Semburan bahan kimia secara berterusan untuk mengekalkan kesegaran dan ciri-ciri kosmetik buah-buahan dan sayuran menyebabkan berlakunya peningkatan kandungan bahan kimia dalam hasil pertanian.

Justeru, kandungan bahan kimia ini akan memberikan kesan sampingan kepada pengguna iaitu ia mampu menggalakkan pertumbuhan sel kanser dalam tubuh manusia sekiranya tidak dinyahtoksikkan dengan baik sebelum dijual di pasaran.

Disebabkan itu, pertanian organik sangat penting dalam menjamin kesejahteraan dan kesihatan tubuh badan untuk terus kekal sihat tanpa sebarang jangkitan kuman berbahaya yang boleh memudaratkan kesihatan.

Itulah yang dilakukan oleh syarikat Bestari Bersatu Sdn. Bhd. yang mengambil inisiatif menjalankan konsep perladangan organik sepenuhnya di bawah jenama anak syarikatnya, DQ Farm Products Sdn. Bhd. (DQF) bagi membekalkan hasil pertanian yang bebas bahan kimia dan sihat kepada umum.

DQF merupakan sebuah syarikat pengasas dalam bidang organik dan merupakan satu daripada syarikat pertama yang mendapat sijil organik di Malaysia untuk tanaman serta yang pertama mendapat sijil organik untuk ayam kampung ternak lepas dan telur ternak lepas.

Menurut Pengarah Urusannya, Norhana Pettire, konsep perladangan yang dilaksanakan ialah pertanian lestari mengikut sunnatullah yang memanfaatkan penggunaan bahan-bahan di persekitaran sebagai sumber nutrien tanaman seperti pengkomposan sisa ladang dan ternakan.

Katanya, semua bahan semburan antiperosak dan antipenyakit tanaman dihasilkan sendiri oleh syarikatnya menggunakan tanaman semula jadi yang boleh didapati di sekitar ladang.

“Semburan untuk serangga perosak dan penyakit dihasilkan sendiri di ladang kami dengan menggunakan tumbuh-tumbuhan herba yang juga ditanam di sini.

“Antara tumbuhan yang digunakan ialah serai, buah pinang dan pelbagai lagi tumbuhan herba hutan yang mempunyai manfaat yang baik untuk melindungi pokok daripada serangan serangga perosak,” katanya.

Sehingga hari ini, syarikat bumiputera ini sahaja yang menjual ayam kampung peliharaan bebas secara komersial kepada pasar raya besar dengan jenama sendiri iaitu Almasyhur dan DQ Clean Chicken.

Jelasnya, pencapaian terbaik syarikatnya ialah mendapat anugerah Usahawan Penternak Bukan Ruminan Jaya Peringkat Negeri 2009 serta memasarkan ayam kampung berjenama yang pertama di pasaran sejak tahun 2001.

“Ayam kampung ini diternak dengan cara belaan bebas dan diberi makan cacing yang dihasilkan oleh lalat Black Soldier Fly yang diternak sendiri di kawasan ladang.

“Permintaan ayam organik ini sangat tinggi dalam kalangan kaum Cina dan penghidap penyakit kanser yang mengamalkan amalan pemakanan sihat,” jelasnya.

Skim Organik Malaysia (SOM)

  • Skim pensijilan yang dibangunkan oleh Jabatan Pertanian bagi memberi pengiktirafan kepada ladang yang mengamalkan perladangan organik berpandukan Malaysian Standard (MS 1529:2001 (Bagi Pengeluaran, Memprosesan, Pelabelan dan Pemasaran Tanaman Makanan Organik).

Malaysian Organic (myOrganic)

  • Penjenamaan semula Skim Organik Malaysia (SOM) dalam memberi pengiktirafan kepada ladang yang diusahakan secara organik berpandukan MS 1529:2015.

Objektif

  • Sebagai alat atau teras kepada Sistem Pengembangan Tekno Pertanian (SPTP) Jabatan Pertanian.
  • Menjadi amalan pengusaha di dalam menjalankan aktiviti di ladang supaya menghasilkan keluaran organik yang lebih berkualiti dan selamat untuk dimakan.

Kelebihan

  • Menghasilkan produk-produk pertanian yang dijamin berkualiti dan selamat dimakan (bebas daripada racun makhluk perosak dan logam berat).
  • Memelihara alam sekitar.
  • Keselamatan serta kebajikan pekerja ladang terjamin.
  • Meningkatkan produktiviti pengeluaran.
  • Hasil pertanian mudah dikenali dan dapat bersaing di pasaran domestik dan antarabangsa.

Usaha berterusan

BERKONGSI pengalamannya lebih lanjut, Norhana Pettire berkata, menguruskan ladang organik bukan satu perkara yang mudah.

Jelasnya, berbanding agrokimia, ia memerlukan tenaga manusia yang banyak untuk memastikan hasil pertanian bebas daripada racun perosak mahupun bahan-bahan kimia yang akan memberikan kesan negatif kepada tubuh badan serta alam sekitar.

“Banyak perkara kita kena buat sendiri dan fikir alternatif lain untuk melawan penyakit tanaman tanpa menggunakan bahan kimia sedia ada.

“Hasil daripada usaha keras itu kami telah berjaya mengeluarkan hasil tanaman organik yang pertama iaitu durian organik dan tembikai organik,” ujarnya.

Selain itu,mengenai perancangan masa hadapan, Norhana berkata, pihaknya mahu membuka restoran nasi ayam organik memandangkan beliau mempunyai bekalan ayam sendiri.

Katanya, pembukaan restoran dapat memberikan pendapatan tambahan kepada perniagaanya selain dapat membekalkan makanan berasakan ayam organik sihat kepada umum.