Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Misteri ikan lut sinar

Ikan Lepu Belang. 8
Ikan Lepu Belang.

Dalam bidang sains biologi, taksonomi merupakan antara yang amat penting untuk diketahui kerana ia membantu dalam mengenali ciri-ciri sesuatu spesies tersebut.

Dalam bidang perikanan pula, iktiologi antara bidang yang penting untuk dipelajari kerana ia mampu membantu mengenali spesies ikan berkenaan dan ciri-cirinya. Iktiologi merupakan bidang kajian mengenai segala aspek sistematik pengkelasan dan biologi ikan.

Salah satu kegunaan bidang taksonomi dalam sains perikanan adalah pewarnaan ikan yang mempunyai teknik dan formula yang tertentu yang menghasilkan ikan lut sinar.

Pemprosesan ikan lut sinar merupakan salah satu teknik yang biasa digunakan dalam taksonomi ikan.

Ia merupakan kaedah tindak balas bahan kimia yang melibatkan dua langkah utama iaitu pelutsinaran otot dan pewarnaan tulang untuk memaparkan struktur rangka tulang pada bahagian dalaman ikan dan ia adalah berbeza daripada radiograf (sinar-X).

Perubahan warna daripada kumpulan ikan bertulang rawan (biru laut) ke kumpulan ikan bertulang benar (merah terang), membolehkan kita mengenali juga sejarah evolusi ikan.

Teknik pemerhatian osteologi terbahagi kepada tiga jenis iaitu anatomi, radiograf dan pewarnaan rangka tulang lut sinar.

Oleh kerana spesimen ikan lut sinar membolehkan pemerhatian terhadap bentuk tulang dalam pelbagai kedudukan serta hubungan kedudukan relatif antara tulang yang lebih in situ dan sahih serta tanpa proses pembedahan, maka ia digunakan secara meluas dalam penyelidikan.

Tambahan pula, spesimen boleh disimpan dengan lebih lama untuk tujuan pameran dan koleksi.

Walau bagaimanapun, kos pemprosesan spesimen ikan lut sinar adalah tinggi dan masa pemprosesan juga panjang yang berkait rapat dengan saiz badan dan ketebalan otot.

Oleh itu, teknik ini masih tidak digunakan secara meluas pada masa kini di universiti dan kolej untuk tujuan pendidikan dan penyelidikan. Sebenarnya, boleh dikatakan teknik pemprosesan ikan lut sinar dan produknya dapat menyediakan peluang banyak dalam perniagaan menerusi penghasilan cenderamata dan karya seni.

Ketika ini, satu daripada institusi pendidikan tinggi yang mempunyai kepakaran dalam teknik pelutsinaran ikan adalah Univerisiti Malaysia Terengganu (UMT) yang mempunyai formula bagaimana melakukannya.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT, Profesor Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, bidang iktiologi sangat penting di beberapa negara seperti Jepun dan Taiwan.

“Mereka merupakan negara maritim yang mementingkan dan menghargai khazanah laut.

“Kita juga seperti negara berkenaan yang memiliki khazanah sumber laut yang banyak dan sewajarnya dihargai dan diwarisi,’’ ujarnya.

Justeru ada keperluan bagi Malaysia untuk memanfaatkan sumber lautnya termasuklah menjalankan penyelidikan untuk memberi nilai tambah kepada spesies ikan.

Teknik pelutsinaran adalah antaranya yang memaparkan nilai estetik pelbagai spesies ikan yang mampu meningkatkan minat dan penghayatan orang ramai kepada spesies marin.

Beliau yang merupakan seorang pakar taksonomi tempatan berkata, satu teknik khas telah dicipta bagi membolehkan pemerhatian terhadap ikan tersebut dapat dibuat.

Otot ikan dicerna oleh enzim tripsin (pelutsinaran) dan tulang rawan mereka diwarnakan oleh bahan kimia (perwarnaan).

Teknik tersebut dapat memaparkan struktur rangka tulang pada bahagian dalaman ikan

“Perubahan warna daripada kumpulan ikan bertulang rawan yang berwarna biru laut kepada kumpulan ikan bertulang benar iaitu warna merah terang membolehkan kita mengenali sejarah evolusi ikan,’’ ujarnya.

Dr. Mazlan berkata, dalam bidang akademik, penyelidikan rangka tulang merupakan aspek penting dalam bidang zoologi untuk mengkaji hubungan antara setiap pengkelasan jenis ikan.

Maka penghasilan ikan lut sinar ini dapat menjadi salah satu kempen kesedaran marin yang interaktif buat para pelajar sekolah juga komuniti.

Justeru penghasilan ikan lut sinar ini dapat menyediakan peluang dan platform yang baik bagi perniagaan cenderamata dan karya seni di Malaysia.

