Berbeza dengan sifat sisa bahan-bahan bukan organik yang lain, plastik mengambil masa yang terlalu lama untuk terurai secara semula jadi.

DR. FATHIAH MOHAMED ZUKI
DR. FATHIAH MOHAMED ZUKI 

Bergantung kepada komposisi dan struktur kimianya, ada jenis plastik yang mengambil masa sehingga 400 tahun untuk terurai. Walaupun secara dasarnya plastik boleh dikitar semula, namun apabila dibebani dengan pelbagai kos tambahan seperti pengumpulan dan pembersihan, proses ini tidak menjadi keutamaan industri. Dikatakan hanya sembilan peratus plastik dikitar semula daripada sejumlah 6.3 billion tan plastik yang dihasilkan di seluruh dunia sejak mula diperkenalkan pada 1950-an.

Lebih memburukkan keadaan, setiap tahun dianggarkan sehingga lapan juta tan metrik sisa plastik memasuki sistem perairan dunia dan berakhir di lautan.

Pencemaran ini akan menjejaskan fisiologi kehidupan marin yang akhirnya akan dimakan manusia dan mungkin memberi kesan jangka panjang yang belum lagi diketahui.

Aspek pendidikan dilihat mempunyai potensi untuk memberi impak kepada situasi pencemaran alam sekitar. Selain mengambil bahagian dalam aspek pengurusan sisa, isu kelestarian alam sekitar yang berkait juga boleh dijadikan elemen penting dalam membentuk generasi akan datang yang bertanggungjawab.

Pensyarah Kanan Jabatan Kejuruteraan Kimia Universiti Malaya (UM) Dr. Fathiah Mohamed Zuki berkata, bagi mencapai matlamat tersebut satu program melibatkan pelajar universiti diadakan baru-baru ini bagi memberi pendedahan berkenaan kepentingan membersihkan dan memulihara alam sekitar.

Program tahunan anjuran tiga pihak itu merupakan program antarabangsa Platform Alam Sekitar Pelajar-pelajar Asia (ASEP).

Beliau berkata, ASEP yang diadakan setiap tahun sejak 2012 melibatkan negara-negara Asia dijadikan platform untuk mahasiswa berinteraksi dan menimba pengalaman dalam aspek pengurusan alam sekitar di negara tuan rumah

“Kali ini Malaysia terpilih menjadi tuan rumah dan peserta dibawa ke pelbagai lokasi menarik yang mempunyai nilai pembelajaran yang unik,” katanya yang merupakan penyelaras program.

Salah satu aktiviti yang dirancang sempena ASEP kali ini adalah pembersihan kawasan persisiran pantai Pulau Carey yang terletak tidak jauh dari Pelabuhan Klang.

Mengambil peluang semasa air surut, peserta meluangkan masa mengutip pelbagai jenis sampah yang dihanyutkan ombak dan aliran sungai seperti tayar kenderaan, botol plastik, bekas dan pembalut makanan. Menariknya, mereka turut mengasingkan sampah yang dikutip kepada tiga kategori, iaitu bahan plastik, kaca dan bahan bukan kitar semula.

“Tugasan mengutip dan mengasing sebegini diharap dapat memupuk sikap kerjasama dan menjadi penyelesai masalah ke dalam diri para peserta. Biar pun dalam kuantiti yang kecil, kutipan sampah yang dilakukan ini mampu menjadi penanda aras kepada impak yang boleh dihasilkan jika lebih ramai individu turut mengambil bahagian. Menjadi salah satu objektif program untuk mengasah bakat kepimpinan mereka sebagai pencinta alam sebaik mereka pulang ke negara masing-masing kelak,” katanya.

Menurut Dr. Fathiah lagi, secara tidak langsung ASEP kali ini telah mengetengahkan pelbagai isu alam sekitar kepada peserta.

NUR SYUHADA SAIDIN
NUR SYUHADA SAIDIN 

Kata beliau, walaupun tidak semua permasalahan tersebut boleh diselesaikan dengan mudah, namun dengan kesedaran yang betul mengenai peranan yang boleh dimainkan oleh setiap segmen masyarakat, semua pihak boleh memulakan langkah awal dalam memastikan kelestarian alam sekitar untuk dinikmati generasi akan datang.

Sementara itu seorang peserta, Nur Syuhada Saidin berkata, pengalaman menjadi peserta ASEP tentunya bakal menjadikan mereka lebih proaktif dan prihatin terhadap alam sekitar.

“Paling menarik apabila berkesempatan berkongsi pengalaman dan budaya dengan komuniti Orang Asli Mah Meri di Pulau Carey. Saya dan rakan-rakan percaya apa jua usaha melestari alam sekitar perlu mengambil kira keperluan semua pihak termasuk penduduk asal di kawasan terlibat,” kata pelajar jurusan sains alam sekitar UM itu.

Selain menyantuni warisan budaya Orang Asli Mah Meri di Pulau Carey, program turut merangkumi aktiviti-aktiviti lain seperti mendalami pengurusan hutan simpan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong.

Mereka juga digalakkan berkongsi perancangan berkaitan pengurusan sisa dan hutan hujan tropika yang bakal dijalankan sekembalinya ke negara masing-masing.

“Penganjur melihat program ini sebagai platform terbaik, bukan sekadar lokasi perkongsian pengalaman, malah sebagai titik sehenti untuk generasi muda dari negara-negara Asia bertemu dan membina kerangka inisiatif yang boleh dilakukan untuk masa hadapan.

“Setiap mereka merupakan ejen perubahan masyarakat yang telah dikenal pasti seba­gai strategi terbaik dalam mendepani cabaran kelestarian alam semula jadi,” kata Dr. Fathiah.