan perubahannya sangat penting bagi habitat kerang. Ocean Science Journal 2017 melaporkan tentang biologi pembiakan Anadara granosa di kawasan utara Selat Melaka. Terdapat hubung kait antara faktor fisiologi dan alam sekitar.

Ketumpatan fitoplankton memainkan peranan penting dalam kitaran pembiakan Anadara granosa. Kajian tentang hubung kait faktor fisiologi dan persekitaran sangat penting dalam pengurusan stok kerang di sesuatu kawasan.

Aktiviti manusia boleh menyumbang kepada kestabilan populasi kerang.

Misalnya pencemaran logam berat. Kajian laporan The Scientific World Journal 2015 melaporkan penilaian risiko logam berat dalam kerang.

Kira-kira 30 peratus sampel menunjukkan kandungan kadmium (Cd) di bawah paras dibenarkan dan selamat dimakan. Lebih daripada 50 peratus sampel mengandungi kepekatan plumbum (Pb) melebihi paras yang dibenarkan oleh Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Contoh had kandungan logam berat yang dibenarkan dalam makanan mengikut Peraturan Peraturan Makanan 1985 ialah satu mikrogram (ug)/g bagi Cd, 30 ug/g (Cu) , dua ug/g (Pb) dan 100 ug/g (Zn). Journal of Shellfish Research 2011 juga membuat tinjauan histopatologi kerang dan mendapati Turbellaria nematopsis sp dalam insang, mantel, kaki tisu perantara dalam kerang di utara Selat Melaka.

Kajian-kajian seterusnya berkaitan kerang dari segi pencemaran bahan kimia, sisa pepejal dan parasit penting dilakukan bagi kepentingan kesihatan manusia dan kelestarian habitat kerang.

Pemantauan dan kajian saintifik beterusan sangat diperlukan. Ia bukan terhad kepada kawasan sekitar tapak kultur kerang tetapi semua aspek hidrologi, oseanografi, pemendapan debu-debu dari atmosfera dan kesan pembangunan di persisiran pantai dan kawasan pendalaman, hakisan permukaan melalui sungai, efluen kawasan perumahan dan industri, perlombongan pasir di darat dan di laut, dan aktiviti pengangkutan. Pembuangan sisa pepejal seperti plastik sudah kerap dibincangkan. Pencemaran plastik mengganggu habitat kerang. Permintaan tinggi sumber kerang sama ada untuk makanan dan benih, kajian, pemantauan dan konflik berkaitan kerang perlu ditingkatkan.