Pelbagai pendekatan telah dilakukan seperti menggalakkan badan-badan tertentu menjalankan aktiviti sukarela membersihkan pantai, kawasan-kawasan rekreasi diberikan perhatian oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) membersihkan persekitaran pantai dan pihak terlibat dengan pelancongan seperti hotel, chalet dan pengusaha pelancongan membersihkan pantai berhadapan premis mereka setiap hari.

Walaupun dibersihkan setiap hari masih terdapat banyak sampah di pantai.

Sampah datang ke pantai setiap kali air pasang membawa bersama sampah dari laut dan darat.

Sebelum ini, pencemaran pantai terdiri daripada bahan-bahan daripada kayu sama ada bahan daripada pokok-pokok, rumpai, atau kayu-kayu perahu, kapal atau rumah.

Ada juga bahan-bahan besi, paku yang terlekat pada kayu reput atau kaca botol yang pecah. Isu pencemaran plastik menjadi perbincangan hangat sejak beberapa tahun lepas pada peringkat antarabangsa dan menjadi perhatian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pada perhimpunan PBB mengenai alam sekitar di Nairobi tahun lalu, lebih 200 negara bersetuju menghapuskan pencemaran plastik di lautan. Daripada laporan dan penyelidikan seluruh dunia, sudah jelas yang plastik adalah berbahaya kepada hidupan laut, manusia dan alam sekitar.

Botol dan beg plastik boleh pecah kepada partikel kecil menjadi plastik mikro dan tersebar luas melalui arus lautan termasuk ke kawasan benua Artik. Fenomena ini menjadi sangat serius kepada alam sekitar dan hidupan marin, maka ia mendapat perhatian PBB.

Pada tahun ini, perbincangan tentang pencemaran plastik lebih fokus ke arah penyelesaian yang melibatkan organisasi, program pendidikan, kesedaran awam, penyelidikan, penguatkuasaan undang-undang dan pengenalan teknologi baharu.

Isu pencemaran plastik di lautan telah dibincangkan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC); dan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) termasuk Jabatan Taman Laut.

Pendekatan bersepadu perlu diadakan dalam menangani isu pencemaran plastik daripada sumber, gaya hidup, pengurusan sisa pepejal dan teknologi. Malah, mugkin lebih baik Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan juga perlu terlibat sama.

Oleh kerana isu pencemaran plastik di pantai mendapat perhatian antarabangsa, maka satu sekretariat khas perlu dibentuk yang terdiri daripada berbagai-bagai agensi yang berfungsi.

Pihak industri pengeluar barangan plastik dan pembungkusan juga penting melihat semula reka bentuk produk dan amalan biasa bagi membantu pengurusan sisa pepejal berasaskan plastik dengan lebih berkesan.

Sampah di lautan boleh menyebabkan kesan yang meluas meliputi alam sekitar, ekonomi, keselamatan, kesihatan dan budaya.

Sampah hasil aktiviti manusia ini sudah menjadi ancaman kepada ekosistem lautan seluruh dunia.

Antara sampah di lautan yang banyak mengancam ekosistem lautan adalah peralatan menangkap ikan dan bahan berasaskan plastik.

Ekosistem khusus yang sensitif menghadapi ancaman sampah ialah pantai berpasir, hutan bakau, batu karang, rumput laut, dan sedimen yang kaya dengan haiwan bentik serta produktif.

Kajian tentang impak sampah terutama bahan berasaskan plastik termasuk plastik mikro dan manik mikro (micro beads) masih berkurangan dan memerlukan perhatian segera.

Manik mikro digunakan dalam alat kosmetik.

Kita perlu faham segera tentang alam semula jadi dan kesan yang disebabkan sampah di lautan ke atas habitat marin yang juga boleh memberikan kesan kepada ekosistem lain.

Sampah marin dihasilkan oleh manusia dan secara sengaja atau tidak sengaja dibuang ke longkang, parit, sungai, tasik dan laut.

Plastik merupakan sampah utama di pantai. Bahan tersebut mewakili antara 36 hingga 94 peratus daripada jenis sampah di pantai-pantai seluruh dunia.

Plastik dalam bentuk beg plastik, botol plastik polisterin, pembungkus makanan dan peralatan menangkap ikan.

Memandangkan dunia memberikan penekanan kepada pencemaran plastik di lautan dan 80 peratus sampah lautan adalah dari aktiviti manusia di darat, kajian dan tindakan kerajaan perlu segera dilakukan.

Dalam perkembangan sama, berdasarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), di Sungai Klang misalnya, kandungan longgokan sampah yang tersekat di perangkap sampah adalah terdiri daripada plastik seperti beg, botol dan bekas polisterin yang menyekat aliran sungai.

Urusan sisa pepejal

Beberapa langkah perlu diambil segera seperti pengurusan sisa pepejal yang cekap, perubahan sikap penduduk dalam pengurusan sisa pepejal dan aktiviti sukarela seperti pembersihan pantai dan sungai.

Sikap dan amalan masyarakat penting dalam pengurusan plastik misalnya elak menggunakan barangan plastik terutama yang pakai buang, elakkan menggunakan pembungkusan yang berlebihan dan amalkan kitar semula.

Kumpulan Pakar Bersama Mengenai Aspek Saintifik Pencemaran Marin Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (GESAMP) menganggarkan, 80 peratus daripada pencemaran lautan adalah dari daratan, di antara 60 hingga 95 peratus daripada sisa pepejal adalah serpihan plastik.

Mereka juga menjangka 5.25 trilion kepingan plastik seberat 250,000 tan terapung di lautan.

Malaysia nampaknya juga menunjukkan kecenderungan yang hampir sama.

Kajian yang dilaporkan dalam jurnal Tropical Coastal Seas: Health and Management 2012 dan Borneo Science 2017 menunjukkan plastik adalah antara yang paling banyak terdapat di pantai Malaysia iaitu di antara 46 hingga 64 peratus di pantai Selat Melaka dan sehingga 87 peratus di Borneo. Kajian-kajian itu mencadangkan kepadatan sampah bergantung kepada aktiviti ekonomi dan masyarakat setempat serta musim dan arus laut.

Data-data ini menunjukkan Malaysia mengarah kepada masalah pencemaran pantai yang serius sekiranya tidak ditangani segera.

Program kesedaran awam dan perubahan amalan hidup rakyat Malaysia dalam pengurusan plastik mesti lebih aktif. Tambahan lagi dalam dunia yang sedang mempromosikan kempen membersih pantai dan sambutan International Year of the Reef 2018 (IYOR 2018) serta sambutan Hari Lautan Sedunia dan Hari Segi Tiga Batu Karang (Coral Triangle Day), seluruh rakyat Malaysia mesti turut menunjukkan tindak balas segera.

Ribuan peserta terlibat dalam banyak aktiviti membersihkan pantai di seluruh negara. Pertubuhan sukarela seperti Persatuan Pencinta Alam (MNS) dan Reef Check Malaysia (RCM) menganjurkan aktiviti membersih pantai melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), penduduk tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar sekolah serta universiti.

MNS adalah sebuah persatuan yang berasaskan alam semula jadi yang tertua di Malaysia dan telah lama terlibat dalam program pendidikan serta kesedaran awam berkaitan alam sekitar.

Persatuan yang berusia hampir 80 tahun itu banyak menjalankan aktiviti berkaitan alam sekitar melibatkan pelajar sekolah dan universiti.  

RCM pula ditubuhkan pada 2007 sebagai pertubuhan tidak berasaskan keuntungan yang banyak menjalankan aktiviti tempatan bagi memberikan kesedaran tentang pentingnya ekosistem batu karang dan ancaman terhadapnya.

Pertubuhan berkenaan aktif di 82 negara dan jajahan di seluruh dunia.