DR. KAMARRUL AZAHARI
DR. KAMARRUL AZAHARI 

Ia seharusnya dijadikan iktibar oleh semua pihak untuk sentiasa berwaspada dengan bencana alam kerana boleh mengakibatkan kemusnahan yang teruk kepada negara dan menjejaskan ekonomi.

Disebabkan itu, pemantapan pengurusan risiko bencana harus dilakukan di negara ini sebagai salah satu langkah untuk berdepan dengan bencana alam yang boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

Itulah yang dilakukan oleh Pensyarah Kanan Razak School of Engineering and Advanced Technology, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Kamarrul Azahari yang menjalankan penyelidikan untuk mengarus perdana pengurusan risiko bencana dalam perancangan pembangunan bandar di negara ini.

Kata beliau, segalanya bermula apabila beliau dianugerahkan Merdeka Award For International Attachment, satu anugerah geran yang berprestij di bawah naungan Anugerah Merdeka diasaskan bersama oleh Petronas, Shell dan Exxon-Mobil.

Menerusi anugerah tersebut, beliau berpeluang menjalani program attachment antarabangsa bersama pakar-pakar bencana alam selama tiga bulan di Jepun untuk mempelajari sistem dan teknologi pengurusan bencana alam yang terbaharu dan berkesan.

Di bawah program tersebut, beliau dapat mendalami penyelidikan mengenai pelbagai pendekatan bagi meningkatkan kajian bencana alam dan mempertingkatkan kerjasama antara universiti, kerajaan dan industri untuk mengurus serta mengurangkan risiko bencana dalam keadaan persekitaran yang sentiasa berubah.

“Saya memilih Jepun sebagai destinasi kerana merupakan salah satu tempat yang sering dilanda bencana alam seperti tsunami di Tohaku pada 2011 dan gempa bumi terbesar juga pernah melanda Tokyo pada suatu masa dulu.

“Ia mendorong saya menjalani program secara intensif untuk bersama-sama dengan saintis terkemuka dunia dan mengetahui bagaimana kerajaan dan penduduk di Jepun menghadapi bencana,” ujarnya.

Tambahnya, sepanjang berada di sana dan setelah melakukan lawatan di beberapa tempat seperti Pusat Penyelidikan Pencegahan Bencana dan Pusat Pengurangan Bencana Asia, beliau telah mempelajari tiga perkara penting.

Pertama, beliau melihat peranan pentadbiran Negara Matahari Terbit itu yang konsisten meneliti rekod lampau bencana yang pernah melanda negara itu sebagai input kepada mereka untuk bersedia menghadapai bencana akan datang. Kerjasama erat juga terjalin antara saintis dan kerajaan selain sistem amaran bencana yang sistematik.

Justeru katanya, segala ilmu tersebut dibawa pulang ke Malaysia lalu dijalankan satu penyelidikan polisi supaya ia dapat diadaptasi di negara ini.

“Ketika ini penyelidikan bertumpu kepada mengarusperdanakan pengurusan risiko bencana dalam perancangan pembangunan.

“Tujuannya untuk membangunkan garis panduan rancangan pembangunan menjadikan bandar berdaya tahan terhadap bencana,” ujarnya.

Jelasnya lagi, dalam penyelidikan yang dijalankan di bawah perancangan bandar dan Wilayah Malaysia (PLANMalaysia) itu, beberapa bandar telah dikenal pasti sebagai kawasan yang berisiko tinggi.

Antaranya ialah Kota Bahru, Kelantan iaitu kawasan berisiko banjir, Ampang, Kuala Lumpur sebagai kawasan berisiko tanah runtuh dan Yan, Kedah sebagai kawasan terdedah kepada tsunami.

Data-data saintifik mengenai kawasan berisiko yang terkumpul itu akan digunakan dalam pelan perancangan pembangunan bandar untuk pembangunan yang lebih terancang dan selamat.

Katanya, dalam kajian tersebut, pihaknya mencadangkan kepada kerajaan untuk menggunakan kaedah lebih komprehensif dan menambah baik sistem perbandaran di kawasan terancam.

“Bila sudah tahu bandar terdedah bencana, kita kenal pasti jenis bencana dan boleh digunakan untuk input pembangunan masa hadapan seperti tidak bangunkan penempatan di kawasan terancam atau menambahkan bilangan sistem amaran.

“Oleh itu, tidaklah dibangunkan bangunan berstruktur di kawasan bercerun atau terancam tanah runtuh dan mengenal pasti kawasan pesisir pantai yang berisiko daripada rekod tsunami lepas,” katanya.

Undang-undang khusus bencana

SEMENTARA itu, untuk menjadikan pengurusan risiko bencana lebih mantap, ia seharusnya melibatkan rakyat supaya komuniti berdaya tahan dengan bencana dapat diwujudkan.

Dr. Kamarrul Azahari berkata, ia dapat dipupuk melalui penganjuran program-program kesedaran yang dibantu oleh data-data saintifik daripada pakar untuk mengenal pasti kawasan terancam dan seterusnya mengadakan program kesedaran bencana bagi mendidik komuniti di kawasan tersebut.

“Di sinilah pentingnya kerjasama antara kerajaan, industri dan komuniti untuk memberikan latihan dan panduan kepada komuniti setempat bagaimana berdepan dengan bencana.

“Kita telah memba­ngunkan modul khusus untuk meningkatkan kesiapsiagaan penduduk menghadapi bencana iaitu Disaster Imagination Game (DIG) yang membolehkan pakar mengetahui lokasi bencana melalui maklumat disalurkan oleh komuniti setempat. Pakar seterusnya mencadangkan langkah-langkah keselamatan kepada komuniti itu,” ujarnya.

Selain itu beliau menegaskan, sudah tiba masanya negara mewujudkan undang-undang khas mengenai bencana supaya semua usaha pengurusan pengurangan risiko bencana dapat dilaksanakan dengan lebih efektif melalui peruntukan dana yang diberikan.

Katanya, ketika ini Malaysia hanya mempunyai Arahan No.20 Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam pengurusan risiko bencana yang dilihat perlu ditambah baik dengan undang-undang khusus.

“Contohnya di Jepun, pada 1959 mereka dilanda ribut besar sehingga mengorbankan hampir 5,000 nyawa dan pada 1960 mereka terus ada undang-undang khusus bagi menangani bencana.

“Kita juga patut buat, wujudkan undang-undang khusus bencana supaya segala aktiviti, program serta penyelidikan dapat dijalankan secara khusus,” jelasnya.