Untuk perancangan masa hadapan, Pusat Pengajian Sains Perikanan dan Akuakultur (PPSPA) UMT telah berjaya menghasilkan produk ikan lut sinar serta bersedia untuk menganjurkan bengkel bagi pemprosesan ikan lut sinar bagi penghasilan cenderamata dan karya seni.

Proses pelutsinaran juga boleh dilakukan terhadap haiwan lain seperti ayam, tikus dan cicak dan kaedah pelutsinaran itu boleh dilakukan dengan menggunakan tiga bahan utama, manakala tempohnya dilakukan bergantung kepada jenis spesies berkenaan.

Dr. Mazlan berkata, dengan adanya teknologi tersebut UMT berpotensi menjadi sebagai pusat rujukan kebangsaaan.

Malah lebih itu, UMT boleh menganjurkan bengkel dan kursus kaedah pelutsinaran bagi membantu mempromosi pelancongan pendidikan dan pelancongan alam sekitar, sekali gus membantu operator tempatan sebagai bahan pameran dan cenderamata.

Justeru Pameran Antarabangsa Rahsia Ikan Lut Sinar yang diadakan di UMT yang bermula Ogos lepas amat signifikan dalam usaha mempromosi industri ikan lut sinar di negara ini.

Penganjung berpeluang menyaksikan 1,000 spesimen ikan lut sinar selain membeli cenderamata seperti penanda buku dan rantai kunci.

“Pameran ini menyasarkan 15,000 pengunjung sehingga penghujung Oktober ini,’’ ujarnya

Pameran tersebut merupakan yang ketiga diadakan selepas Jepun dan Taiwan dengan kerjasama dan National Museum of Marine Biology and Aquarium (NMMBA) Taiwan.

Dr. Mazlan berkata, UMT terpilih sebagai lokasi utama pameran tersebut bersesuaian dengan visi universiti berkenaan iaitu sebagai Universiti Berfokus Marin Terunggul dalam Negara dan Disegani pada Peringkat Global.

Katanya ia bertujuan untuk merungkai misteri anatomi ikan yang dapat diterjemahkan dalam bentuk sains dan seni.

“Ikan lut sinar yang menarik dan cantik digunakan sebagai satu bahan pameran yang mengandungi elemen pendidikan dan penghayatan seni untuk memerihalkan ilmu pengetahuan berfokuskan biologi,’’ ujarnya.

Pameran mampu rangsang pelajar minat sains 

Penganjuran Pameran Antarabangsa Rahsia Ikan Lut Sinar yang diadakan di kampus induk Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Terenganu mempunyai matlamat yang lebih besar bukan semata-mata untuk memberi pengetahuan kepada orang ramai sebaliknya berpotensi menjadi penggalak minat kepada sains khususnya sains marin.

Menurut Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Nor Aieni Mokhtar, sesuai dengan kekuatan UMT yang menjadikan sains marin sebagai teras pendidikan dan bidang tujahannya, sewajarnya menjadikan penyelidikan sains marin sebagai aset penarik minat masyarakat dalam bidang tersebut.

“Teknologi pelutsinaran ini membolehkan orang ramai melihat sendiri spesies ikan dalam perspektif lain iaitu nilai estetika seni selain kajian sains.

“Apatah lagi kita di kawasan tropika juga mempunyai khazanah marin yang sewajarnya dihargai dan diwarisi,’’ ujarnya.

Selain itu, UMT berharap pameran seperti itu mampu menarik minat pelajar kepada bidang sains dan menjadikan bidang tersebut lebih menarik.

Ia juga membantu dalam bidang sains teknologi kejuruteraan dan matematik (STEM), sekali gus menjadikan sains lebih mudah difahami.

“Kita (UMT) mempunyai galeri makmal berpusat dan muzium yang mampu menarik pelajar dalam sains,’’ ujarnya.

UMT kata beliau, memiliki kemudahan yang ditawarkan seperti Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) pusat penyelidikan sepert Kenyir, Tanah Bencah Setiu, Chagar Hutang yang menjadi platform penyelidikan untuk sains marin dan alam sekitar.

“Selain ikan lut sinar, pengunjung berpeluang melihat penyu berkepala dua dan penyu yang diawetkan,’’ ujarnya .

Bagi memudahkan pengunjung mendapatkan maklumat mengenai ciri-ciri ikan tersebut, setiap spesimen mempunyai QR code yang dibangunkan oleh kumpulan penyelidik UMT.

Dalam pada itu, UMT kata beliau, mempunyai 18 sekolah angkat di Terengganu yang membolehkan program mentor- mentee dilaksanakan dan membantu pelajar meminati bidang sains.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan UMT akan mewujudkan progam sains asas STEM dengan bermula pada tahun hadapan dengan pengambilan awal 100 orang.

“Kita tawarkan program sains asasi bagi memudahkan pelajar memilih bidang sains sumber alam yang mereka minat dengan enam modul pilihan,’’ ujarnya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain