“Teknologi ini mencabar  kerana ia tidak mudah diterima oleh orang ramai. Ini kerana ada satu inovasi yang menuntut jawapan tertentu bukan saja dalam kalangan masyarakat namun oleh individu berkemahiran dan akademik.” 

Ini kata-kata ringkas Zainuddin Idris apabila ditanya kesungguhannya menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) menggunakan minyak sawit bagi menghasilkan minyak pelincir.

Dalam usahanya itu, beliau dibantu rakan-rakan  penyelidik yang mempunyai kemahiran dalam bidang masing masing termasuk kejuruteraan mekanikal dan fizik. Kajian tersebut yang dijalankan di rumahnya sendiri  bermula sejak tiga tahun lalu bagi menghasilkan minyak pelincir untuk enjin kenderaan. 

“Saya mulakan kajian secara sendirian tiga tahun lepas dengan cara tidak formal. Setelah mendapat maklum balas daripada rakan-rakan yang menggunakan minyak tersebut, saya berusaha untuk mendapatkan  nasihat dan bantuan daripada universiti,  tetapi tidak berjaya,” katanya.

Antara bantuan yang dimohon adalah menjalankan ujian tentang minyak pelincir yang dihasilkan dan hanya Universiti Malaya membuat ujian tribology ( friction dan wear scar) manakala ujian prestasi dilakukan di Proton secara tidak rasmi.

Secara ringkasnya, untuk menghasilkan minyak pelincir yang dibangunkan, ia tidak menggunakan sebarang bahan aditif (tambahan)yang lazim digunakan dalam pembuatan minyak pelincir dan  boleh didapati di pasaran. 

“Ia hanya melalui proses takungan  (container) yang dinamakan reaktor dan diadunkan menggunakan bahan yang kami namakan  intelligent substance untuk disebatikan dengan minyak masak selama kira-kira 72 jam.  Bahan yang digunakan ini akan bertindak  sebagai pemangkin untuk memecah molekul minyak masak tersebut,” ujarnya.

Menurut Zainuddin, meskipun minyak lain berkemungkinan berpotensi digunakan, tetapi beliau memilih minyak masak tempatan kerana kualitinya sangat tinggi. 

Dalam masa sama, tiada percubaan untuk meletakkannya pada tahap yang lebih inovatif. Zainuddin mengakui minyak sawit  juga telah digunakan  sebagai biodiesel, tetapi itu cuma satu daripadanya sedangkan potensi minyak berkenaan lebih luas.  

“Saya juga mendapati terlalu banyak momokan terhadap minyak keluaran negara menyebabkan pasarannya sedikit terjejas. Oleh itu  jika minyak ini boleh dikomersialkan sebagai minyak pelincir, saya percaya salah satu masalah pasaran boleh diatasi,” ujarnya lagi. 

Inovasi tersebut yang Zainuddin namakan sebagai DFusion adalah terma rujukan bagi menerangkan serba sedikit proses yang digunakan untuk menghasikan minyak berkenaan. 

Selepas menggunakan kaedah tiga titik (minyak yang dicampurkan ke minyak pelincir sedia ada) sebelum ini, pihaknya membuat penambahbaikan dan kini pengguna boleh meletakkan sepenuhnya minyak tersebut sebagai minyak pelincir.

“Dengan itu kesannya akan dapat lebih dirasai. Ini kerana teknologi tersebut memecah molekul minyak halus dan masuk ke dalam enjin dan bertindak sebagai satu lapisan bebola halus menjadikan kuasanya bertambah,” ujarnya. 

Menerusi dua sesi ujian penggunaan minyak berkenaan dengan kerjasama sebuah syarikat di
Semenyih, Selangor, sebanyak 18 kenderaan pelbagai jenis mencubanya sebagai minyak pelincir.

Rata-rata pemilik kenderaan dikatakan berpuas hati  dengan  prestasi yang ditunjukkan.

Apa yang penting,  pihaknya akan mencuba untuk meningkatkan tempoh penggunaan atau jarak perbatuan sama ada 5, 000, 10,000 dan 30,0000 kilometer dan menguji prestasi kenderaan tersebut kerana sebelum ini ada pemilik kenderaan yang baru mencubanya. 

Menurut Zainuddin, penilaian setakat ini mendapati kuasa kenderaan meningkat dan penggunaan bahan api juga dapat dijimatkan antara 20 hingga 25 peratus.

Walau bagaimanapun, beliau dan rakan penyelidik masih menunggu pensijilan dan pengiktirafan rasmi dari institusi pengajian tinggi awam atau swasta sebelum  dapat dipasarkan. 

“Kini sudah ada produk yang kita percaya berpotensi untuk dikomersialkan. Ia telah diuji dalam variasi enjin yang pelbagai dan hasilnya menakjubkan. 

Apa yang penting kos menghasilkannya adalah lebih rendah. 

“Saya berani katakan ia adalah minyak pelincir berprestasi tinggi setanding dengan jenama yang ada dalam pasaran.  Kami akan terus mendepani cabaran yang mendatang,’’ ujarnya lagi. 

Justeru, beliau yang juga pemegang ijzah kejuruteraan berharap agar ada pihak pihak berkaitan yang berminat untuk mengkomersialkan teknologi tersebut supaya tampil membantu  secara rasmi “Kebanyakan data yang kami peroleh adalah  profesional,’’ ujarnya. 

Dalam pada itu menurut seorang rakan penyelidik,  Muhamad Sidik Ibrahim, teknologi tersebut sebelum ini diguna pakai oleh sekumpulan saintis Korea dan bahan (intelligent substance) berasal dari Jerman. 

Katanya, produk yang dihasilkan pereka tempatan tersebut sangat memberangsangkan tetapi susah untuk dijual.

Justeru dia mencadangkan kepada Zainuddin bagaimana produk tersebut boleh dijual dengan lebih mudah.

Caranya adalah menjual minyak pelincir kenderaan kerana produk tersebut adalah jenis pakai habis.

Mengulas lebih lanjut Muhamad Sidik berkata, cabaran utama untuk produk yang dihasilkan adalah memperoleh pensijilan daripada pihak tertentu antaranya Suruhanjaya Tenaga bagi membolehkan  huraian secara ilmiah atau dari segi sains dapat disahkan.

Walau bagaimanapun, bagi  produk yangg tidak perlu kelulusan dan hanya perlu ujian makmal seperti minyak pelincir tiada masalah untuk pengkomersialan.

“Justeru saya berharap teknologi minyak pelincir akan berkembang dengan pantas.
“Ini  kerana perbezaan ketara dan segera dari segi pengurangan geseran enjin yang juga menyebabkan pengurangan bunyi, pecutan yang mudah dan akhirnya akan menyebabkan pengurangan penggunaan bahan bakar,” ujarnya.