Melihat potensi besar dalam bidang tersebut, semakin ramai petani menyahut seruan kerajaan dengan memperkasa bidang tersebut ke arah lebih moden dan memberi kesan positif kepada hasil pertanian.

Pun begitu, masih ada lagi dalam kalangan petani terikat dengan teknik pertanian lama dengan tidak mahu beralih kepada teknik baharu yang lebih dinamik kerana stigma takut mencuba sesuatu yang baharu.

Itulah antara cabaran yang perlu dihadapi Timbalan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Kamariah Long dalam mengubah persepsi petani agar menerima teknologi dan pembaharuan dalam bidang pertanian.

Katanya, bidang pertanian semakin mencabar dari sehari ke sehari memandangkan bidang tersebut berubah mengikut keadaan semasa seperti isu tanah yang tidak mencukupi, perubahan cuaca dan banjir yang akan memberi kesan besar kepada sektor itu di negara ini.

Kerana itu, beliau yang baharu memegang jawatan tersebut sejak 1 Disember tahun lalu nekad untuk membawa perubahan dalam bidang pertanian dengan memastikan setiap penyelidikan di MARDI haruslah menjadi jawapan kepada segala permasalahan yang timbul.

Kamariah memiliki kepakaran dalam bidang enzim mikrobial, teknologi lemak serta minyak, bioteknologi makanan, mikrobiologi makanan (probiotik) serta makanan berfungsi, dan peptida bioaktif.

Beliau merupakan saintis cemerlang dalam bidang sains dan teknologi apabila berterusan menjalankan dan menghasilkan penyelidikan yang signifikan melebihi dua dekad.

Sumbangannya memberikan lonjakan kepada industri minyak dan lemak tempatan termasuk penemuan-penemuan lain dalam produk nutraseutikal.

Berasal dari Johor Bahru secara amnya, menjalankan penyelidikan berkenaan minyak kelapa dan melaksanakan penyelidikan meluas berkenaan nilai nutrisi untuk menyokong industri kelapa.

Selain itu, beliau turut melaksanakan pelbagai peranan dalam meningkatkan peluang bagi industri minyak kelapa dara (VCO) dan minyak sawit Malaysia termasuk mengeluarkan produk sendiri dengan jenama Its Works hasil daripada teknologi ciptaan beliau yang turut terjual bukan sahaja di negara ini, malah di Jepun, Australia, Indonesia dan Singapura.

Beliau juga merupakan pencipta proses pengeluaran minyak kelapa dara diaktifkan (AVCO) yang merupakan VCO premium yang terbukti secara klinikal mempunyai aktiviti antimikrobial dengan spektrum meluas.

Bahan aktif itu memperoleh paten dan dikomersialkan oleh Biotropics Malaysia Berhad dan Treena Sdn. Bhd., sebagai agen untuk membantu dalam masalah kelemumur dan jerawat.

Selain menjalankan penyelidikan minyak kelapa dara, Kamariah turut memberikan sumbangan signifikan dalam penyelidikan minyak sawit.

Beliau juga menemukan teknologi baharu untuk mengeluarkan diasligliserol (DAG) iaitu olein mentah yang memanfaatkan kilang penapisan minyak sawit sedia ada dalam proses kecekapan pemisahan semasa proses pengeringan berperingkat-peringkat yang juga berguna dalam industri lemak khusus apabila kandungan DAG rendah proses pengubahan acuan lebih mudah.

Dalam masa sama, Kamariah turut membangunkan minyak antiobesiti berkalori rendah berasaskan minyak sawit. Minyak berfungsi yang telah dipatenkan itu akan menyebabkan harga jualan minyak yang tinggi dalam arena antarabangsa, sekali gus meningkatkan nilai pasaran dan menyediakan kelebihan persaingan yang kuat bagi minyak sawit.

Ciptaan terbaharu Kamariah termasuklah beberapa produk berfungsi yang baharu iaitu My G Mung Bean iaitu superfood dengan ciri penggalak kesihatan pelbagai fungsi, Designer Chuka iaitu meningkatkan nilai fungsian, Cocos Emulsion iaitu makanan tambahan berfungsi baharu, Covocare iaitu penjagaan kulit semula jadi bernilai tambah berasaskan bahan bioaktif daripada bahan sampingan kelapa dan Cocoesgurt iaitu minuman kelapa tanpa bahan tenusu yang diperkaya dengan asid folik, serat, asid organik, asid amino dan bebas laktosa.

Pencapaian beliau dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa berjaya menghasilkan lebih 100 penerbitan penyelidikan dalam jurnal berwasit dengan petikan kumulatif berjumlah 2,152 (indeks skor H:26).

Pada masa sama, beliau terlibat secara aktif dalam kerjasama dan rangkaian dengan universiti tempatan serta sering kali dilantik menjadi penilai luar dengan menyelia lebih 20 orang pelajar pascasiswazah. Beliau turut dianugerahkan dengan 63 penghargaan profesional dan anugerah peringkat kebangsaan serta antarabangsa seperti Pereka Cipta Wanita Tahun 2006 oleh Persekutuan Antarabangsa Persatuan Pereka cipta (IFIA) selain turut terpilih sebagai salah seorang Top Research Scientist Malaysia 2012 oleh Akademik Sains Malaysia (ASM). – AQILAH MIOR KAMARULBAID